Jumaat, 19 Januari 2024 | 9:57am
Seorang wanita Palestin di kubur anaknya yang terbunuh dalam serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang wanita Palestin di kubur anaknya yang terbunuh dalam serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Heret Zionis ke ICJ bukti kes genosid merentasi politik, agama

Langkah diambil Afrika Selatan dengan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beribu pejabat di Hague, dalam kes pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza, Palestin adalah langkah terpuji dan berani.

Walaupun kita mengharapkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau pemimpin negara Islam sendiri patut membawa kes di Gaza ke ICJ, Afrika Selatan membuktikan isu genosid merentasi politik dan agama.

Mungkin terdapat limitasi atau halangan dihadapi negara Islam untuk membawa kes genosid Israel ke ICJ, antaranya ialah kebanyakan negara Islam bukan penanda tangan konvensyen antarabangsa genosid dikenali sebagai Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 (CPPCG).

Ironinya juga, konvensyen itu diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) sebagai tindak balas kepada kekejaman Holocaust Nazi terhadap orang Yahudi di Eropah. Namun, pada tahun ini pemimpin Zionis Yahudi sendiri diheret ke ICJ atas kes hampir sama.

Inilah kali pertama Israel, yang menjalankan kempen menghapuskan rakyat Palestin sejak kewujudannya, dibawa ke muka pengadilan antarabangsa. Kes ini menjadi pukulan hebat kepada reputasi dan mencalar imej diplomatik serta memalukan Israel. Ini satu mesej keras Afrika Selatan ke atas rejim Tel Aviv.

Tidak hairan juga apabila Tel Aviv dengan jelas mengambil serius kes yang dibawa Afrika Selatan ke ICJ ini. Diberitakan Israel menghantar satu pasukan dibarisi 27 peguam sebagai satu pendekatan kawalan kerosakan atau damage control kepada apa juga bentuk keputusan akan diputuskan mahkamah.

Malah, menurut beberapa media antarabangsa, keupayaan Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ adalah satu kejayaan kepada Pretoria dan kekalahan awal kepada Tel Aviv.

Kedua-dua negara adalah negara penanda tangan Konvensyen Genosid. Israel tidak dapat lari, tetapi terpaksa membela diri kepada hujah dikemukakan Afrika Selatan.

Bagaimanapun, umumnya kita maklum bahawa triti atau konvensyen antarabangsa tidak mempunyai aspek hukuman efektif. Tiada rayuan apabila keputusan dibuat ICJ. Akan tetapi, jika rejim Zionis didapati bersalah oleh ICJ pun, masyarakat antarabangsa tidak berupaya menghukum.

Ini dapat dilihat dalam kes dibawa Gambia terhadap junta tentera Myanmar. Pada Januari 2020, ICJ memberi langkah untuk melindungi etnik Rohingya, namun sehingga kini genosid masih berlaku di negara berkenaan.

Dengan Amerika Syarikat (AS) di belakang rejim Tel Aviv, sebarang keputusan adalah lebih berbentuk akademik. Tambahan lagi, ICJ akan mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Apa yang terjadi kepada rakyat Palestin adalah akan terus menjadi mangsa kekejaman Israel pada tahun mendatang.

Pembunuhan, penindasan berdekad

Namun, bagi Afrika Selatan, perkara itu tidak menghalangnya untuk terus membawa Israel ke muka pengadilan antarabangsa. Afrika Selatan pernah mengalami episod genosid ketika masyarakat kulit hitam di bawah pemerintahan aparteid dikenakan tindakan penindasan dan pembunuhan oleh rejim kulit putih berdekad lamanya.

Perlu diingat negara kuasa besar seperti AS juga mempunyai dasar diskriminasi aparteid berabad lamanya. Masyarakat kulit hitam negara kuasa terbesar dunia ini dijadikan hamba dan mereka diperlakukan seperti haiwan dan sewenang-wenangnya dibunuh tanpa belas kasihan. Hanya pada akhir tahun 1960-an, barulah dasar aparteid AS dihapuskan secara perlahan-lahan.

Langkah Afrika Selatan ini mendapat sokongan negara anggota OIC, termasuk Malaysia dan Indonesia, beberapa negara Amerika Selatan dan Afrika. Namun, tidak ada satu pun negara Eropah menyatakan sokongan mereka, kecuali Turkiye atas alasan hak Israel mempertahankan keselamatannya.

Beberapa negara di Asia Barat seperti Iran pula pergi lebih jauh dengan memberikan bantuan ketenteraan kepada pergerakan pembebasan di Gaza, manakala pergerakan penentang Houthi di Yaman melancarkan serangan ke atas kapal Israel atau didaftarkan di negara menyokong rejim Zionis.

Yaman masih berhadapan dengan perang saudara yang mana kerajaan sekarang disokong Arab Saudi, manakala puak Houthi oleh Iran. China dan Russia pula lebih berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan keras. Ini mungkin disebabkan dua kuasa besar terbabit tidak mahu menjejaskan hubungan dengan beberapa negara di Asia Barat dan Eropah.

Hujah pembuka Afrika Selatan mengingatkan ICJ bahawa mahkamah itu akan gagal dalam tanggungjawabnya melindungi hak dan keselamatan rakyat Palestin jika isu dibangkitkan dianggap berbeza dengan kes genosid lain.

Kes ini bukan sesuatu yang mudah untuk dibuktikan bahawa genosid berlaku di Palestin. Pasukan pegawai dari Afrika Selatan harus meyakinkan mahkamah bahawa definisi genosid - satu tindakan memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama - dipenuhi.

Berdasarkan kepada tatacara Konvensyen Genosid, perlakuan genosid terjadi apabila pembunuhan sengaja berlaku. Kedua, pembunuhan menyebabkan kecederaan mental kepada kumpulan mangsa sasaran.

Ketiga, tindakan tentera Israel dengan sengaja membawa kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian. Keempat, tindakan Israel dengan pembunuhan wanita dan kanak-kanak adalah langkah sengaja untuk menghalang kelahiran dan akhir sekali, rakyat Palestin di Gaza dipindahkan dengan paksa.

Israel pula harus membuktikan tidak wujud komplot atau empat elemen berkenaan. Selain itu, Israel harus membuktikan ia tidak mempunyai peranan nyata melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Hujah Afrika Selatan setakat ini ialah pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sejak Oktober 2023 yang mana kebanyakan pembunuhan itu berlaku tanpa provokasi daripada Hamas.

Seramai 2.3 juta rakyat Palestin dihukum tanpa perikemanusiaan apabila Israel melakukan sekatan bantuan kemanusiaan di Gaza. Dalam hujah dua hari di ICJ, peguam Afrika Selatan menayangkan beberapa video dan kenyataan pemimpin politik dan tentera Israel meraikan kemusnahan bangunan akibat siri pengeboman dilakukan.

Kenyataan seorang pegawai kanan tentera Israel, Mejar Jeneral Ghassan Alian, mengarahkan pembunuhan dengan melabelkan rakyat Palestin sebagai haiwan yang harus dihapuskan adalah pembentangan terkuat Afrika Selatan setakat ini. Kita nantikan pengakhiran kes menarik ini.

Penulis adalah Profesor dan Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X