Rabu, 20 Disember 2023 | 3:01pm
Foto hiasan. - Reuters
Foto hiasan. - Reuters

Penyuntingan baka secara tidak terkawal lahirkan manusia mutan

Bayangkan jika anda boleh memilih jantina, warna kulit, rambut dan mata, ketinggian serta kecerdasan minda anak. Kemampuan ini bukan lagi sains fiksyen, bahkan hampir tidak mustahil pada masa hadapan.

Teknologi Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats (CRISPR) muncul sebagai teknik rekayasa yang merevolusikan sains kaji hayat manusia dan alam hidupan tetapi mencetuskan perdebatan, terutama konsep bayi pereka (designer babies) atau penulenan baka (eugenik).

Secara sejarahnya, penulenan baka wujud sejak zaman ahli falsafah Yunani, Plato lagi. Ia membolehkan saintis mengubah suai kod genetik secara tepat dengan menyasarkan dan mengubah urutan tertentu dalam DNA. Lebih mengagumkan, pengubahsuaian ini bersifat kekal dan boleh diwarisi.

Bayi pereka atau manusia eugenik secara amnya merujuk penghasilan bayi tabung uji disunting kod genetiknya semasa di peringkat embrio untuk memiliki ciri khas atau mempunyai mutu lebih baik.

Bagaimanapun ia membabitkan satu siri langkah rumit. Pertama, saintis perlu mengenal pasti gen spesifik menyebabkan penyakit tertentu atau mengekod ciri-ciri khas diinginkan.

Kemudian ia akan disuntik ke dalam embrio sihat untuk menyunting gen spesifik berkenaan. Embrio ini kemudian akan disaring untuk memastikan tiada suntingan lain berlaku dalam genom individu terbabit. Embrio ini seterusnya akan dibiak dan diimplantasi ke dalam uterus ibu, sebelum berkembang dalam rahim ibu seperti normal.

Pada 2018, seorang saintis China mengumumkan kejayaan mencipta bayi CRISPR pertama di satu persidangan antarabangsa - kembar tidak seiras yang DNA disunting semasa peringkat embrio, manakala bapa adalah pengidap HIV.

Kelahiran bayi diberi nama Nana dan Lulu bukan sahaja mengejutkan komuniti sains, malah masyarakat dunia, sekali gus menerima pelbagai kritikan saintis. Saintisi itu menyunting gen CCR5 yang mutasinya dianggap mencipta sifat kebal daripada jangkitan HIV, virus penyebab AIDS untuk melindungi bayi daripada dijangkiti ibu bapa.

Namun, kajian mengenai gen ini masih lagi cetek dan belum ada bukti kukuh menunjukkan penyahaktifan gen boleh menghalang satu-satu individu daripada dijangkiti HIV. Tambahan pula, keselamatan dan keberkesanan teknologi masih baharu serta belum terjamin.

Kajian langgar kod bioetika

Lebih penting, saintis berpendapat kajian itu melanggar kod bioetika dan tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan ahli sains itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, didenda USD430,000 (RM2 juta) dan dilarang seumur hidup daripada bekerja dalam sains reproduktif.

Walaupun pengumuman itu mencetus kontroversi, potensi teknologi menyunting DNA embrio adalah tidak mustahil. Perkara paling penting untuk merealisasikan hal ini adalah mengetahui fungsi gen menyumbang kepada ciri atau baka diingini secara jelas dan jitu.

Jika gen itu mempunyai fungsi lain dalam sel manusia, sudah tentu ia akan merosakkan fungsi normal sel jika disunting. Matlamat utama teknologi itu adalah merawati penyakit genetik yang sebelum ini agak mustahil dirawat.

Penyakit disebabkan mutasi gen tunggal - seperti fibrosis sistik atau anemia sel sabit atau mutasi gen pelbagai - seperti kanser, berpotensi diperbetulkan sebelum kelahiran. Teknologi itu memberikan sinar harapan kepada keluarga mempunyai sejarah penyakit sedemikian, sekali gus membolehkan mereka mendapat zuriat bebas daripada beban genetik terbabit.

