Sabtu, 16 Disember 2023 | 9:30am
Tujuh teras KPM jadi usaha murni bentuk acuan falsafah pendidikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. - Foto hiasan NSTP
Tujuh teras KPM jadi usaha murni bentuk acuan falsafah pendidikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. - Foto hiasan NSTP

Tujuh teras bentuk acuan falsafah pendidikan berkualiti

TUJUH teras nadi keunggulan Kementerian Pendidikan (KPM) diilhamkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai langkah pemerkasaan sektor pendidikan negara ke landasan betul menarik untuk diteliti ketika Kerajaan Perpaduan baru melepasi usia setahun.

Ini kerana ia bukan sahaja menyokong falsafah Malaysia MADANI gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahkan sebagai persiapan menyediakan sektor pendidikan negara kalis masa depan.

Lengkap lagi menyeluruh, pelaksanaan tujuh teras merangkumi aspek komunikasi lebih cekap dan telus antara kementerian dengan sekolah, penekanan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak serta integriti.

Malah, ia juga memberi perhatian terhadap isu kemiskinan berbilang dimensi keluarga B40, menangani isu keciciran dan masalah literasi serta numerasi, selain menjaga kebajikan guru, peningkatan infrastruktur sekolah dan peningkatan keupayaan digital.

Jika diteliti, kesemua teras diketengahkan adalah usaha mampan KPM memastikan setiap dasar berkaitan pendidikan mampu mencapai sasaran ditetapkan.

Satu aspek terpenting dalam teras ini ialah usaha konsisten KPM mengenal pasti pelajar kurang bernasib baik akibat kerentanan ekonomi dengan kewujudan pelbagai program berorientasikan bantuan agar semua pelajar dapat merasai pengalaman menimba ilmu di bangku sekolah tanpa perlu risau implikasi ketidaktentuan ekonomi.

Usaha awalan itu sudah tentu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang dapat meringankan beban ibu bapa dan penjaga murid. Ia bakal dipertingkat menerusi perancangan jangka sederhana dan panjang KPM.

Gelombang dan fenomena pemodenan juga menuntut individu agar dilengkapi ilmu bermanfaat yang lebih arif dan cakna dengan perubahan di sekeliling. Tidak ketinggalan, konsep seperti manusiawi dijadikan sebahagian inisiatif pendidikan dengan memperkasakan sekolah model khas lebih berkualiti.

Selaras dengan itu, RM630.77 juta dibelanjakan di bawah projek naik taraf dan penyelenggaraan kecil institusi pendidikan untuk memastikan agar setiap tandas di sekolah dibaik pulih semula serta beroperasi dengan baik.

Paling penting dalam tujuh agenda utama KPM ialah langkah mengurangkan beban tugas guru. Terdapat beberapa isu berbangkit membabitkan tugasan disandang guru tetapi kali ini, kerajaan memandang serius implikasinya hingga memperkenalkan beberapa langkah seperti pemansuhan sebarang bentuk majlis dan sambutan pertandingan tidak memberikan impak besar.

Begitu juga, mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah, pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada selain guru, memperkukuhkan autonomi guru dalam urusan berkaitan pelajaran dan pembelajaran.

Langkah sebegini membuka ruang bersesuaian kepada guru untuk menyumbang khidmat bakti tanpa dibebankan tugasan tidak diperlukan, sekali gus usaha kerajaan mengiktiraf peranan guru sebagai ejen ilmu terus bergerak menyinari pemikiran anak bangsa.

Turut menarik dilihat juga usaha KPM membantu murid dengan menggerakkan inisiatif seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dianggarkan 753,752 murid mendapat manfaat secara terus. Usaha ini dipercayai akan meningkatkan lagi motivasi murid untuk terus menuntut ilmu dalam suasana lebih selesa dan kondusif serta tidak dibebani permasalahan tertentu.

Walaupun proses ini memerlukan masa untuk diterjemahkan sebaik mungkin, perincian berkaitan aspek pendidikan sudah berjaya diperkemaskan dengan mengambil kira sentimen keperluan kontemporari.

Acuan falsafah pendidikan

Justeru, tujuh teras diperkenalkan ini menjadi usaha murni membentuk acuan falsafah pendidikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi, selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan konsep Malaysia MADANI.

Selepas setahun di bawah pentadbiran kerajaan MADANI ini, hampir semua agensi kerajaan berperanan kritikal untuk menyampaikan perkhidmatan baik dan bermutu kepada rakyat. Dalam hal ini, KPM tidak terlepas daripada menggalas beban sosial ini demi untuk membekalkan kualiti baik terutama sekali dari kerangka pendidikan negara.

Umum menyambut baik langkah KPM dalam usaha mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat dan pandangan signifikan mengenai kurikulum persekolahan baharu 2027 dan elemen terkini seperti pendidikan karakter, fleksibiliti serta digitalisasi sebagai tumpuan utama bermatlamat melahirkan murid berpengetahuan, kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.

Langkah ini diambil sebagai satu daya khusus untuk merentasi enklaf globalisasi dengan memaksimumkan sebaik mungkin modal insan yang ada dan seiring tuntutan global semakin mencabar dalam hal berpaksikan pendidikan. Namun perkara paling menonjol dalam kesemua ini adalah kepemimpinan Fadhlina itu sendiri dalam memimpin KPM.

Keterlibatan beliau sebagai tonggak nombor satu dalam KPM itulah menyuntik dan menyemat inspirasi pendidikan nasional demi merealisasikan agenda penting membabitkan pemegang taruh pelbagai jenis latar belakang menerusi penekanan serius kepada sektor pendidikan melalui falsafah Malaysia MADANI inklusif mengambil kira citra Malaysia rencam dan beraneka ragam.

Dalam konteks arus globalisasi mencabar ini, beliau sentiasa peka akan keperluan semasa murid kerana mereka adalah generasi baharu bakal mencorakkan masa hadapan melalui satu bentuk pemikiran berdaya saing, kritis dan kreatif. Hal ini penting memandangkan penyediaan modal insan berkualiti dan MADANI perlu bermula di peringkat awal di sekolah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X