Jumaat, 29 Disember 2023 | 10:30am

Pembunuhan Zayn Rayyan kekal misteri menuju penutup 2023

Ismanira Abdul Manaf, 28 kelihatan sedih selepas mendapat berita terkini keputusan bedah siasat jenazah anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, (kiri) yang dibunuh di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ismanira Abdul Manaf, 28 kelihatan sedih selepas mendapat berita terkini keputusan bedah siasat jenazah anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, (kiri) yang dibunuh di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Penemuan mayat anak istimewa, Zayn Rayyan Abdul Matiin berhampiran aliran anak sungai berdekatan blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, 6 Disember lalu antara kes jenayah menarik perhatian ramai sebelum 2023 melabuhkan tirainya.

Sebelum itu, ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya ketika menaiki tangga Blok R ke rumah mereka selepas bermain di taman permainan apartmen berkenaan, 5 Disember lalu.

Biarpun pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes budak hilang dan mati mengejut, hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mendedahkan mangsa sebenarnya dibunuh berdasarkan kesan luka mempertahankan diri pada tubuhnya.

Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2 disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan berhampiran aliran anak sungai berkenaan selepas polis mula giat memburu suspek terbabit dengan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Forensik Bukit Aman mengambil sampel DNA penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak tersebut, 200 Meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto BERNAMA.
Anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Forensik Bukit Aman mengambil sampel DNA penduduk dalam usaha mengumpul bukti baharu bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak tersebut, 200 Meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. - Foto BERNAMA.

Anggota polis melakukan pemeriksaan di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu. NSTP/ASWADI ALIAS
Anggota polis melakukan pemeriksaan di kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu. NSTP/ASWADI ALIAS

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sudah merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman Damansara Damai dan mengambil 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi merungkai misteri kes pembunuhan kanak-kanak itu yang sehingga berita ini ditulis masih belum ada noktahnya.

Selain kes Zayn Rayyan, kes pembunuhan kejam secara tikaman dengan mangsa adalah ibu bapa pelaku sendiri turut berlaku pada tahun ini.

Pada 9 Disember lalu, sepasang suami isteri warga emas ditemukan maut dipercayai ditikam anak lelaki dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala.

ANGGOTA keluarga mangsa kelihatan sedih ketika anggota polis mengeluarkan mayat pasangan warga emas yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badir Saali
ANGGOTA keluarga mangsa kelihatan sedih ketika anggota polis mengeluarkan mayat pasangan warga emas yang dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri di Kampung Sungai Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badir Saali

Pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah. Sumber berkata, berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar jam 7 malam.

Selain itu, angkara cemburu, seorang wanita mati ditikam berkali-kali sehingga terkena jantung oleh teman lelakinya di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang, Selangor, 18 Disember lalu.

Negara juga dikejutkan dengan kes seorang anak lelaki berusia 47 tahun yang didakwa pada 28 Jun lalu di Mahkamah Majistret Muar kerana membunuh ibunya berusia 73 tahun di Taman Temiang Utama, Muar Johor, 18 Jun 2023.

 Seorang jiran menunjukkan lokasi mangsa di bunuh selepas berlaku pergaduhan dan di tanam di Kampung Sg Choh. NSTP/FATHIL ASRI.
Seorang jiran menunjukkan lokasi mangsa di bunuh selepas berlaku pergaduhan dan di tanam di Kampung Sg Choh. NSTP/FATHIL ASRI.

Terbaharu, gara-gara selisih faham seorang lelaki berusia 19 tahun mati dibunuh abang teman wanitanya dan mayat mangsa ditanam di dalam semak di belakang rumah suspek di Kampung Sungai Choh, Rawang, 23 Disember lalu.

Setakat ini, polis menahan seramai lapan orang termasuk tiga wanita berumur antara 19 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

 ANGGOTA dan pegawai polis ketika operasi di 'mini Dhaka' di Jalan Silang, Kuala Lumpur semalam. NSTP/ Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ANGGOTA dan pegawai polis ketika operasi di 'mini Dhaka' di Jalan Silang, Kuala Lumpur semalam. NSTP/ Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sementara itu, isu kebanjiran pendatang tanpa izin di negara sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk jenayah turut mendapat perhatian pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila menyerbu 'Mini Dhaka' di Jalan Silang, di sini pada 21 Disember lalu dan berjaya menahan 1,101 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan.

Operasi bermula jam 11 pagi dengan disertai 1,138 pegawai dan anggota daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membabitkan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9) mendapat pujian orang ramai yang sudah muak dengan perangai besar kepala sesetengah warga asing di situ.

Sindiket dadah tumpas

Pada tahun ini, polis turut melakar beberapa kejayaan menumpaskan sindiket dadah dengan yang terbaharu membabitkan penahanan seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna, 25 Disember lalu.

Lelaki yang turut menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan jenayah dilakukan sejak 2015 itu ditahan bersama sembilan lagi anggota kumpulan sindiket itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media khas memaklumkan sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Selain itu, polis juga berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Melaka selepas merampas pelbagai jenis barang terlarang itu, dianggarkan bernilai RM6.94 juta susulan penahanan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun, 18 November lalu.

Sementara itu, kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi menjadi tumpuan apabila bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis pada 7 Julai dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa disyaki memainkan peranan penting dalam penyelewengan dana 1MDB tiba dari Amerika Syarikat pada 8 Oktober bagi membantu siasatan skandal itu, selepas dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York.

Susulan penahanan Ai Swan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 16 Ogos lalu dilaporkan berkata lebih banyak aset membabitkan kes 1MDB akan dirampas dalam masa terdekat dan akan dilucutkan hak untuk dikembalikan kepada kerajaan melalui proses mahkamah.

Dalam pada itu, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima tampuk pimpinan baharu tahun ini selepas ketua masing-masing bersara wajib.

Pada 21 Jun lalu, Razarudin menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun lalu bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya.

Berselang tiga bulan, pada 6 September, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mendapat Panglima baharu ke-22, iaitu Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman selepas penyandangnya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang bersara. – BERNAMA

Berita Harian X