Selasa, 9 Januari 2024 | 9:40am

Martabatkan bahasa Melayu tanpa abai penguasaan bahasa Inggeris

Di Malaysia, dengan kepelbagaian etnik dan budaya wujud di negara ini, terdapat persoalan mengenai wujud jurang penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, umumnya di kawasan bandar dan luar bandar.

Tidak hanya disebabkan faktor demografi, perbezaan jawatan di tempat kerja, bangsa, pendedahan awal dan semasa juga menyumbang kepada jurang penguasaan bahasa kedua itu dalam masyarakat.

Sudah tentu bahasa Melayu adalah bahasa utama di negara ini, bagaimanapun tidak sepatutnya rakyat terlalu beremosi apabila membahaskan isu penggunaan bahasa Inggeris kerana ia bahasa pengantar paling penting di dunia. Keperluannya pada peringkat global tidak boleh dinafikan dan galakan untuk menguasainya harus disambut positif.

Meskipun terdapat usaha dilakukan untuk memperbaiki keadaan ini, masih terdapat banyak cabaran perlu ditangani dan faktor perlu dikenal pasti.

Satu daripada faktor nyata adalah kurang pendedahan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat berbilang kaum seawal di rumah. Kebanyakan keluarga atau komuniti menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai medium komunikasi sehari-hari, tanpa memberi keutamaan cukup kepada bahasa Inggeris.

Contohnya, sebuah keluarga Melayu sudah semestinya mempunyai kebarangkalian lebih tinggi menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi mereka, kerana ia lebih mudah difahami semua peringkat usia.

Begitu juga kaum Cina dan India yang mungkin lebih memilih bertutur dalam bahasa Cina, sama ada Mandarin atau Hokkien dan Tamil berbanding bahasa Inggeris di rumah sebagai pilihan utama.

Ada beberapa kajian mengetengahkan mengenai kualiti guru mengajar Bahasa Inggeris menyumbang kepada kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris, namun, ia bukan punca utama dan tunggal.

Sebaliknya, ia boleh dianggap faktor terpencil bagi mempengaruhi penguasaan sesuatu bahasa di sekolah kerana pelajar itu sendiri perlu dianggap tunjang kejayaan sesuatu usaha. Selagi ada kemahuan pelajar dan motivasi intrinsik untuk belajar bahasa, pasti ada ruang untuk mereka berjaya menguasainya.

Pelbagai strategi atasi jurang penguasaan

Antara strategi boleh digunakan untuk mengatasi jurang penguasaan kedua-dua bahasa adalah meningkatkan pengetahuan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian masyarakat.

Usaha ini boleh dilakukan melalui sebaran maklumat dalam bahasa Inggeris dan promosi penggunaan bahasa Inggeris dalam media massa dan platform digital.

Sebagai contoh, kerajaan dan pihak berkepentingan boleh memastikan kandungan dalam media massa seperti televisyen, radio, dan laman sesawang tersedia dalam bahasa Inggeris, selain menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama isi kandungan.

Selain itu, kerjasama dan sokongan pihak berwajib amat penting dalam meningkatkan sistem pendidikan, terutama dalam hal pengajaran bahasa Inggeris. Mereka yang terbabit dalam bidang pendidikan harus bekerjasama memperbaiki kurikulum pendidikan lebih menjurus kepada pengajaran berbentuk dua bahasa.

Antara contoh lain adalah pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di sekolah terpilih mempunyai objektif jelas untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik, meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing pada peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.

Antara strategi lain penguatkuasaan bahasa kedua adalah melalui kerjasama antara pendidik dan sistem pendidikan itu sendiri. Latihan berkala dan kemahiran dalam penyampaian pengajaran juga harus diteruskan kepada guru mengajar bahasa Inggeris dan mungkin kerjasama boleh dilakukan bersama guru bahasa Melayu.

Komen serta dakwaan negatif mungkin wujud mengenai segelintir guru bahasa Inggeris tidak kompeten mengajar bahasa itu dan memberi kesan kepada pelajar mungkin boleh disangkal dengan adanya usaha berterusan daripada pelbagai pihak.

Strategi melalui pelajar pula perlu ditambah baik, dengan adanya pembabitan pelajar dalam program membabitkan dwibahasa supaya dapat membantu meningkatkan kemahiran dua bahasa secara lebih praktikal.

Pelajar akan dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan lebih baik, membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih lancar dalam kehidupan sehari-hari.

Dengan membabitkan pelajar dalam perbualan dan aktiviti bahasa, seperti persembahan teater atau debat dalam kedua-dua bahasa, mereka akan dapat mempraktikkan kebolehan menggunakan kedua-dua bahasa berkenaan.

Ini juga membantu mereka memahami dan menghargai warisan budaya di Malaysia dan nilai kebudayaan negara luar melalui dua bahasa berkenaan.

Buang rasa takut, tak yakin

Program seperti ini akan membantu melahirkan generasi menguasai kedua-dua bahasa dan budaya mereka dengan baik yang dapat memberi keuntungan kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran adalah antara strategi lain mungkin membantu pemerkasaan untuk menguasai kedua-dua bahasa ini. Dalam era digital semakin maju ini, wujud pelbagai medium dan aplikasi dalam bahasa Inggeris boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran bahasa.

Pelajar boleh menggunakan aplikasi penterjemah, perisian perbualan dan sumber belajar dalam bahasa Inggeris untuk meningkatkan daya tutur serta kefahaman mereka dalam bahasa berkenaan. Melalui penggunaan teknologi, pembelajaran bahasa ini menjadi lebih interaktif dan menarik, pelajar lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa secara serentak.

Kesimpulannya, penting untuk semua pihak mengambil langkah sesuai bagi memastikan semua pelajar di Malaysia berbilang kaum dan budaya dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, menggunakan bahasa itu dengan yakin dan tanpa takut seiring penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan.

Penulis adalah Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Terengganu

Berita Harian X