Rabu, 3 Januari 2024 | 12:24pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Cabaran IPT lahirkan insan berilmu, bersahsiah tinggi

Sedar atau tidak, 2023 menutup tirai dengan 1,001 kisah dan rencah. Institusi menara gading juga tidak terkecuali daripada warna-warni kisah, indah atau payah mahu pun polemik masih belum ada jalan tuntas penyelesaian.

Kesan pandemik COVID-19 melanda negara dan seantero dunia, turut mempengaruhi institusi pengajian tinggi (IPT) yang mana impaknya masih belum berakhir dan dapat dilihat menerusi kemerosotan kemasukan pelajar.

Statistik terdahulu dikeluarkan Jabatan Perangkaan mencatatkan lebih 72 peratus pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan berterusan untuk warga akademik bersikap sambil lewa isu kemerosotan pelajar melanjutkan pengajian. Pandemik ini mengubah dimensi bagaimana bakal graduan, ibu bapa dan penggiat industri melihat fungsi IPT dan sistem sokongan berkaitan.

Bagi bakal graduan dan ibu bapa, mereka melihat adakah dengan melanjutkan pengajian, kerjaya mereka terjamin dengan gaji lumayan dibayangkan. Fenomena ekonomi gig juga menjadikan isu kemasukan pelajar menjadi lebih rumit.

Pasaran ekonomi gig yang terbuka luas, tanpa batas sijil dan transkrip bergraduat menjadi suatu laluan kerjaya baharu dilihat mampu menawarkan imbuhan lebih tinggi, didatangi dengan kebebasan masa dan tempat bekerja lebih anjal.

Nilai 'kosmetik' pada industri gig sememangnya menjadi kegemaran generasi baharu yang cenderung kepada kebebasan dan tidak terikat kepada majikan.

Kerjaya baharu seperti pempengaruh media sosial yang disadur dengan elemen kemewahan dan populariti, menjadikan graduan mula menilai, apakah berbaloi menghabiskan masa selama tingga hingga lima tahun mengejar segulung ijazah yang belum tentu menjanjikan kerjaya dan kehidupan indah.

Tidak cukup dengan isu kemerosotan kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi, ramai meragui kualiti graduan dilahirkan IPT terutama ketika era pandemik, yang mana pengajaran dan pembelajaran sebahagiannya berlangsung dalam talian atau di rumah.

Lebih merumitkan, jurang perbezaan generasi baharu kurang anjal dan sukar beradaptasi dengan cabaran khususnya di alam pengajian menjadikan keberhasilan graduan seringkali dipersoalkan.

Polemik ini sekiranya berlarutan tanpa ada titik persefahaman yang boleh dihubungkan, mustahil ekosistem baik mampu diwujudkan untuk membina bakal graduan mampu menjadi pelapis di sektor kritikal negara.

Isu bayaran elaun latihan industri turut mencuit warga mahasiswa sekitar pertengahan 2023, yang mana timbul keluhan pelatih industri kecewa elaun latihan industri diterima terlalu rendah, bahkan ada yang mendakwa sesetengah industri hanya menawarkan tempat latihan namun tiada bayaran elaun.

Isu elaun bebani pelatih industri

Dilema antara kewajipan menjalankan latihan industri dan keperluan untuk menampung kos sara hidup ketika dalam latihan, menyebabkan mahasiswa berdepan jalan buntu dengan pilihan sangat terhad. Sesetengah majikan berpendapat, elaun latihan industri bukan suatu kewajiban kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai penyedia prasarana latihan.

Apa yang penting, kesinambungan pelajar untuk mendapat tempat latihan di industri mesti diteruskan, pada masa sama persefahaman mahasiswa layak mendapat bayaran munasabah dengan keperluan kos sara hidup perlu dicapai.

Isu ranking PT barangkali tidak begitu dirasai warga bukan akademik, namun tinggi rendah kedudukan sesebuah universiti menjadi perhatian bakal graduan, ibu bapa bahkan masyarakat. Kedudukan ranking tetap menjadi nilai estetika gah dipamerkan di papan iklan dan media arus perdana sekali gus menjadi penanda aras sama ada sesebuah universiti itu bagus atau tidak.

