Sabtu, 27 Januari 2024 | 10:01am

Kecemerlangan akademik tanpa sahsiah terpuji jejas mutu graduan

KECEMERLANGAN akademik menjadi sasaran utama sistem pendidikan negara hingga diperkasa dari tahun ke tahun demi melahirkan warganegara mampu mencapai kecemerlangan akademik meliputi pelbagai bidang.

Terbaru, hasrat menyuburkan Malaysia MADANI mengambil kira aspek ilmu pengetahuan, malah menekankan kearifan tempatan yang pastinya dapat dicapai dengan lahirnya generasi berilmu dan memiliki kecemerlangan akademik.

Ini bertepatan dengan 20 landasan penting ditekankan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024, baru-baru ini.

Perkara pertama disentuh ialah pembentukan 'otak dan watak' menetapkan kecemerlangan akademik dan keterpujian sahsiah. Ini membuktikan kepentingan menggabungkan kecemerlangan akademik dengan keperibadian mahasiswa, sekali gus tidak boleh dilihat sebagai entiti berasingan.

Kecemerlangan akademik tidak boleh diukur dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tinggi semata-mata tanpa melihat aspek sahsiah diri pelajar. Sudah tiba masanya kemahiran insaniah diberi perhatian kembali kerana ia dapat menerapkan nilai murni dalam diri mahasiswa di kampus.

Namun, kemahiran insaniah tidak wajar ditekankan dalam kokurikulum sahaja, sebaliknya diberi penekanan dalam silibus kurikulum mahasiswa merentasi pelbagai disiplin ilmu, selain aspek seperti komunikasi, kepimpinan, etika dan nilai profesional.

Universiti perlu menjadi pusat ilmu bukan sahaja berjaya membentuk manusia memiliki otak cemerlang, bahkan melahirkan watak luhur. Universiti bukan tempat melahirkan 'robot' hanya mampu menerima data dan maklumat, sebaliknya taman ilmu dan budi mampu melahirkan mahasiswa bitara.

Ini bertujuan memastikan Malaysia bakal diurus golongan ilmuwan berkeupayaan menyelesaikan setiap permasalahan melanda dengan akal budi berpaksikan ilmu dan nilai.

Dengan kata lain, universiti perlu memastikan setiap kecemerlangan akademik diraih mahasiswa tidak hanya tercatat dalam sekeping ijazah, sebaliknya perlu membabitkan penilaian sahsiah dan jati diri.

Imam al-Ghazali menyatakan terdapat dua tujuan utama perlu dicapai dalam proses pendidikan. Ia merujuk kesempurnaan insani membuatkan manusia semakin dekat kepada Allah SWT dan mencapai kebahagiaan hidup.

Kecemerlangan akademik tanpa keluhuran jiwa hanya akan menjadi sia-sia kerana tidak akan dapat membahagiakan kehidupan. Hanya dengan jiwa luhur, manusia mampu mengurus alam sebaiknya.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) umpamanya memperkenalkan gagasan Flexible Education With Soul (FlexS), iaitu transformasi akademik dengan penekanan diberikan terhadap pendidikan berasaskan nilai.

Ia bertujuan mengimbangi kepesatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) agar mahasiswa tidak hanya terikat dengan teknologi, lantas meninggalkan aspek nilai dalam proses menuntut ilmu.

Begitu juga usaha seperti 'Hero Komuniti' yang akan terus diperkasa apabila mahasiswa terus diberi galakan untuk menyantuni komuniti setempat dengan pembabitan dalam aktiviti masyarakat bukan sahaja di sekitar kampus, bahkan membabitkan di negeri dan peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja dapat menanam nilai murni seperti tolong-menolong, bekerjasama, bertolak ansur, prihatin dan ikhlas, bahkan memberi peluang kepada mereka meneroka dimensi baharu dalam bidang ilmu masing-masing.

Keberadaan hampir dengan masyarakat akan membuatkan mahasiswa mengetahui permasalahan berlaku, seterusnya bertindak memanfaatkan ilmu bagi membantu mereka.

Mahasiswa Bitara bukan sahaja berjaya mencapai kecemerlangan akademik, bahkan memiliki keluhuran jiwa agar mampu menjadi warganegara budiman. Kecemerlangan akademik semata-mata boleh menjadikan seseorang individu hanya mementingkan dirinya sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Sebaliknya orang cemerlang akademik berserta keluhuran jiwa akan dapat berbakti dan memberi manfaat kepada orang lain. Hasrat melahirkan mahasiswa bitara amat sejajar dengan saranan Rasulullah SAW: "Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat bagi orang lain." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Pembabitan semua pihak

Usaha melahirkan mahasiswa mencapai kecemerlangan akademik berserta keluhuran jiwa memerlukan pembabitan semua pihak termasuk ahli akademik, pentadbir universiti dan pihak industri. Semua pihak perlu menjunjung agenda keluhuran jiwa agar hasrat melahirkan mahasiswa cemerlang secara holistik dapat dicapai.

Pensyarah juga perlu berperanan dalam membimbing mahasiswa agar dapat menyemai nilai murni dalam diri. Proses pengajaran tidak boleh berlaku dalam dewan kuliah semata-mata, sebaliknya kehidupan seharian perlu dibimbing dan diberi perhatian. Program 'mentor-mentee' perlu diperkasakan agar mahasiswa dapat terus dibimbing bukan sahaja berkaitan pelajaran, bahkan kehidupan.

Dalam hal ini, penyelidik di universiti juga perlu memikirkan kaedah baharu bagi menangani isu melanda kehidupan. Kajian penyelidikan mestilah berusaha menyelesaikan permasalahan melanda kehidupan manusia, sekali gus tidak hanya memberi fokus kepada aspek komersial semata-mata. Teruskan mengkaji, menyelidik, menemukan perkara baharu, tetapi pada masa sama penemuan hasil kajian dapat memberi manfaat kepada kehidupan insani.

Pihak pentadbir universiti pula berperanan membawa hala tuju manusia tidak hanya berfokus kepada aspek material sahaja, lalu mengabaikan aspek nilai dan kerohanian. Pelaksanaan polisi dan aktiviti di universiti mestilah menekankan aspek nilai dan kerohanian termasuk hubungan dengan alam sekitar.

Ini termasuk polisi strategik dalam mewujudkan kampus hijau yang memperkasa pembangunan kampus lestari melalui pengurusan sumber efektif, persekitaran dan ekosistem pendidikan inovatif serta penggunaan tenaga cekap membabitkan seluruh warga kampus.

Ini antara usaha untuk memandu warga universiti agar mengutamakan kepentingan menjaga hubungan dengan alam yang dapat mendidik jiwa dengan kebaikan.

Selain itu, pihak industri dan agensi terbabit secara langsung dengan pendidikan tinggi tidak boleh berlepas tangan dalam usaha melahirkan mahasiswa bitara. Keseimbangan antara matlamat keuntungan perniagaan dan komersil dengan tuntutan keluhuran jiwa diberi perhatian agar mahasiswa lebih mampu bersaing dalam dunia teknologi masa kini.

Pengabaian aspek nilai dalam proses kemenjadian mahasiswa tidak akan dapat menyelesaikan semua permasalahan, malah mungkin mencipta masalah baharu lebih membimbangkan.

Realitinya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama erat melahirkan mahasiswa memiliki kecemerlangan akademik berserta keluhuran jiwa. Semua institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memacu usaha menjayakan hasrat pendidikan tinggi negara menerusi kurikulum, kemenjadian mahasiswa, ahli akademik, penyelidikan dan pengurusan universiti serta semua pemegang taruh.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X