Sabtu, 20 Januari 2024 | 10:16am
SUNGAI BESAR, 20 Okt -- Antara mahasiswa dan mahasiswi yang hadir menyaksikan Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pengajian Tinggi di Perpustakaan Pebadanan Awam Selangor (PPAS) Sungai Besar hari ini.
SUNGAI BESAR, 20 Okt -- Antara mahasiswa dan mahasiswi yang hadir menyaksikan Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pengajian Tinggi di Perpustakaan Pebadanan Awam Selangor (PPAS) Sungai Besar hari ini.

Mahasiswa, pensyarah wajar manfaatkan akhbar perkaya ilmu

Kaedah pengajaran dan pembelajaran di negara kita, khususnya bagi penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) masih tertumpu dan berharap kepada sumber maklumat arus perdana sedia ada.

Ini seperti kuliah syarahan, buku teks, buku rujukan dan jurnal akademik. Namun, terdapat satu lagi sumber maklumat sedia ada sering dipinggirkan iaitu akhbar.

Ramai antara kita tidak sedar kandungan ilmiah dalam artikel bahagian rencana terbitan akhbar tempatan, mahupun antarabangsa, boleh digunakan sebagai bahan maklumat tambahan bagi memperkasakan pemahaman pelajar berkenaan sesuatu topik dalam silibus kursus mereka.

Tidak dinafikan buku teks dan rujukan sedia ada adalah sumber maklumat utama digunakan pensyarah untuk menyampaikan kandungan silibus kursus dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ini memang sumber amat benar dalam memberikan dan membina ilmu asas serta teori berkenaan sesuatu topik itu. Namun, harus diingat dalam proses mencari dan memperkayakan ilmu pada abad ke-21 ini, seseorang tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada kandungan diperoleh daripada sumber sedia ada.

Berbanding buku teks dan rujukan, artikel diterbitkan dalam akhbar, khususnya dalam ruangan khas seperti rencana, komentar dan forum mempunyai kelebihan tertentu.

Antaranya termasuk skop penulisan dan kandungan artikel rencana surat khabar lebih terkini dan semasa. Tahap bahasa digunakan lebih mudah difahami dan tidak terlalu teknikal, mesra pemahaman segala lapisan masyarakat.

Artikel rencana akhbar juga banyak merujuk contoh konteks tempatan dan dalam negara, berbanding buku teks kebanyakannya mungkin berat sebelah kepada konteks negara tertentu dan antarabangsa.

Jika dibandingkan dengan lambakan maklumat dalam talian, khususnya hantaran dipaparkan melalui media sosial dan laman web, artikel diterbitkan sudah pasti sahih kerana melalui proses suntingan dan pengesahan sidang editorial sebelum diterbitkan.

Akses kepada rencana akhbar ini juga mudah diakses di mana-mana lokasi dan waktu. Selain edisi cetak, artikel rencana mudah diperoleh melalui versi digital dan portal laman web akhbar berkenaan, termasuk akhbar terbitan negara lain.

Rangsang minat membaca

Dalam hal ini, pensyarah boleh dapatkan akses khas warga pendidik bagi memanfaatkan artikel untuk dikongsi bersama anak didik. Pelajar juga dapat didedahkan dengan kepelbagaian kaedah pembelajaran dan pengajaran.

Penggunaan akhbar juga mampu merangsang minat membaca pelajar, terutama dalam pembelajaran terarah kendiri di bawah aktiviti pembelajaran berdikari. Justeru, memudahkan dan mempercepat pemahaman pelajar berkenaan sesuatu topik.

Kaedah pengajaran boleh dipelbagaikan dan dicorak penggunaan artikel akhbar ini. Selain pembacaan biasa, pelajar boleh diberi tugasan tertentu seperti menghasilkan rumusan peta minda, ulasan kritikal dan sumbang saran kreatif.

Hasil maklum balas daripada percubaan dijalankan mendapati pelajar lebih cepat dan mudah memahami topik tertentu silibus kursus mereka serta mendekatkan jurang ilmu teori serta praktikal, terutama dalam memahami konteks tempatan dan semasa.

Maklum balas juga termasuk memperoleh ilmu baharu yang tiada dalam silibus sedia ada.

Selain itu, beberapa potensi lain boleh dimanfaatkan, termasuk membantu pelajar mendapat maklumat terkini berkenaan topik tertentu berkaitan dengan silibus mereka serta membolehkan pelajar menghubung kaitkan sesuatu topik dalam silibus dengan konteks semasa dan konteks tempatan.

Inovasi pengajaran ini juga mampu merangsang minat pensyarah dan tenaga pengajar di IPT untuk menulis rencana di akhbar tempatan, kemudian boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pada masa hadapan.

Penulisan artikel rencana di platform akhbar oleh pensyarah juga membolehkan golongan akademik memberi maklum balas pantas dan pandangan profesional kepakaran serta bidang mereka terhadap isu semasa yang timbul, khususnya dalam konteks negara.

Berbanding penulisan jurnal akademik lebih tertumpu kepada kajian tertentu dan mengambil masa lama untuk diterbitkan, sudah pasti ada kelebihan menghasilkan rencana di surat khabar. Ini boleh membantu pensyarah mencapai keperluan minimum petunjuk prestasi utama (KPI) dalam aspek penerbitan penulisan.

Penggunaan artikel rencana akhbar sememangnya mampu memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya pada peringkat pengajian tinggi dalam konteks membantu pelajar mempelbagaikan sumber maklumat.

Maklumat terkandung dalam rencana ternyata mampu memberi maklumat berdasarkan isu semasa dan juga konteks tempatan, berbanding maklumat dalam buku teks dan rujukan sedia ada.

Oleh itu, pelajar yang mampu mengoptimumkan kepelbagaian sumber maklumat berpotensi untuk berada di hadapan rakan lain dari sudut pengetahuan terkini. Ia secara langsung mampu menambah keyakinan seseorang apabila ditanya berkenaan sesuatu topik, lantas memberi peluang terbaik pelajar menambah nilai mereka ke arah kemenjadian insan terbilang dan komprehensif.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X