Jumaat, 12 Januari 2024 | 10:37am

Usah peralat universiti, kebebasan akademik sebar idea liberal, sekular

UNIVERSITI adalah cerminan hakikat insan, manusia sekular akan melahirkan universiti sekular, sedangkan manusia Islam akan melahirkan universiti Islam. Keislaman sesebuah universiti bukan dilihat pada aspek luaran, persembahan bersifat tempelan, tetapi pada nilai dan idea dilaksanakan.

Mengikut penulis Barat sendiri, universiti di dunia mereka gagal melahirkan manusia baik dan bertanggungjawab. Ia ditegaskan Harry Lewiss dalam bukunya Excellence without a Soul apabila menyebut kebanyakan institusi pendidikan di Barat sudah melupakan konsep dan misi sebenar pendidikan.

Manusia yang keluar daripada universiti sering disebut sebagai uneducated-literates, bermaksud pemegang ijazah tidak berpendidikan, yakni manusia berkemahiran, mempunyai pekerjaan dan berpendapatan tinggi tetapi tidak berakhlak, tidak berfikiran terbuka, tidak berbudaya, tidak berintegriti serta tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, amat penting untuk pendidik dan pentadbir universiti memahami dan menekankan konsep pendidikan menyeluruh. Tujuan pendidikan tidak sepatutnya dibataskan pada melahirkan tenaga kerja mahir.

Falsafah Pendidikan kebangsaan juga menekankan tujuan pendidikan menyeluruh dan bersepadu, membangunkan semua potensi insan, akliah, rohaniah, jasmaniah agar menjadi insan baik serta berakhlak mulia.

Namun realitinya kita dapati sebahagian warga pendidik sering melupakan kepentingan agama dan akhlak. Subjek agama sering dipinggirkan, dianggap membuang masa dan tidak menambah kemenjadian pelajar. Kemenjadian pelajar hanya diukur dari aspek peluang mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Warga universiti tidak sepatutnya melupakan tanggungjawab mendidik anak bangsa. Tujuan Pendidikan seperti ditegaskan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah untuk melahirkan insan baik dan manusia beradab.

Universiti tidak sepatutnya hanya menumpukan pada melahirkan tenaga kerja mahir dan berpendapatan tinggi. Institusi pengajian tinggi (IPT) bukan kilang untuk melahirkan tenaga kerja, sebaliknya wahana pendidikan untuk melahirkan manusia utuh, berakhlak dan berbudaya serta berbudi pekerti mulia. Manusia faham akan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Antara tanggungjawab pendidikan adalah memastikan ilmu diperoleh pelajar adalah ilmu benar, bukan ilmu palsu. Pendidik bertanggungjawab memastikan anak didiknya mendapat kefahaman benar mengenai hakikat Tuhan dan manusia, faham ilmu, kebenaran, keadilan serta kebahagiaan.

Dalam Kitab Ihya' Ulum al-Din, Imam al-Ghazali ketika menerangkan adab perlu ada pada diri seorang pendidik mengatakan seseorang guru tidak sepatutnya hanya memberikan maklumat yang pelbagai tanpa memberikan panduan kepada pelajar yang manakah pandangan benar. Apabila terdapat guru melakukan hal seperti ini, maka guru terbabit perlu ditinggalkan kerana mudaratnya lebih besar daripada manfaatnya.

Tanggungjawab pendidik

Kebebasan akademik bukan lesen untuk seseorang menyebarkan fahaman liberalisme dan idea liberal seperti pluralisme agama, transgender, homoseksualiti, perkahwinan sesama jenis (jantina), kebebasan berijtihad untuk semua orang atau rombakan hukum Islam.

Pendidik bertanggungjawab menerangkan kepada pelajar mengenai ilmu boleh membenteng diri pelajar daripada kekeliruan dan fahaman serta amalan bercanggah dengan agama dan akhlak mulia.

Hak dan kebebasan tidak datang bersendirian, ia datang bersama tanggungjawab dan kewajipan mesti dipikul setiap diri insan. Tanpa tanggungjawab dan kewajipan tidak ada hak dan kebebasan.

Justeru, tumpuan masyarakat Barat kepada konsep kebebasan tanpa penekanan serupa kepada tanggungjawab dan kewajipan sebagai manusia hingga kita lihat mereka semakin jauh daripada panduan agama dan nilai murni.

Oleh itu, wacana kebebasan akademik dilaungkan golongan liberal dan sekular, yang memberi kebebasan kepada sesiapa sahaja berbicara mengenai apa sahaja, termasuk mengkritik dan menghina agama, Tuhan, Nabi, syariah dan institusi ulama, dalam konteks masyarakat Islam tidak boleh dibiarkan kerana bertentangan dengan konsep kebebasan akademik dibenarkan agama dan negara.

Universiti di negara ini, lebih-lebih lagi membawa jenama Islam, tidak sepatutnya diperalatkan dan terbabit dalam penyebaran idea liberal serta sekular. Warga universiti perlu peka dengan serangan pemikiran dilancarkan golongan sekular-liberal berupaya memporak-perandakan pemikiran umat Islam.

Sebagai contoh beberapa idea diketengahkan sebahagian orientalis bahawa syariah adalah ciptaan ulama, umat Islam tidak sepatutnya terikat dengan metodologi hukum Islam (usul fiqh) dicipta Imam Shafie pada kurun ke-3 Hijrah.

Idea ini sengaja direka-reka, tanpa bukti dan hujah kuat untuk memesongkan akidah dan melemahkan umat Islam. Dakwaan mereka sudah dijawab dengan tuntas ilmuwan Islam, antaranya Muhammad Mustafa A'zami dan penulis melalui Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal.

Terdapat ramai orientalis mengkaji Islam selama ratusan tahun, menulis banyak buku mengenai Islam dan menjadi guru besar dalam pengajian Islam di Barat. Oleh kerana menggunakan metodologi salah dan pandangan alam keliru, maka sebahagian kajian mereka terhadap Islam adalah tersasar daripada kebenaran.

Malangnya kini terdapat dalam kalangan orang Islam berusaha menjadi penyambung lidah orientalis, mendapat dana puluhan juta daripada institusi Barat, kemudiannya menterjemah dan menyebarkan buku membawa fahaman liberalisme serta sekularisme dalam umat Islam.

Semua ini dilakukan tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam, fatwa digazetkan di peringkat negeri dan kedaulatan Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memelihara agama Islam.

Kebebasan bersuara sering dilaungkan pendokong liberalisme untuk menjustifikasikan tindakan mereka, adalah idea kebebasan jelas tersasar kerana tidak menghormati undang-undang negara, Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama negara dan Raja-Raja bertanggungjawab memelihara agama Islam serta fatwa dikeluarkan mufti berkenaan fahaman liberalisme.

Hakikatnya, kebebasan bersuara mestilah diamalkan dengan mengikut lunas undang-undang, norma masyarakat dan panduan agama.

Universiti mempunyai misi tinggi untuk mengangkat harkat dan darjat bangsa di persada dunia. Universiti memiliki misi peradaban dan ketamadunan. Seyogia, ia istiqamah membawa obor ilmu dan kebenaran, menyampaikan pencerahan dalam pelbagai kemelut melanda umat manusia, bukan menjadi alat kepentingan golongan tertentu untuk merosakkan pemikiran anak bangsa demi keuntungan peribadi.

Penulis adalah Profesor Madya di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X