Sabtu, 30 Disember 2023 | 1:03pm

1,001 cerita hingga isu 'padang pecah' antara tumpuan sukan 2023

Musim 2023 menyajikan 1,001 cerita dalam arena sukan tanah air daripada detik manis kejayaan atlet negara di pentas antarabangsa hingga keputusan mengecewakan, bahkan tidak kurang kontroversi menjadi bualan hangat peminat tempatan.

Dua temasya sukan berlangsung tahun ini - Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou antara tumpuan utama, manakala isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil pula pastinya kontroversi hangat didebat, malah menjadi bahan cerita di media sosial.

Namun bagi Harimau Malaya, 2023 boleh dianggap detik kebangkitan skuad bola sepak kebangsaan menerusi keputusan memberangsangkan di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Anak buah Pan Gon mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Turkmenistan (1-0); Hong Kong (2-0); Kepulauan Solomon (4-1) dan Papua New Guinea (10-0). Skuad Harimau Malaya juga mengikat dua pasukan 100 terbaik dunia, Syria (2-2) serta China (1-1).

Rekod tanpa kalah Malaysia berterusan selepas menundukkan India 4-2 pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 di sini Oktober cuma gagal menjuarainya selepas tumpas 0-2 kepada Tajikistan di final.

Skuad negara bermula baik pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila mengumpul enam mata maksimum dalam dua perlawanan awal Kumpulan D.

Ini melonjakkan Malaysia dalam ranking dunia, mendaki tiga anak tangga hingga posisi ke-130 pada November, kedudukan terbaik dalam tempoh 17 tahun.

Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) pula mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama meraih 'double quadruple' , menyapu bersih keempat-empat trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) buat dua musim berturut-turut.

JDT dibimbing Esteban Solari memulakan kempen dengan menjulang Piala Sumbangsih sebelum mempertahankan Piala FA kali kedua berturut-turut dengan menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0, Julai lalu.

Skuad Harimau Selatan dinobatkan juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut dan menambah koleksi kejuaraan apabila menjulang Piala Malaysia menewaskan Terengganu FC 3-1.

Lain pula nasib kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Kemboja apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas, iaitu pencapaian terburuk selepas apa diraih kontinjen negara di Vietnam tahun lalu.

Malaysia mengakhiri cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa, sekali gus kilauan emas paling sedikit dalam tempoh 20 tahun sejak Sukan SEA Hanoi 2003.

Di pentas Sukan Asia Hangzhou, pencapaian enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa boleh disifatkan memuaskan. Ia melebihi sasaran 27 pingat tanpa mengira warna ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi masih gagal mengatasi pencapaian pada edisi ke-18 di Jakarta-Palembang (tujuh emas, tiga perak dan 16 gangsa).

Pencapaian terbaik kontinjen negara adalah di Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan meraih sembilan emas, 17 perak, 17 gangsa dan menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan.

Di gelanggang badminton selepas enam tahun menanti, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Denmark, Oktober lalu.

Pasangan nombor tiga dunia itu menundukkan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit. Meskipun bergelar juara dunia pada 2022, Aaron-Wooi Yik masih kemarau kejuaraan Jelajah Dunia sejak digandingkan pada 2027.

Fenomena atlet para

Sementara itu, pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan mencipta sensasi apabila menjuarai Kejohanan Boling Dunia di Salmiya, Kuwait, Oktober lalu. Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

Malah, beregu boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi menamatkan penantian 15 tahun Malaysia dengan muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia, September lalu.

Pasangan kali pertama beraksi di kejohanan tertinggi itu menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon 15-11.

Malah, pencapaian itu juga adalah yang pertama diraih pemain boling padang wanita negara sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada 1966.

Kontinjen para negara terus cemerlang, malah konsisten menjelmakan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa dengan pencapaian meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa dalam Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja, sekali gus melepasi sasaran 33 emas, 51 perak dan 58 gangsa.

Barisan atlet 'luar biasa' turut menyinar di Hangzhou, apabila 'lulus cemerlang' melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) apabila membawa pulang tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa pada Sukan Para Asia 2022 diadakan pada tahun ini selepas ditangguhkan kerana pandemik.

Secara individu, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin boleh diangkat atlet paling berjaya apabila memecah rekod dunia miliknya bagi menjuarai kategori lelaki atas 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Dubai menerusi angkatan 231kg, untuk memadam catatan terdahulu, 230kg dilakar semasa Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Shereen juarai saingan 400m wanita Kejohanan Klasik BAYTAF semalam.
Shereen juarai saingan 400m wanita Kejohanan Klasik BAYTAF semalam.

Di trek lumba, jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy mencetuskan kebangkitan skuad olahraga negara apabila memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou sejak kali terakhir atlet olahraga melakukannya pada 2006.

Shereen turut menjadi watak penting membantu kuartet 4x100m wanita merangkul gangsa. Kali terakhir skuad olahraga memenangi pingat adalah menerusi Roslinda Samsu merangkul perak dalam acara lompat bergalah dan Noraseela Khalid dalam acara 400m lari berpagar (gangsa) di Sukan Asia Doha, 2006.

Musim 2023 jelas bukan tahun positif buat skuad hoki lelaki senior dan remaja negara apabila menamatkan kempen Piala Dunia 2023 di tempat ke-13 dan berputih mata dalam misi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, malah gagal mengesahkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana sekadar mengakhiri saingan di tempat keenam terbaik.

 Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Skuad 'Young Tigers' juga gagal memanfaatkan kelebihan sebagai hos Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, dengan sekadar menamatkan kempen di tangga ke-12.

Kontroversi paling hangat diperkatakan dalam arena sukan pastinya padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hingga diibaratkan 'kuih seri muka' ketika final Piala Malaysia 8 Disember lalu.

Isu padang menjadi perhatian ketika saingan Pestabola Merdeka, Oktober lalu menyaksikan rumputnya tercabut meskipun sudah dinaik taraf menggunakan rumput Zeon Zoysia ditaja Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, keadaan tampak lebih baik ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgzstan, bulan lalu. Malangnya, permukaan padang kembali rosak selepas konsert Coldplay, bulan lalu dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) gagal menyiapkan kerja pemulihan hingga sepak mula final Piala Malaysia antara JDT dengan Terengganu FC, 8 Disember lalu.

Penulis adalah Wartawan Sukan BH

Berita Harian X