Isnin, 8 Januari 2024 | 10:27am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lahir pelajar kritis, pejuang isu kemanusiaan tingkat martabat IPT

Isu dan cadangan penyelesaian diutarakan dalam Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di ibu kota selama dua hari berakhir semalam tentunya menuntut pelbagai perubahan menyeluruh sama ada pada peringkat kementerian mahupun universiti sendiri.

Apatah lagi wacana itu dimulakan dengan cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada cendekiawan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membuat anjakan paradigma dalam sistem pendidikan.

Perdana Menteri juga mahu KPT memberi lebih banyak ruang dan kelonggaran kepada pihak pengurusan universiti untuk mewujudkan program pendidikan lebih baik untuk memastikan IPT negara mampu bersaing lebih baik pada peringkat serantau dan dunia, sekali gus melahirkan pelajar berdisiplin serta berkualiti tinggi.

Pastinya wacana itu bakal menjadi landasan tepat untuk merealisasikan hasil perbincangan bersama pada sesi pemukiman itu, apatah lagi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut memberikan jaminan untuk mempercepatkan segala dasar dan pembaharuan yang dibincangkan.

Hakikatnya, universiti bukan sekadar tempat untuk mendapatkan gelar akademik tetapi harus dianggap sebagai pusat kecemerlangan moral, intelektual dan kemanusiaan.

Bertolak daripada kesedaran itu, peranan universiti tidak hanya terletak dalam penyampaian ilmu, tetapi juga dalam membentuk generasi mampu berfikir kritis, bermoral tinggi dan bersedia untuk berjuang bagi keadilan dan kemanusiaan.

Setiap universiti di negara ini memiliki tanggungjawab besar untuk tidak hanya melahirkan individu mahir dalam bidang akademik, bahkan memiliki kepekaan terhadap isu kemanusiaan mendalam seperti konflik dan perang di Palestin yang semakin kritikal.

Ini menjadikan kecemerlangan universiti tidak hanya diukur daripada prestasi akademik mahasiswa, tetapi juga daripada sumbangan mereka dalam menangani isu global memerlukan tindakan segera yang sebenarnya dilakukan di universiti terkemuka dunia.

Pelopor perubahan positif

Dalam soal serangan Israel terhadap Palestin misalnya, ia tidak boleh dianggap remeh, sebaliknya menjadi ujian moral dan kemanusiaan kepada warga sejagat. Ini adalah panggilan untuk membangkitkan semangat kepekaan dan tindakan dalam kalangan mahasiswa agar tidak hanya menjadi pengguna ilmu, bahkan pelopor perubahan positif dalam dunia dipenuhi konflik dan ketidakadilan.

Pentingnya universiti dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin bukan hanya sebagai tindakan simbolik, tetapi sebagai perjuangan kritis terhadap penindasan dan ketidakadilan. Mahasiswa sebagai ejen perubahan, perlu memandang isu ini sebagai ujian sejauh mana mereka mampu berfikir kritis dan bertindak proaktif terhadap realiti dunia.

Kita tidak boleh mengabaikan konflik di Palestin sebagai isu politik semata-mata. Ia adalah isu berkaitan dengan hak asasi manusia, akidah dan martabat kemanusiaan. Oleh itu, universiti perlu menjadi tempat di mana nilai kemanusiaan diperjuangkan dengan gigih dan tidak hanya menjadi medan pertempuran politik memecahbelahkan.

Peranan pemimpin universiti adalah sangat penting dalam memastikan mahasiswa tidak hanya terperangkap dalam lingkaran akademik, tetapi juga dididik untuk menjadi warga global peka terhadap realiti dunia.

Dalam konteks ini, pemimpin universiti perlu memastikan solidariti diutarakan mahasiswa bukan hanya bersifat retorik, tetapi diiringi dengan tindakan konkrit yang dapat memberikan impak positif kepada rakyat Palestin yang menderita.

Di samping itu, kebebasan bersuara di universiti perlu dihargai dan dijaga tanpa campur tangan politik dalam kampus yang boleh menyekat perjuangan mahasiswa. Mahasiswa perlu merdeka untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa rasa takut atau tekanan daripada pihak yang berkuasa. Ini adalah esensi sebenar daripada pendidikan tinggi bebas dan progresif.

Sebagai masyarakat akademik, kita perlu menyedari isu kemanusiaan tidak boleh dipisahkan daripada konteks politik. Namun, dalam menangani isu ini, kita perlu bersatu demi mencapai keadilan tanpa membenarkan politik kampus sempit menghalangi langkah tindakan kemanusiaan.

Pentingnya solidariti tanpa politik di universiti terhadap penderitaan rakyat Palestin harus ditekankan sebagai panggilan untuk bersatu demi kemanusiaan, tanpa memandang perbezaan siasah atau ideologi. Sebagai warga akademik, kita tidak boleh membiarkan institusi pendidikan kita menjadi medan pertempuran politik yang hanya memperdalam jurang perbezaan.

Kita berharap perjuangan kemanusiaan dari generasi muda Malaysia akan membawa kepada perubahan adil dan berdaya maju bagi rakyat Palestin yang sudah lama menderita. Sebagai anak muda, kita perlu memahami keadilan dan kemanusiaan tidak boleh dipisahkan daripada pendidikan tinggi dan universiti adalah tempat tepat untuk memupuk nilai-nilai ini.

Justeru, usaha meningkatkan martabat universiti dan mutu pendidikan serta keupayaan dan keintelektualan mahasiswa perlu bersifat menyeluruh daripada prestasi akademik hingga pemikiran kritis dan kesedaran bahawa mereka bukan hanya warga kepada satu-satu negara, bahkan warga sejagat yang ada tanggungjawab penting demi kemanusiaan dan peradaban.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X