Ahad, 14 Januari 2024 | 8:43am
Foto hiasan
Foto hiasan

IPT perlu basmi sindrom 'kecemerlangan tanpa jiwa'

'Kecemerlangan tanpa jiwa'- ungkapan ini antara paling kerap kali bergema dalam Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di ibu negara, baru-baru ini.

Ungkapan dimulai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu dipetik beliau daripada buku Excellence Without a Soul karya Harry Lewis dalam ucapan alu-aluannya yang kemudian turut dicerakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum merasmikan wacana itu.

Jika diamati, ungkapan menjadi teguran kepada seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara itu besar implikasinya, terutama kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) tidak mengira awam mahu pun swasta.

IPT perlu memastikan pemegang taruh terbesarnya, iaitu mahasiswa yang keluar dari institusi masing-masing bukan sekadar cemerlang akademik, malah mempunyai jiwa dengan kemampuan untuk mempamerkan nilai insaniah.

Nilai dimaksudkan dalam membentuk mahasiswa holistik ini ialah ciri-ciri perlu ada pada individu mempunyai keperibadian luhur serta berintegriti.

Dalam dunia serba mencabar kini, kita cenderung berkiblat kepada kejayaan akademik dan kriteria lain yang memperlihatkan seseorang mahasiswa itu berjaya, namun adakah golongan itu benar-benar cemerlang dari sisi manusiawi atau kemanusiaan.

Dalam konteks ini, kecemerlangan mahasiswa tidak wajar dilihat bersandarkan pencapaian yang mudah diukur semata-mata, tetapi juga daripada pembentukan karakter dan sahsiah mereka.

Mahasiswa yang mencapai kecemerlangan adalah mereka sedar keperluan untuk terus memajukan diri, namun kesedaran itu menuntut kematangan fikiran dan perlu dipimpin figura dihormati, justeru tenaga pengajar serta pensyarah ialah golongan paling layak.

Tidak dinafikan tanggungjawab ini berat, namun tugas melahirkan generasi menjadi penentu kejayaan negara pada masa depan sememangnya memerlukan pengorbanan.

Saidina Ali RA pernah berkata, "Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini". Pesanan itu membuktikan betapa pentingnya usaha mendidik dan membentuk generasi muda, iaitu golongan penerus kemajuan bagi sesebuah negara.

Mahasiswa ialah ejen pembangunan negara dan mampu membantu universiti, masyarakat serta kerajaan dengan pelbagai idea menarik.

Usah terlalu ghairah kejar kedudukan

Sindrom 'kecemerlangan tanpa jiwa' ini perlu diberi perhatian serius IPT supaya tidak terlalu ghairah mengejar kedudukan atau ranking dalam penarafan universiti dunia sehingga terpaksa membelakangkan asas penubuhan institusi masing-masing.

Tumpuan jelas perlu diberikan pemimpin di IPT, lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri memberikan 'lampu hijau' dengan memberi ruang dan kelonggaran kepada pengurusan universiti untuk mewujudkan idea dan program pendidikan lebih baik.

Apabila program dihasilkan ialah sesuatu yang terbaik, tidak hairanlah jika IPT tempatan mampu bersaing dengan lebih baik pada peringkat serantau dan dunia, sekali gus melahirkan mahasiswa cemerlang 2A, iaitu akademik dan akhlak.

Malah, bukan pelajar tempatan sahaja berminat menyambung pengajian di IPT kita, pelajar antarabangsa turut menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menuntut ilmu.

Bagaimanapun, pensyarah cenderung memperuntukkan masa mereka untuk menjalankan kajian, penyelidikan dan penerbitan yang mana hasilnya lebih tertumpu kepada kecemerlangan diri mereka sebagai tenaga pengajar.

Jangan lupa matlamat utama keberadaan di IPT bukan untuk mengejar kecemerlangan individu, sebaliknya bagi memastikan kejayaan generasi pelapis untuk masa depan negara. IPT perlukan iltizam tenaga pengajar dalam memastikan graduan dilahirkan bukan sekadar mampu menterjemahkan kualiti kecemerlangan mereka dalam aspek akademik sahaja, tetapi jauh lebih penting adalah mereka perlu disemai, dididik, disemat dengan nilai tinggi.

Semua ini bagi memastikan apabila mahasiswa keluar dari IPT dan masuk ke pasaran kerja serta dalam kalangan masyarakat, mereka menjadi insan yang memiliki ciri-ciri dihormati, bukannya individu terbabit akademik, tetapi terpalit pula kes rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa serta pelbagai isu negatif lainnya seperti berlaku sebelum ini.

Penerapan nilai menyuntik jiwa dalam kecemerlangan ini memerlukan tindakan segera kerana jika tidak, negara ini akan berada dalam kebobrokan pada masa depan dan apabila semuanya sudah terlambat, pasti sukar untuk kembali ke landasan gemilang.

Elemen compassion atau ihsan yang juga satu daripada tonggak Malaysia MADANI perlu sentiasa disematkan dalam nurani setiap tenaga pengajar seperti hasrat Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi yang disampaikan kepada semua pemimpin IPT pada Wacana Strategi KPT.

Apabila elemen itu terpasak dalam diri setiap mentor kepada mahasiswa ini, pasti mahasiswa yang keluar dari IPT akan mampu menggapai ke awan, tetapi mengakar ke bumi dan cemerlang dengan jiwa. Sekiranya hasrat ini mampu direalisasikan, kita sudah tidak perlu mengejar ranking dunia kerana percayalah dunia akan datang kepada kita untuk mempelajari model terbaik dihasilkan pendidikan tinggi Malaysia.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X