Ahad, 10 Disember 2023 | 9:51am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Didik masyarakat celik media elak gejala lesu berita

Antara kejadian besar saya ketahui menerusi pembacaan akhbar ketika kecil dahulu ialah pesawat MAS penerbangan MH653 terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977. Gambar tangan bercincin, antara cebisan mayat nahas dimasukkan dalam guni plastik memang terpahat sampai sekarang.

Sejak itu membaca akhbar yang menjadi sumber berita utama rakyat menjadi kemestian harian. Bukan hanya saya, bahkan boleh dikatakan hampir sesiapa sahaja di kampung membaca akhbar dari kulit ke kulit. Malah, kami 'pecah-pecahkan' bahagian akhbar yang disediakan di kedai makan atau kedai runcit, lalu berganti membacanya dengan tekun.

Tanyalah sesiapa sahaja di kampung ketika itu, mereka mengakui akhbar, radio dan televisyen sebagai sumber maklumat penting. Cuma orang kampung saya mengakui berita penting, tetapi apabila saya melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) belajar kewartawanan, rupa-rupanya ramai tercengang tidak mengetahui bidang berkenaan.

Lucu, mereka tahu berita dibaca daripada akhbar tetapi tidak sedar bahawa ada orang bekerja sebagai wartawan menyediakan berita tersebut.

Bagaimanapun, saya rasa sejak 10 tahun lalu, keadaan berubah. Masakan tidak, akhbar di kedai makan dan runcit masih cantik tersusun hingga ke petang. Mungkin ramai sudah mampu membeli naskhah sendiri. Namun, daripada data jualan akhbar, kita dapati ia tidak begitu.

Daripada perbualan dengan rakan, ramai mengaku mereka tidak lagi ambil peduli mengenai berita. Mereka tidak rasa ketinggalan apa-apa pun jika tidak membaca berita. Menakutkan! Sumber berita mereka adalah media sosial.

Begitupun, berdasarkan pakar yang mengkaji bidang media massa ini, keadaan sebegitu bukan hanya terjadi di negara kita. Ia fenomena global yang diistilahkan sebagai news fatigue (lesu berita).

Ketika saya menghadiri persidangan anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA) di Singapura bulan lalu, perkara ini turut dibangkitkan, malah Pengarang Straits Times daripada Singapore Press Holdings (SPH), Jamie Ho mengulas isu ini dan bagaimana pihaknya cuba mengatasi perkara itu yang dilihatnya mula ketara sejak 10 tahun lalu.

Ketidakmampuan proses maklumat

Bagaimana keadaan lesu berita terjadi? Pada era teknologi maklumat merebak pesat, ramai terdedah kepada berita daripada pelbagai sumber setiap hari. Namun, dengan kemunculan media sosial, portal berita dalam talian dan saluran berita tradisional, masyarakat semakin menghadapi lesu berita. Kelesuan ini muncul apabila seseorang berasa dunia mereka terlalu dibanjiri maklumat sehingga boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental dan emosi.

Satu cabaran utama dihadapi masyarakat kontemporari ialah ketidakmampuan untuk memproses jumlah maklumat berlebihan. Dengan adanya berita tersebar melalui pelbagai platform setiap hari, individu berasa sukar menyaring dan menilai kepentingan setiap berita. Kelesuan ini boleh menyebabkan peningkatan tahap tekanan dan keletihan emosi.

Kemunculan berita palsu atau berita tidak terbukti juga memberi sumbangan kepada fenomena lesu berita. Pengguna sering terdedah kepada tajuk sensasi atau kandungan meragukan sehingga boleh mencetuskan kebimbangan dan ketidakpastian. Dalam keadaan terlalu banyak maklumat palsu, masyarakat mungkin kehilangan kepercayaan terhadap sumber berita.

Penggunaan media sosial juga memberi kesan kepada lesu berita. Sering kali individu terdedah kepada berita melalui paparan berulang kali di platform tersebut terutama membabitkan berita tidak mereka gemari, boleh menyebabkan keletihan dan kebosanan. Selain itu, perbincangan berita tidak bertempat di media sosial boleh menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan.

Bagi mengatasi lesu berita, adalah penting bagi individu untuk mengamalkan pemilihan maklumat bijak dan kritis. Masyarakat perlu belajar bagaimana untuk menyaring berita diterima dan memberi tumpuan kepada sumber berita dipercayai. Menetapkan had waktu untuk mengakses berita juga boleh membantu dalam mengurangkan tekanan dan kebosanan.

Selain itu, pendidikan mengenai literasi media sangat penting. Masyarakat perlu dididik untuk mengenali berita palsu dan memahami kesan sampingan lesu berita terhadap kesejahteraan mental. Kemahiran ini membantu individu untuk menjadi pengguna media lebih bijak dan bertanggungjawab.

Dalam dunia terus berubah dengan cepat, adalah penting untuk mengambil tindakan tepat untuk memastikan lesu berita tidak menguasai pengalaman media harian kita. Dengan kesedaran dan pendidikan, masyarakat boleh mengembangkan keupayaan untuk menguruskan maklumat dengan lebih efektif dan menyihatkan.

Selain itu organisasi media juga perlu berperanan 'mengubat' sindrom lesu berita kepada pembaca mereka. Organisasi media adalah sebuah unit perniagaan, justeru, mereka perlu fikirkan untuk siapa berita atau kandungan keluaran mereka hendak 'dijual'.

Jika untuk kehendak massa, tentulah berita kisah manusia, jenayah dan hiburan serta rencana bermaklumat menarik minat mereka.

Jika ini tidak ditawarkan, pembaca akan menjauh dan mencari alternatif berita lain untuk mereka hingga kita sudah jarang mendengar ada orang masih setia dengan budaya membelek akhbar dari kulit ke kulit.

Terpulang kepada organisasi media untuk melaksanakan peranan mengubat gejala lesu berita dalam kalangan rakyat. Namun, kami di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan BH sendiri akan melaksanakannya.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X