Isnin, 8 Januari 2024 | 12:47pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Jawatankuasa khas, Ombudsman usaha lindungi anak tak bernegara

Setiap negara bergantung kepada perlindungan undang-undang tempatan serta antarabangsa untuk memelihara kedaulatannya, sekali gus berusaha memelihara sempadan daripada dicerobohi dan mengawal kegiatan dalam wilayah kedaulatannya.

Langkah penting diambil termasuk membabitkan pendaftaran individu berada dalam sempadannya. Ini bukan sahaja menjadi tanda kuasa dan kedaulatan, bahkan membolehkan sumber ekonomi terhad diagihkan mengikut tatatingkat hak individu mendiami di sesebuah kawasan.

Negara boleh mengambil keputusan ini berdasarkan faktor kelahiran manusia di sesebuah lokasi (jus soli) atau pertalian darah dengan ibu bapanya yang menjadi warganegara atau pemastautin tetap (jus sanguinis).

Hak individu mendiami sesebuah negara diberikan pengiktirafan formal menerusi pemberian pas sementara atau pas lebih kekal. Pas sementara memberikan hak terhad untuk menikmati kehidupan dalam sesebuah negara. Biasanya, ia diberikan kepada pelawat, pelajar atau pekerja asing dan pasangan dari negara lain.

Pas lebih kekal kerap kali mengambil bentuk pasport atau kad pengenalan yang biasanya diberikan kepada warganegara atau pemastautin tetap.

Kewarganegaraan penting dalam membentuk identiti individu. Ia membolehkan seseorang menetap secara kekal sama ada di negara kelahiran atau negara pilihan yang membenarkannya menetap menerusi visa diberikan atas dasar kewarganegaraan di negara asal.

Kewarganegaraan menjadi asas kepada hak untuk membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan mendapat pendidikan serta rawatan perubatan. Ia menjadi titik permulaan untuk membolehkan seseorang mewakili negara sendiri contohnya dalam sukan, persidangan politik dan aktiviti melancong.

Hak bernegara dilindungi bawah Perisytiharan Hak Manusia Sejagat 1948. Menurut Perkara 15, setiap orang berhak kepada suatu kewarganegaraan.

Namun, kewarganegaraan bersifat hubungan dua hala. Seseorang dewasa layak diiktiraf warganegara perlu mempunyai kerelaan memikul tanggungjawab kewarganegaraannya. Oleh itu, walaupun kewarganegaraan adalah hak, ia juga boleh diterima atau ditolak seseorang.

Konsep kewarganegaraan

Perlembagaan Persekutuan melindungi konsep kewarganegaraan rakyat. Warganegara berusia 12 tahun ke atas diberikan kad pengenalan biru sebagai tanda pemilikan haknya untuk bernegara.

Di negara ini, kerakyatan diberikan menerusi prinsip jus soli dan jus sanguinis. Pemberian ini penting dikawal selia kerajaan bebas, berdaulat dan berkuasa. Keputusan menentukan individu layak menerima status itu tidak boleh diambil remeh.

Namun, keputusan menafikan kewarganegaraan berpotensi mengakibatkan hak seseorang tergugat. Ia menggugat hak individu untuk bernegara apabila individu dalam sempadan sesebuah negara tidak layak menjadi warganegara di mana-mana juga negara lain.

Individu tidak layak dikurniakan kewarganegaraan oleh mana-mana negara contohnya atas dasar jus sanguinis, jus soli, natruralisasi atau pemerolehan, hanya bergantung belas ehsan negara kediamannya untuk mengelakkan tergolong 'tidak bernegara'.

Secara umumnya, sekiranya seseorang tidak layak mendapat kewarganegaraan asing dan turut dinafikan kewarganegaraan di negara kediamannya, individu terbabit dianggap berstatus 'tidak bernegara'.

Bagi individu tidak bernegara di negara ini, aspek kehidupan seperti kebebasan melanjutkan pelajaran, bekerja secara sah dan melancong ke luar negara di luar gapaian. Golongan ini ibarat banduan dan sempadan negara menjadi tirai besi.

Kini, Perlembagaan Persekutuan masih memberikan perlindungan undang-undang kepada individu terdedah kepada risiko status 'tidak bernegara'. Perlindungan dikurniakan itu disokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA).

