Jumaat, 1 Disember 2023 | 9:36am
Foto hiasan
Foto hiasan

Larangan produk halal di Uttar Pradesh serlah dasar anti-Islam

Baru-baru ini, berkuat kuasa pada 18 November lalu, Muslim di India dan luar India dikejutkan dengan langkah kontroversi diambil kerajaan wilayah Uttar Pradesh dipimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), mengenakan larangan ke atas pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan dan kosmetik disahkan halal.

Malah dikatakan kerajaan wilayah ini sudah lama merancang mengenakan larangan ke atas produk disahkan halal. Keputusan ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pelbagai masyarakat, bukan sahaja umat Islam di India bahkan di luar India.

Kerajaan Uttar Pradesh menyatakan larangan itu berdasarkan isu kesihatan awam dan untuk mencegah kekeliruan. Mereka berhujah pensijilan halal yang menjadi tanda aras pematuhan kepada undang-undang Islam, mengganggu piawaian kualiti ditetapkan Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006.

Namun, rasional ini disambut dengan keraguan serta kritikan dan ramai melihatnya sebagai percubaan untuk terus meminggirkan umat Islam di India. Tindakan kerajaan pimpinan BJP di Uttar Pradesh ini dilihat banyak pihak sebagai sebahagian daripada dasar anti-Muslim yang semakin meluas.

Berbalik kepada aspek halal, pensijilan halal adalah penting bagi umat Islam kerana memastikan makanan dan produk mematuhi undang-undang pemakanan dalam Islam. Maka, larangan terbaharu itu bukan sahaja menjejaskan keperluan amalan agama, tetapi juga berpotensi menyasarkan perniagaan dimiliki atau memenuhi keperluan orang Islam.

Sekatan dan larangan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk makanan, ubat-ubatan serta kosmetik halal melanggar hak orang Islam bebas mengamalkan agama mereka.

Pengharaman produk halal dilihat dalam konteks peningkatan Islamofobia di India dan dunia. Dasar seperti ini, secara langsung memberi kesan kepada amalan agama Islam, boleh memburukkan lagi diskriminasi sedia ada dan terasing dalam kalangan masyarakat Muslim.

Ia juga menimbulkan persoalan komitmen terhadap kebebasan beragama dan nilai sekular dalam demokrasi terbesar di dunia. Malah dasar ini menyokong dakwaan Suruhanjaya Kebebasan Agama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) tahun lalu mengatakan terdapat kemerosotan ketara kepada prinsip kebebasan beragama di India di bawah pemerintahan nasionalis Hindu lalu mengesyorkan sekatan disasarkan ke atas penindasan sedemikian.

Malah ia adalah tahun ketiga berturut-turut suruhanjaya terbabit menegur dan meminta India diletakkan dalam senarai 'negara yang menjadi perhatian khusus'.

Berhubung dengan alasan dikemukakan kerajaan wilayah Uttar Pradesh konon pensijilan halal mengganggu piawaian kualiti ditetapkan Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006, sejauh manakah dakwaan itu benar.

Persijilan halal adalah perincian kepada prosedur atau panduan dijadikan rujukan pihak pengusaha industri halal yang ingin memohon sijil pengesahan halal dikeluarkan mana-mana badan pensijilan halal.

Laksana konsep 'halalan tayyiban'

Jika diteliti secara lebih mendalam, pensijilan halal adalah proses memastikan pengusaha industri mengamalkan konsep 'halalan tayyiban' secara berkesan dalam penghasilan produk makanan. Tayyiban bermaksud 'baik' (tayyib) yakni bersih, suci, selamat, berkualiti dan tidak memudaratkan.

Ia bukan sahaja membabitkan pemilihan bahan ramuan semata-mata, tetapi juga merangkumi keseluruhan proses bermula daripada peringkat penyediaan bahan, pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehinggalah produk itu disajikan kepada pengguna.

Jika diteliti prosedur sedia ada, terdapat empat elemen penting membuktikan pensijilan halal adalah suatu usaha berterusan mendidik pengusaha beramal dengan konsep 'halalan tayyiban'.

Elemen itu termasuk pematuhan halal terhadap ramuan makanan, amalan baik dalam keseluruhan pengendalian makanan, pelaksanaan sistem jaminan halal dan pematuhan kepada perundangan berkaitan dan kawalan berterusan pihak pengurusan pensijilan halal.

Pematuhan kepada perundangan berkaitan adalah termasuk aspek kualiti dan keselamatan makanan menjadi kewajipan pada Akta Keselamatan dan Piawaian Makanan India 2006 atau perundangan berkaitan makanan di mana-mana negara sekalipun.

Oleh itu, persijilan halal menjadi satu sistem kualiti peringkat global kerana piawaian ditekankan adalah tinggi, termasuk aspek kualiti dan kebersihan. Maka, apabila pelanggan membeli produk mendapat pengiktirafan halal, ia juga dijamin bersih dari segi pemprosesan dan kualiti makanan.

Selain itu, produk halal terutama dihasilkan untuk eksport perlu mematuhi Standard Antarabangsa ISO 22000 Pengurusan Keselamatan Makanan (FSM), standard piawaian makanan paling ketat untuk memastikan produk makanan itu bersih, selamat dan sihat (hygiene).

Malaysia sudah lama menjadi peneraju industri halal. Kerajaan giat membangun dan meningkatkan ekosistem halal, termasuk mengiktiraf untuk menyokong perkembangan sektor halal luar negara. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengenal pasti dan mengiktiraf badan halal di luar negara serata dunia.

Badan halal diiktiraf JAKIM ini perlu melalui pemeriksaan sangat ketat dan telus. Badan berkenaan perlu diiktiraf dan berdaftar secara sah di negara mereka, mempunyai pemeriksa berkelayakan sesuai sama ada dalam bidang syariah dan teknikal, serta mematuhi keperluan pensijilan halal atau keperluan lain disyorkan JAKIM.

Sehingga 9 November lalu, terdapat 86 badan persijilan halal di seluruh dunia mendapat pengiktirafan JAKIM iaitu selaku pihak berkuasa agama berwibawa negara ini. Daripada 86 badan terbabit adalah dari India iaitu Halal India Pvt Ltd, JUHF Certification Pvt Ltd dan Jamiat Ulama-l-Hind Halal Trust (JUHHT).

Halal India Pvt Ltd ialah biro pemeriksaan kebangsaan dan antarabangsa di India dalam bidang keselamatan makanan menjalankan audit dan pensijilan, bukan sahaja audit halal untuk pensijilan halal, tetapi juga pensijilan untuk sistem kualiti lain.

JUHF Certification Pvt Ltd adalah badan pensijilan halal tunggal di India diiktiraf semua pihak berkuasa pensijilan halal utama di dunia termasuk JAKIM.

Secara asasnya terdapat prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan dalam masyarakat yang pelbagai seperti India. Namun begitu, dasar wilayah terbabit yang mengambil tindakan menyekat dan melarang kesemua aktiviti berkaitan produk halal adalah bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.

Jika dilihat, hujah dikemukakan mengenai larangan produk halal itu bukan mengenai kesihatan awam tetapi menyentuh lain isu terutama dasar peminggiran minoriti agama dilihat begitu ketara di India. Larangan ke atas produk disahkan halal di Uttar Pradesh adalah perkembangan amat membimbangkan, bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi bagi sesiapa menghargai kebebasan beragama.

Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Halal Universiti Malaya

Berita Harian X