Baru-baru ini, teknologi itu terbukti menyembuhkan penyakit anemia sel sabit dewasa hanya menggunakan sel stem darah pesakit. Kejayaan ini membuktikan ia mampu digunakan di peringkat dewasa, bukan hanya di fasa embrio.

Teknologi CRISPR sebenarnya ditemui pada 2012 oleh dua penyelidik wanita, Jennifer Doudna dan Emmanuelle Charpentier, yang kemudiannya memenangi Hadiah Nobel Kimia pada 2020.

CRISPR ialah sistem pertahanan imun digunakan bakteria untuk menyerang serangan virus. Dua saintis berkenaan menunjukkan sistem itu boleh diprogramkan untuk memotong DNA di sebarang tempat secara tepat.

Pada 2013, sekumpulan penyelidik daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) berjaya membuktikan sistem itu boleh digunakan untuk mengedit genom sel manusia. Teknik terbabit menjadi popular dan ramai penyelidik mengaplikasikannya untuk mengedit sel manusia, selain semua hidupan termasuk sel haiwan dan tumbuhan.

Realitinya, konsep penyuntingan itu melangkaui isu kesihatan, malah apa membabitkan ramai adalah 'mereka cipta' bayi pilihan ini. Teknologi terbabit juga menimbulkan kegusaran mengenai ketidakseimbangan masyarakat, penurunan nilai kepelbagaian semula jadi dan mencabar kitaran hayat kewujudan manusia.

Penyuntingan genetik embrio manusia umpamanya boleh mengarah kepada mutasi tidak diingini atau menghasilkan bayi yang badannya terdiri daripada beberapa sel disunting secara separa. Jika tidak dikawal selia, tidak mustahil manusia akan menjadi mutan seperti digambarkan dalam filem X-Men.

Oleh itu, beberapa siri cadangan dan garis panduan diwujudkan selepas insiden bayi CRISPR termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewujudkan panel kepakaran antarabangsa untuk mengkaji cabaran saintifik, etika, sosial dan undang-undang berkaitan penyuntingan genom manusia.

Antara syarat pentingnya adalah membenarkan penyelidikan membenarkan embrio tetapi embrio terbabit tidak boleh diimplan sama sekali ke uterus untuk mendapatkan kelahiran.

Di negara ini, terdapat polisi kebangsaan menjelaskan halangan untuk menyunting embrio dan aktiviti ini diklasifikasikan sebagai aktiviti tidak bermoral. Perbincangan dari sudut agama terutama dari sudut perspektif syariah Islam wajar diperbahaskan supaya terdapat satu panduan jelas dan bertepatan dengan maqasid syariah.

Namun, penyelidikan teknologi ini adalah dibenarkan jika membabitkan model sel selenjar dan sel haiwan serta tumbuhan bersifat fundamental tertakluk kepada kelulusan bioetika dikawal selia Jabatan Biokeselamatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Di Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), beberapa penyelidikan dijalankan menggunakan teknologi CRISPR untuk menyunting dan menyahaktif gen mendorong kepada kanser menggunakan model sel selenjar, manakala beberapa siri bengkel mengenainya turut dijalankan dan menarik minat pelbagai saintis seluruh negara, selain menawarkan Sijil Profesional Teknologi CRISPR.

Realitinya, teknologi CRISPR semakin berkembang dan pelbagai variasi teknologi melangkaui aspek penyuntingan genom, antaranya pengawalseliaan gen, pembangunan sensor diagnostik dan pengimejan sel demi memberi kesan berkesan terhadap teknologi perawatan penyakit yang mustahil disembuhkan sebelum ini dan membina tamadun moden lebih dinamik dan sihat.

Penulis adalah Felo Penyelidik Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI)

Berita Harian X