DHRRA contohnya menyokong ramai kanak-kanak bawah usia 21 dalam permohonan mendapatkan kewarganegaraan menerusi saluran dibenarkan bawah Bahagian II dan Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Pada 2023, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memacu cadangan pindaan tertentu terhadap Perlembagaan Persekutuan. Antara dicadangkan adalah meluaskan lagi golongan berisiko tergolong individu tidak bernegara.

Ini disebabkan pindaan dicadangkan akan membenarkan kuasa mengurniakan kerakyatan bagi golongan rentan tertentu beralih daripada pelaksanaan undang-undang kepada keputusan eksekutif pegawai kerajaan.

Pada 11 Disember 2023, Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan mengenai tujuh pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dicadangkan termasuk pemansuhan seksyen 1(e) dan seksyen 2(3) Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang kini memberikan kewarganegaraan secara pelaksanaan undang-undang kepada individu yang akan mempunyai status 'tidak bernegara' selain peruntukan berkenaan.

Cadangan pindaan lain menarik perhatian Majlis Peguam ialah pemansuhan perlindungan seksyen 1(a) Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang kini membenarkan anak pemastautin tetap lahir di negara ini untuk menjadi warganegara menerusi pelaksanaan undang-undang.

Pindaan lain menjadi punca kerisauan juga perlucutan hak kanak-kanak dijumpai yang ditinggalkan untuk mendapat kewarganegaraan secara pelaksanaan undang-undang bawah anggapan terkandung dalam Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Ia akan mengehadkan pemberian kewarganegaraan kepada golongan ini menerusi pelaksanaan undang-undang. Bawah peruntukan sedia ada, kanak-kanak berkenaan dianggap lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat berkenaan, sekali gus mengelakkan golongan ini daripada diselar gelaran 'tidak bernegara'.

Antara cadangan diberikan DHRRA Malaysia ialah penubuhan jawatankuasa khas meneliti isu identiti individu tidak bernegara. Ini disebabkan frasa 'tidak bernegara' merangkumi pelbagai jenis status berbeza.

Penubuhan jawatankuasa membabitkan pakar undang-undang daripada kehakiman, Peguam Negara dan peguam bela untuk meneliti isu ini wajar dipertimbangkan kerana apa-apa langkah yang akan meluaskan golongan tidak bernegara akan menyebabkan berlaku pelanggaran hak asasi.

Perlindungan kanak-kanak

Namun, sama ada pindaan dicadangkan itu diluluskan Parlimen atau tidak, terdapat keperluan menambahkan perlindungan diberikan kepada kanak-kanak berisiko memikul status 'tidak bernegara'.

Kegemilangan negara diukur perlindungan diberikan kepada individu rentan di bawah naungannya dengan menambah penubuhan pejabat Ombudsman.

Pejabat Ombudsman berpotensi memantau keputusan kerajaan mengenai pemberian kewarganegaraan, sekali gus dapat mengurangkan kegusaran pihak berkepentingan.

Institusi Ombudsman bukanlah asing, bahkan digunakan dalam sektor kewangan. Ombudsman Perkhidmatan Kewangan bersifat tidak berpihak diberikan secara percuma kepada pengguna untuk menyelesaikan pertikaian timbul dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Ombudsman bagi isu kenegaraan juga diamalkan di negara lain. Di Amerika Syarikat (AS), Ombudsman bagi Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen (CIS Ombudsman) tidak membuat keputusan berkaitan kewarganegaraan tetapi berkuasa memantau isu prosedur seperti kesukaran mendapat temu duga dan kelewatan memproses maklumat.

Penubuhan Ombudsman untuk menyelia pematuhan terhadap keadilan dari segi prosedur dapat memantau tempoh memproses maklumat, kerumitan kertas kerja diperlukan dan pemberian sebab jelas untuk penolakan apa-apa permohonan.

Justeru, institusi Ombudsman mampu menyokong kerajaan mencapai keseimbangan antara kedaulatan negara dengan perlindungan hak asasi individu.

Penulis adalah Penyelidik Kanan di ASEAN Research Center, Asia School of Business Kuala Lumpur

Berita Harian X