Jumaat, 8 Disember 2023 | 2:36pm
Foto hiasan. - Reuters
Foto hiasan. - Reuters

Komitmen awam, NGO mantapkan usaha SPRM banteras rasuah

Tahun ini adalah ulang tahun ke-56 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi khusus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang rasuah serta bertanggungjawab menggerakkan inisiatif pendidikan antirasuah di negara ini. Selama usia penubuhannya, SPRM fokus menjalankan fungsinya mencegah jenayah rasuah daripada terus berleluasa.

Namun seiring dengan perubahan zaman, teknologi dan kepintaran manusia, jenayah rasuah juga turut tidak ketinggalan mengalami revolusi. Jika dahulu rasuah boleh dikesan dengan mudah, kini ia lebih 'lutsinar' dan ampuh daripada pandangan mata kasar.

Malah, bukan suatu perkara pelik jika transaksi rasuah boleh berlaku tanpa membabitkan pergerakan fizikal atau material untuk dibuktikan. Ia bukan lagi dalam bentuk wang ringgit semata-mata, ia boleh menjangkau sehingga barang berharga atau mata wang maya.

Seiring jenayah semakin canggih dengan pelaku semakin licik, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia juga sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Jika 10 tahun dahulu undang-undang rasuah hanya tertakluk kepada individu sahaja, kini wujud peruntukan khas untuk organisasi komersial bagi memastikan kebertanggungjawaban korporat melaksanakan perniagaan dalam persekitaran berintegriti dan bebas rasuah.

Sekiranya perundangan sudah diperkukuh dan mekanisme kawalan dalaman ditetapkan, langkah seterusnya ialah mendidik setiap individu dalam negara ini memandang jijik kepada perbuatan rasuah.

Seharusnya wujud kesepaduan dalam setiap individu untuk bersetuju bahawa rasuah itu jenayah dan bukan sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa belas kasihan atau simpati.

SPRM secara aktif mengambil pendekatan mendidik setiap peringkat masyarakat untuk membenci rasuah. Program Wira Anti-Rasuah (WAR) disasarkan khusus bagi golongan di peringkat sekolah rendah dan menengah, manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) pula diadaptasi di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Bukan itu sahaja, bermula pada tahun ini, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam mata pelajaran pengajian umum di semua IPT. Justeru, boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal nilai positif dalam usaha menghindari rasuah ini jelas dilaksanakan di peringkat awal pendidikan.

Bagaimana pula dengan mereka yang sudah keluar daripada sistem pendidikan? Untuk kelompok masyarakat lain, sentiasa wujud inisiatif memberi pendidikan pencegahan rasuah berterusan oleh SPRM.

Program libat urus dengan masyarakat diadakan secara khusus mengikut kelompok sasaran. Contohnya, penganjuran program bersemuka bersama kelompok belia diadakan dari semasa ke semasa menerusi kumpulan atau persatuan belia. Tidak ketinggalan program bersemuka dianjurkan mengikut kaum.

Begitu juga kempen kesedaran tidak henti-henti dipromosikan kepada rakyat sama ada mesej peringatan di lebuh raya sehingga ke peringatan mesra di ruang maya atau ingatan ringkas di halwa telinga, semua diusahakan.

Walaupun hakikatnya sudah lebih lima dekad usaha mendidik masyarakat dilaksanakan secara menyeluruh dan proaktif, namun cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini mendapatkan dan memelihara sokongan berterusan masyarakat umum memerangi rasuah.

Ikrar Bebas Rasuah zahir komitmen

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah antara penzahiran komitmen paling mudah untuk dilaksanakan sama ada sektor awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lafaz ikrar dan janji secara sukarela seluruh organisasi akan diketuai kepimpinannya bertujuan menyematkan kebertanggungjawaban dan komitmen setiap warga organisasi melaksanakan tugas dengan berintegriti.

Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 2,049 organisasi merangkumi awam, swasta dan NGO sudah menandatangani IBR sebagai satu penzahiran komitmen antirasuah mereka.

Bagi mempelbagaikan dan menggalakkan penzahiran komitmen antirasuah dari entiti korporat pula, insentif potongan cukai bagi pelaksanaan program integriti dan antirasuah membabitkan komuniti dilaksanakan berkuat kuasa 5 April 2021.

Ia suatu peluang baik untuk syarikat menjalankan perniagaan di Malaysia termasuk koperasi mengambil peluang melaksanakan aktiviti antirasuah bersama komuniti bagi menzahirkan komitmen organisasi mereka.

Tarikh 9 Disember adalah Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) dipersetujui 190 negara menyertai Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC) termasuk Malaysia dengan mengangkat tema Menyatukan Dunia Menentang Rasuah.

Tema ini menekankan kepentingan kesatuan dan kesepaduan setiap individu dalam memerangi jenayah rasuah yang boleh memberi impak kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan sesebuah negara.

Penting untuk setiap pihak bersatu padu menentang rasuah memandangkan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030), 'rasuah' adalah salah satu risiko perlu ditangani bagi memastikan pembangunan, keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai.

Setiap pihak dan rakyat perlu menyokong dan menyertai usaha SPRM memerangi rasuah dengan menyatakan pandangan positif, mesej atau sokongan anda di laman sosial dengan meletakkan tanda pagar #hara2023 #iacd2023 #sprmpencegahan. Selamat Hari Antirasuah Antarabangsa.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Berita Harian X