Isnin, 22 Januari 2024 | 2:11pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tarif air naik perlu seiring operasi berkualiti untuk dinikmati rakyat

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan berkuatkuasa 1 Februari ini.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Kenaikan itu adalah 22 sen bagi setiap meter padu dengan pelaksanaannya dibuat berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri. Tarif baharu air dijangka meningkat dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau 5 sen hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan. Tarif air juga akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Bil air dibayar pengguna adalah untuk menampung kos merawat air sehingga diagihkan kepada pengguna mengikut standard ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kos itu merangkumi bayaran gaji kakitangan, bil elektrik, penyelenggaraan, pentadbiran dan am. Namun, kadar tarif adalah berbeza bagi setiap negeri kerana keperluan perbelanjaan infrastruktur serta perbelanjaan pengoperasian berbeza.

Hal ini kerana tarif bergantung kepada beberapa faktor, iaitu bilangan loji rawatan air (LRA) dan aset berkaitan pembekalan air di setiap negeri, bilangan akaun pengguna, kepadatan penduduk, panjang paip perlu diselenggara atau diganti dan kemajuan serta keperluan pembangunan setiap negeri.

Natijahnya, prestasi kewangan lemah boleh menjejaskan tahap perkhidmatan operator, sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan pengguna. Kos mengurus bekalan air mulai merawat air mentah sehingga diakses pengguna adalah sangat tinggi.

Di Kedah, kos yang diperlukan menaik taraf paip adalah antara RM1 bilion hingga RM2 bilion dan kos ini belum dikira LRA. Sekiranya taraf paip tidak dibaik pulih, ramai pengguna akan terkesan kerana tekanan air rendah serta bekalan air berkeladak.

Maka, kenaikan ini diperlukan kerana pelarasan tarif air ini dapat mempertingkatkan tahap perkhidmatan dan memastikan bekalan air berterusan dalam menampung peningkatan kos operasi.

Ketika ini, kadar tarif air terawat terlalu rendah berbanding kos merawat air. Syarikat operator air terpaksa menanggung kos operasi tinggi, tetapi 'wajib' mengenakan kadar tarif terlalu murah dan tidak rasional lagi pada masa sekarang.

Tarif air di negara ini adalah keempat terendah dalam kalangan negara ASEAN setakat 2022, iaitu RM1.22 bagi setiap meter padu air berbanding RM1.37 di Vietnam, RM1.68 di Thailand, RM2.92 di Filipina dan paling tinggi di Singapura iaitu RM5.88.

Pembangunan, penaiktarafan, pembaikpulihan serta penyenggaraan membabitkan kos perbelanjaan besar. Operator air memerlukan pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan perbelanjaan modal (capex) bagi mempertingkatkan infrastruktur sistem bekalan air dan perbelanjaan operasi (opex) bagi memastikan LRA beroperasi dengan cekap.

Kadar kenaikan munasabah

Justeru, kadar kenaikan ini munasabah kerana secara purata kos keseluruhan bagi merawat serta membekalkan air di Semenanjung dan Labuan pada 2020 adalah RM1.68 bagi setiap meter padu.

Malah, purata tarif yang dikutip daripada pengguna adalah lebih rendah daripada purata kos keseluruhan, iaitu hanya RM1.37 per meter padu. Secara purata, pengguna domestik hanya dikenakan tarif serendah 30 sen bagi setiap liter padu digunakan dan paling tinggi adalah 80 sen setiap liter padu.

Faktor ini diperkuatkan lagi apabila terdapat beberapa negeri yang tarif air tidak disemak melebihi 25 tahun seperti Pahang dan Perlis dengan semakan terakhir masing-masing ialah pada 1983 dan 1996.

Golongan B40 tidak perlu bimbang kerana lapan negeri sudah menyatakan persetujuan untuk memberikan subsidi kepada golongan ini untuk terus menikmati subsidi air, antaranya Selangor manakala tiga lagi negeri masih dalam perbincangan.

Selangor dan Lembah Klang tidak pernah sunyi berdepan gangguan bekalan air sama ada berjadual atau tidak. Di Selangor misalnya, bekalan air terawat sering terjejas disebabkan berlaku pencemaran pada sumber air mentah atau paip bocor sehingga menyebabkan ribuan pengguna di Lembah Klang menderita dan menanggung azab tanpa air berhari-hari.

Lantaran itu, selaras kenaikan kadar tarif air, operator disaran membuat pelaburan berterusan membangunkan infrastruktur seperti membina atau menaik taraf LRA dan menggantikan paip usang.

Dengan ini, isu lapuk berkaitan air seperti paip usang dan pecah, sering terputus bekalan air, kualiti air kotor atau berkeladak dapat diminimumkan.

Berdasarkan data SPAN 2020, paip jenis simen asbestos (AC) sepanjang 42,076 kilometer masih digunakan di Semenanjung dan Labuan. Oleh itu, operator air perlu membuat penggantian paip usang, terutama paip jenis AC yang lama digunakan dan mudah pecah.

Paling utama, isu berkaitan pengurusan air tidak terhasil tinggi perlu diselesaikan segera. Ini membabitkan penyenggaraan secara berkala menjadi kewajipan operator air bagi memastikan peralatan di LRA berkeadaan baik, seterusnya mengurangkan insiden kebocoran paip, sekali gus menyumbang kepada pengurangan insiden gangguan bekalan air.

Berbalik kepada rakyat, mereka mahukan perkhidmatan cekap dan terbaik dalam bekalan air terawat, justeru perlu bersedia berkongsi dana untuk mendapatkan bekalan secara lestari sebagai mendapat perkhidmatan setimpal, efisien dan lestari.

Sebagai pengguna, mereka perlu cakna dan berperanan aktif bagi memastikan 189 lembangan sungai utama yang berfungsi membekalkan air mentah dipelihara daripada sebarang kacau ganggu yang berpotensi mencemari sumber terbabit.

Paling penting, pembaziran air sering dikaitkan dengan sikap tidak bertanggung jawab rakyat Malaysia harus dihentikan. Akhirnya, masyarakat sebagai pengguna perlu memastikan pengurusan air lebih berkesan pada peringkat isi rumah iaitu menggunakannya secara berhemat dan bijak.

Berita Harian X