Pensyarah juga berdepan cabaran untuk kekal relevan seiring dengan evolusi teknologi, kehendak industri serta tanggungjawab kepada masyarakat.

Seorang pensyarah harus mampu melaksanakan komponen asas 7P iaitu Pengajaran, Penyeliaan, Penyelidikan, Penulisan/Penerbitan, Perundingan, Perkhidmatan kepada masyarakat dan Pengkomersialan.

Desakan untuk menghasilkan penerbitan ilmiah dalam jangka waktu singkat menjadi antara punca pensyarah menerbitkan artikel dalam jurnal pemangsa (predatory journal), sama ada secara sedar atau tidak.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah drastik dengan mengenakan larangan terhadap seluruh universiti awam (UA) menggunakan peruntukan dana kerajaan untuk tujuan penerbitan diterbitkan tiga penerbit antarabangsa terpalit kontroversi jurnal pemangsa.

Langkah agresif ini dilihat sebagai satu cara mengelakkan peruntukan dana dihabiskan kepada penerbit semakin mengabaikan aspek kualiti dan menjadikan penerbitan ilmiah sebagai lubuk perniagaan semata-mata.

Namun begitu, isu dikemukakan ini tidak harus menjadi perdebatan berlarutan tanpa penyelesaian. Pertama, bagi mengatasi masalah kemerosotan kemasukan pelajar, universiti perlu mengorak langkah drastik dengan transformasi penawaran dan rombakan kursus seiring kehendak industri.

Ia termasuk menawarkan peluang pengajian secara mod separuh masa dan 'micro-credential' bagi menarik lebih ramai bakal mahasiswa sama ada lepasan sekolah menengah mahupun golongan sudah bekerja.

Program seperti Universiti untuk Masyarakat (SULAM) inisiatif KPT adalah satu contoh integrasi pembelajaran luar bilik kuliah mampu menghubungkan mahasiswa bersama komuniti dan merapatkan jurang merentas perbezaan generasi.

Kedua, masalah penempatan latihan industri juga ditangani dengan penuh langkah strategik, seperti penyusunan pelajar mengikut zon strategik, kerjasama penawaran program secara Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), serta pertukaran kepakaran dan penyelesaian permasalahan industri bagi memastikan penggiat industri sentiasa melihat penempatan pelajar ke latihan industri adalah kerjasama menang-menang, disamping melahirkan generasi pelapis berkemahiran tinggi.

Ketiga, isu perlumbaan mengejar ranking juga mendapat perhatian sehingga pada peringkat Parlimen dan KPT. Hakikatnya, warga akademik dan masyarakat secara amnya perlu berdamai dan sedikit terbuka dalam menilai isu ini secara holistik.

Elak terjebak perlumbaan rangking

Untuk jangka masa terdekat, warga akademik tidak mampu menolak kedudukan ranking memberi kesan kepada kadar kemasukan pelajar, kebolehpasaran graduan domestik dan antarabangsa, serta rangkaian kerjasama dan pendanaan sehingga peringkat global.

Namun, perlu ada suatu langkah strategik bagaimana universiti secara amnya, tidak terjebak dengan perlumbaan ranking yang barangkali menuntut implikasi kewangan yang besar.

Penarafan domestik seperti kerangka penilaian Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) seharusnya dimartabatkan seperti disarankan Akademi Profesor Negara (APM).

Dasar dan strategi jangka panjang perlu diperhalusi, supaya universiti di Malaysia keluar daripada kemelut perlumbaan siapa lebih hebat siapa tidak hebat, namun mampu berdaya saing dan berdiri gah dengan keupayaan bidang tujahan masing-masing.

Perlu disedari, menara gading bukan kilang menghasilkan robot, sebaliknya perlu kekal relevan melahirkan insan berilmu, bersahsiah tinggi serta menjadi generasi pemimpin pelapis buat negara.

Penulis adalah Pensyarah kanan Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Berita Harian X