Sabtu, 6 Januari 2024 | 1:08pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Belajar kejayaan Korea Selatan perbaiki indeks rasuah

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan imej negara di persada dunia, walaupun ada pihak berpandangan ia bukan pengukur sebenar situasi rasuah di sesebuah negara.

Malah, pada peringkat kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI, meletakkan sasaran Malaysia berada di kedudukan 25 teratas dalam CPI dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam konteks ini, kita perlu belajar daripada pengalaman negara lain, terutama berjaya memperbaiki skor dan kedudukan dalam CPI seperti Korea Selatan. Dalam CPI 2016, negara itu memperoleh skor sebanyak 53 mata dan berada di kedudukan ke-52 daripada 176 negara.

Selepas itu, Korea Selatan merekodkan peningkatan enam tahun berturut-turut dengan CPI 2022 menunjukkan skor meningkat 10 mata, iaitu 63 mata dan berada di kedudukan ke-31 daripada 180 negara.

Bagaimanapun, skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI dilihat tidak banyak berubah, malah merekodkan trend menurun beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam CPI 2016, skor Malaysia ialah 49 mata dan berada di kedudukan ke-55 daripada 176 negara.

Enam tahun berlalu, CPI 2022 menunjukkan skor Malaysia menurun kepada 47 mata dan berada di kedudukan ke-61 daripada 180 negara.

Ironinya, sebelum 2006, CPI Malaysia lebih baik berbanding Korea Selatan. Malaysia dan Korea Selatan pernah berkongsi skor dan kedudukan sama dalam CPI 2007, iaitu skor 5.1 (format lama CPI) dan kedudukan ke-43 daripada 179 negara.

Harus diingat, Korea Selatan bukan negara terkenal dengan anggota pentadbiran dan ahli politik bersih daripada rasuah. Beberapa pimpinan tertingginya, pernah dihadapkan ke mahkamah.

Antaranya, bekas Perdana Menteri, Han Myeong-sook yang mentadbir antara 19 April 2006 hingga 7 Mac 2007 dipenjara dua tahun kerana menerima sumbangan politik (rasuah) berjumlah 900 juta won (RM3 juta).

Park Geun-hye yang menjadi Presiden antara 25 Februari 2013 hingga 10 Mac 2017 pula, dipenjara 20 tahun kerana menerima rasuah 23.1 juta won (RM80,000) daripada beberapa syarikat besar.

Bekas Perdana Menteri ke-39, Lee Wan-Koo (17 Februari 2015-2 Julai 2015) didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan politik tidak sah berjumlah 30 juta won (RM100,000), tetapi dibebaskan daripada pertuduhan.

Bekas Presiden ke-10, Lee Myung-bak (25 Februari 2008-24 Februari 2013) dihukum penjara 17 tahun kerana menerima rasuah 11 bilion won (RM40 juta) bertujuan membebaskan Pengerusi Syarikat Samsung, Lee Kun-hee dipenjara atas kesalahan mengelak cukai.

Di Korea Selatan, usaha pencegahan rasuah diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Hak Asasi Manusia (ACRC), tetapi tidak mempunyai kuasa menjalankan siasatan. Tanggungjawab utamanya adalah merangka polisi berkaitan pencegahan rasuah, melaksanakan inisiatif pencegahan dan aktiviti kesedaran awam. Siasatan dan pendakwaan kes rasuah dijalankan polis, pejabat pendakwa raya dan Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO).

Inisiatif besar perkukuh integriti

Korea Selatan mempunyai beberapa inisiatif besar dalam mengukuhkan integriti sektor awam yang menyumbang peningkatan CPI Korea Selatan. Untuk rekod, CPI sebenarnya mengukur tahap rasuah dalam perkhidmatan awam.

Inisiatif pertama, penjawat awam Korea Selatan diwajibkan mengikuti kursus integriti, etika dan pencegahan rasuah. Latihan tahunan ini dianjurkan Institut Latihan Pencegahan Rasuah ACRC, selain kursus berasaskan integriti dan etika diadakan Institut Pembangunan Sumber Manusia Negara (NHI).

