Jumaat, 22 Disember 2023 | 10:42am

UPSR, taksiran PISA warnai isu pendidikan negara pada 2023

SEKTOR pendidikan yang berulang kali ditekankan sebagai kunci penentu masa depan rakyat dan negara tidak pernah sunyi daripada isu berbangkit hingga menarik perhatian setiap lapisan masyarakat, pembuat dasar, guru, ibu bapa, mahasiswa dan pelajar sekolah.

Misalnya polemik dan desakan supaya Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan bagi menilai pencapaian murid di peringkat sekolah rendah. Walaupun sudah lebih dua tahun dimansuhkan, cadangan supaya dikembalikan masih kedengaran.

Antara yang menarik perhatian, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada 22 November lalu membangkitkan impak pemansuhan peperiksaan itu dengan menyifatkan ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar memohon memasuki sekolah itu.

Selepas 30 tahun peperiksaan diperkenalkan sejak 1988, ia menjadi antara petunjuk penting mengukur keupayaan akademik murid dan acap kali menjadi perhatian bagi melayakkan diri ke MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Pemansuhan UPSR diumumkan pada 28 April 2021 oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah untuk mengukur pencapaian murid.

Namun, pada 28 Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan ibu bapa mahu satu penanda aras bagi pencapaian anak mereka diwujudkan.

Di sebalik keputusan KPM itu, kerajaan Sarawak cuba menentang arus apabila negeri itu bercadang melaksanakan sistem penilaian sendiri bagi menggantikan peperiksaan UPSR di wilayah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan ujian berkenaan akan menjadi penanda aras sebenar menilai prestasi murid.

KPM tumpu Kurikulum Persekolahan 2027

Berhubung polemik UPSR ini, Fadhlina menjelaskan tumpuan KPM adalah pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat dimulakan dengan prasekolah pada 2026, manakala murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu pada 2027.

Kurikulum dengan pendekatan baharu iaitu pendidikan karakter, literasi asas 3M (membaca, menulis dan mengira) serta kelas pembelajaran bersepadu itu bakal memperkasa pelaksanaan PBD bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid serta kaedah pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

Aspek pendidikan karakter akan dilaksanakan itu mempunyai satu slot masa khusus dan menumpukan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari peringkat prasekolah sehingga menengah atas. Pendidikan karakter akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia.

Pelaksanaan kurikulum baharu itu, berteraskan kepada tujuh domain iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi itu bermatlamat melahirkan murid berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.

Dalam perkembangan berasingan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada Februari lalu turut berharap KPM memansuhkan Program Dwibahasa (DLP) yang ketika ini dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah bermatlamat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pada 6 Disember lalu Fadhlina dilaporkan berkata pelaksanaan DLP membabitkan murid Tahun Satu di sekolah rendah boleh diuruskan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing secara berasingan mengikut kes.

Topik lain menarik perhatian ibu bapa adalah KPM pada 23 Mei lalu, memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari mulai 2026, berbanding bermula Mac dilaksanakan sejak 2022 susulan penularan COVID-19.

Isu lain turut menghangatkan bidang pendidikan adalah Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) melaporkan Malaysia mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.

Hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik itu, skor direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan, dilaporkan berkata sebahagian besar 81 negara peserta turut merekodkan kemerosotan purata pencapaian bagi tiga domain literasi dalam PISA 2022, yang mana pandemik COVID-19 dilihat antara faktor penyumbang utama.

Purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik mencatat skor 409 mata berbanding 440 pada 2018, Literasi Saintifik 416 berbanding 438 mata, dan Literasi Bacaan 388 berbanding 415 mata.

Menerusi PISA 2022, seramai 7,069 pelajar dari 199 sekolah dan institusi pendidikan negara dinilai sebagai sampel mewakili 390,400 murid berusia 15 tahun di Malaysia.

Selain itu, antara isu berbangkit sepanjang 2023 dalam bidang pendidikan adalah isu berkaitan disiplin pelajar, masalah buli, murid melarikan diri dari asrama akibat tidak tahan dibuli selain tindakan guru melempang dan menyepak murid dalam satu majlis dihadiri ibu bapa.

Penulis adalah Wartawan BH

Berita Harian X