Isnin, 5 Februari 2024 | 9:02am

Akses internet, celik teknologi jayakan pembelajaran digital

PENDIDIKAN sentiasa menjadi bidang dinamik, berkembang dengan perubahan masyarakat dan kemajuan teknologi. Abad ke-21 menunjukkan anjakan paradigma dalam pendidikan dengan penggunaan teknologi digital meluas. Landskap pendidikan juga mengalami transformasi pesat dengan kemunculan teknologi.

Persekitaran pembelajaran berasaskan bilik darjah tradisional secara berperingkat memberi laluan kepada persekitaran pembelajaran lebih dinamik dan fleksibel, menyatupadukan platform pembelajaran digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Apabila institusi pendidikan beralih ke arah pembelajaran digital, penting untuk menilai kesediaan penerimaan teknologi bagi memastikan penggunaannya berjalan lancar dan berkesan.

E-pembelajaran sebagai subset dalam teknologi pendidikan merangkumi pelbagai bentuk media elektronik, alatan digital dan platform untuk menyampaikan kandungan pendidikan. Peralihan kepada pembelajaran digital berkembang cepat berdasarkan beberapa faktor seperti kebolehcapaian internet, penggunaan telefon pintar dan peranti lain.

Berikutan Dasar Pendidikan Digital (DPD) dilancarkan tahun lalu oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, oleh itu sebelum pihak sekolah menerima sepenuhnya pendidikan digital disepadukan di sekolah, penting untuk menilai kesediaan mereka memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi dalam pendidikan.

Murid daripada latar belakang kurang bernasib baik dari segi ekonomi akan mengalami kesukaran dan kekurangan akses kepada peranti penting, penggunaan internet berkelajuan tinggi serta mendapat persekitaran pembelajaran kondusif.

Oleh itu, sekolah perlu menangani jurang digital ini dengan melaksanakan strategi seperti menyediakan peranti bersubsidi, bekerjasama dengan organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti atau mendapatkan pembiayaan kerajaan untuk merapatkan jurang kebolehcapaian.

Salah satu pertimbangan utama dalam menilai kesediaan sekolah untuk pendidikan digital ini ialah kemudahan infrastruktur teknologi. Ini kerana infrastruktur teknologi mencukupi penting untuk pelaksanaan inisiatif pembelajaran digital supaya dapat berjalan lancar dan kondusif.

Antara aspek utama untuk dinilai termasuk infrastruktur pencapaian internet sekolah bagi mengenal pasti potensi kesesakan dan memastikan pengalaman dalam talian konsisten untuk penggunaan guru dan murid. Sekolah perlu menilai sama ada mempunyai peranti mencukupi seperti komputer, komputer riba dan tablet untuk menampung keperluan keseluruhan murid.

Selain itu, penggunaan pencapaian peranti ini dengan platform dan perisian e-pembelajaran perlu dipertimbangkan untuk mengelak isu tidak selaras antara penggunaan peranti dengan platform dan perisian.

Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) contohnya di Malaysia, Google Crassroom (GCR) adalah platform digunakan guru dan murid sebagai hab pusat menjalankan aktiviti e-pembelajaran.

Pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) mendapat Recognition of Excellence 2023 daripada OpenGovAsia, Special Mention: The Inter-Agency Award oleh GovInsider dan Learning Pioneer Country Award 2024-2025 daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sekolah harus menilai keberkesanan platform sedia ada atau mempertimbangkan untuk meneroka platform lain yang sesuai bagi menjalankan aktiviti e-pembelajaran. LMS perlu mempunyai ciri-ciri mesra pengguna, menawarkan penyepaduan lancar dengan alatan pendidikan lain serta menyediakan ciri seperti perkongsian kandungan, penjejakan penilaian dan alat komunikasi berkesan.

Menilai kesediaan dan kebolehcapaian kandungan digital adalah penting termasuk menggunakan buku dalam talian (e-buku), sumber dalam talian, simulasi interaktif dan kandungan multimedia. Sekolah harus memastikan guru dan murid boleh mengakses serta menggunakan sumber ini dengan mudah supaya dapat mewujudkan pengalaman pembelajaran berkesan.

Sementara itu, guru memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini. Kecekapan mereka menggunakan teknologi bagi memastikan proses pengajaran berkesan adalah penting. Mungkin ada segelintir guru tidak mahir penggunaan teknologi.

Guna pendekatan komprehensif

Bagi mengatasi perkara ini, guru memerlukan pendekatan komprehensif termasuk program latihan dan peluang bimbingan supaya dapat memberi kesan positif e-pembelajaran terhadap proses PdP.

Sekolah harus melaksanakan program latihan komprehensif untuk meningkatkan literasi digital dan kecekapan guru menggunakan peralatan digital dalam proses PdP. Program ini harus merangkumi pelbagai topik termasuk penggunaan LMS, kaedah penilaian dalam talian dan penciptaan kandungan multimedia.

Pihak sekolah memerlukan sistem sokongan teknikal mantap untuk menangani sebarang cabaran atau isu mungkin timbul ketika pelaksanaan pendidikan digital. Sekolah harus mempunyai pasukan sokongan teknikal supaya dapat memberikan bantuan tepat pada masanya kepada guru dan murid.

Aspek paling penting pendidikan digital adalah meningkatkan kadar celik digital kepada murid. Ini merangkumi keupayaan menggunakan peralatan digital, menilai secara kritis maklumat dalam talian dan berkebolehan mengemudi landskap digital dengan berkesan.

Ini termasuk kemahiran menggunakan LMS, mengambil bahagian dalam bilik darjah maya, menyerahkan tugasan dalam talian dan membabitkan diri dalam aktiviti e-pembelajaran. Pihak sekolah harus memberi penekanan aspek etika belajar dalam talian, celik maklumat dan keselamatan siber untuk memastikan murid mengemudi dunia digital dengan penuh tanggungjawab.

Memandangkan penggunaan telefon pintar semakin meluas, sekolah harus meneroka potensi pembelajaran mudah alih. Platform dan kandungan e-pembelajaran harus dioptimumkan untuk peranti mudah alih bagi memudahkan pembelajaran. Ini amat penting untuk pelajar yang mungkin tidak mempunyai akses kepada peralatan komputer atau komputer riba.

Apa yang penting sekolah perlu melindungi maklumat sensitif dan data peribadi murid selaras peraturan perlindungan data peribadi. Dalam memperjuangkan kesediaan pendidikan digital disarankan kerajaan, sekolah perlu menghadapi dan menangani pelbagai cabaran iaitu isu akses kepada keselamatan siber dan pematuhan peraturan supaya setiap cabaran ini mendapat pertimbangan teliti dan langkah proaktif untuk menanganinya.

Pendekatan holistik membabitkan semua pihak berkepentingan seperti guru, murid, ibu bapa, pentadbir dan penggubal dasar adalah penting untuk mewujudkan ekosistem pendidikan digital berdaya tahan dan mudah diterima di sekolah. Kesimpulannya, kesediaan pendidikan digital memerlukan usaha menyeluruh dan bersama bagi mewujudkan persekitaran e-pembelajaran inklusif, inovatif dan berkesan.

Penulis adalah Ketua, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X