Di Malaysia, tanggungjawab besar ini dilaksanakan unit integriti di semua agensi awam. Latihan integriti juga ketetapan kerajaan seperti Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012: Program Transformasi Minda dan Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021: Modul Pengukuhan Governans Integriti dan Antirasuah.

Inisiatif kedua, semua agensi awam di Korea Selatan akan menghadapi penilaian berkaitan integriti. ACRC melaksanakan Penilaian Integriti Komprehensif Institusi Awam (CIA) bagi menilai dan memberi gred tertentu kepada lebih 500 agensi awam.

Menariknya, gred setiap agensi awam akan dihebahkan kepada umum. CIA dijalankan secara tahunan dengan peruntukan kewangan sekitar AS$2 juta (RM9.3 juta).

CIA melihat kepada tahap integriti, menilai usaha dilakukan untuk meningkatkan integriti dan mengukur insiden rasuah dalam agensi awam. Ia mencadangkan perkara perlu dilaksanakan agensi terbabit untuk menambah baik gred mereka.

Di negara ini, SPRM melaksanakan dua penilaian agensi awam hampir sama dengan CIA, iaitu Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam dan Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Inisiatif Pencegahan Rasuah Agensi Awam.

Berbeza dengan CIA, dapatan kajian SPRM tidak dihebahkan kepada umum. Justeru, pendekatan menghebahkan dapatan kajian kepada umum wajar dilaksanakan sebagai penambahbaikan.

Inisiatif ketiga, sistem pengisytiharan harta telus. Anggota pentadbiran kerajaan dan pegawai tinggi agensi awam di Korea Selatan wajib mengisytiharkan harta mereka setiap tahun. Ini dikuatkuasakan melalui Akta Etika Perkhidmatan Awam dikawal selia Kementerian Pengurusan Personal. Pengisytiharan harta ini boleh diakses orang awam.

Sebagai perbandingan, semua penjawat awam di negara ini wajib mengisytiharkan harta sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun. Namun, pengisytiharan harta dibuat melalui Sistem Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) dan tidak boleh diakses oleh orang awam.

Anggota pentadbiran dan ahli Parlimen pula dikehendaki mengisytiharkan harta setiap dua tahun sekali. Berdasarkan Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen dikeluarkan pada Disember 2018, dokumen pengisytiharan mesti dikemukakan kepada Perdana Menteri dan disalin kepada SPRM.

Budaya tiada kompromi rasuah

Korea Selatan dilihat berjaya membentuk budaya rakyatnya agar tidak berkompromi kepada rasuah, penyelewengan dan salah laku. Penjawat awam dilatih sentiasa berhati-hati dalam menerima hadiah daripada pihak berurusan rasmi dengan mereka.

Ini termasuk juga di sekolah, terutama kebiasaan murid memberi hadiah kepada guru sempena Hari Guru. Oleh itu, pentadbiran sekolah di Korea Selatan meletakkan nilai maksimum harga hadiah atau dengan kata lain, hadiah murah sahaja dibenarkan.

Dalam konteks Malaysia, inisiatif dan usaha tidak kurang hebatnya. Malaysia mempunyai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang banyak usaha dilaksanakan merangkumi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Tidak dinafikan kejayaan SPRM membongkar jenayah rasuah berprofil tinggi dan berkepentingan awam meningkatkan kredibilitinya, tetapi usaha ini terbukti tidak cukup untuk memperbaiki CPI Malaysia.

Pencegahan rasuah berkesan memerlukan komitmen kerajaan, penguatkuasaan tegas, pelaksanaan inisiatif pencegahan berkesan dan pendidikan menyeluruh.

Hakikatnya, resipi utama kejayaan Korea Selatan ialah ketelusan dalam pentadbiran kerajaan dalam meningkatkan tatakelola, seterusnya mengelakkan persepsi negatif masyarakat.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Berita Harian X