Khamis, 23 November 2023 | 1:56pm
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. - Foto hiasan
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. - Foto hiasan

Usaha tingkat bidang kuasa jenayah syariah perlu dibuat secara harmoni

Pada 1988, suatu pindaan dibuat terhadap Perkara 121 dengan penambahan klausa 1A menganugerahkan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah. Ini disebabkan sebelum itu Mahkamah Sivil campur tangan dalam kes Mahkamah Syariah sehingga membatalkan keputusan dibuat.

Secara teori, ia jelas memisahkan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, tetapi secara amalan, tetap berlaku pertindanan bidang kuasa dalam kes tertentu, terutama dalam kesalahan jenayah syariah berkaitan pelanggaran perintah terhadap ajaran Islam (offences against precepts of Islam).

Mahkamah Persekutuan dalam kes kontroversi Iki Putra Mubarrak (2021) memutuskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan seks luar tabii sebagai tidak sah dan tidak Perlembagaan (null and void).

Terbaharu, kes Nik Elin Zurina (2023) pula mencabar 20 (kini 18) peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 rentetan daripada kes Iki Putra itu. Bagaimanapun, kes Nik Elin tidak akan dibincangkan kerana masih dalam proses perbicaraan pada peringkat Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan mentafsirkan frasa except in regard to matters included in the Federal List sebagai preclusion clause atau peruntukan menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen.

Perlu difahami Senarai I, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengandungi 27 perkara termasuk undang-undang jenayah, manakala Senarai II, Senarai Negeri jadual sama memperuntukkan 13 perkara termasuk 'pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan'.

Sedar atau tidak, peruntukan dalam Kanun Keseksaan secara relatifnya 70 peratus mematuhi Islam. Adalah lebih baik sekiranya peruntukan tidak mematuhi kehendak syarak dipinda atau dimasukkan ke dalamnya yang akhirnya, pemakaian 'undang-undang jenayah Islam' dapat dilaksanakan dalam kerangka Kanun Keseksaan terpakai untuk orang Islam dan bukan Islam.

Walaupun terdapat pandangan mengatakan harmonisasi undang-undang mempunyai persamaan dengan Islamisasi undang-undang, hakikatnya pendekatan harmonisasi adalah lebih berhikmah, mesra dan bersifat penyelesaian dalam kerangka sistem undang-undang sedia ada di negara kita.

Memadai inti pati menepati Islam

Perlu dinyatakan tidak perlu melabelkan sesuatu undang-undang itu dengan perkataan Islam, tetapi memadailah inti patinya menepati Islam. Justeru, tidaklah bermaksud harmonisasi undang-undang itu hanya berlaku ke atas akta atau enakmen undang-undang Islam di negeri, tetapi ia juga berlaku ke atas akta undang-undang sivil dan terpakai ke atas orang Islam dan bukan Islam.

Tanpa cuba mengesampingkan kuasa diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil seperti bidang kuasa sedia ada (inherent jurisdiction), kuasa semakan kehakiman dan tafsiran serta senarai bidang kuasa melalui Senarai I, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, seharusnya bidang kuasa diperuntukkan kepada mahkamah sivil melalui Senarai II, Senarai Negeri jadual sama juga perlu dihormati dan tidak dipandang rendah.

Tidak harus dilupakan, Perlembagaan juga memperuntukkan Senarai Bersama, iaitu Senarai III membolehkan kedua-dua mahkamah beroperasi sama dalam hal tertentu. Perkara 74(1) misalnya membenarkan Parlimen membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara disebut dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama.

Keputusan Iki Putra mengubah konsep asas penubuhan negara berasaskan federalisme membentuk Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Persekutuan Malaysia (1963). Sementelahan Persekutuan dan negeri diberikan bidang kuasa masing-masing melalui Senarai I, II dan III, keputusan kes Iki Putra meruntuh sistem sekian lama berjalan di negara kita.

Maka, pihak eksekutif dan legislatif perlu memperbetulkan tafsiran Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra dengan menggunakan Perkara 76(b)(c) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Pihak eksekutif perlu membawa usul meminda Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama supaya jelas memberi kuasa kepada DUN membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah.

Pada 28 Ogos lalu, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang berbangkit susulan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Menyahut titah Sultan Selangor di atas, IKIM mengesyorkan agar suatu pendekatan harmoni, holistik dan secara lateral perlu diambil dalam mentafsirkan sebarang peruntukan dalam undang-undang terutama membabitkan agama Islam.

Ia tidak boleh ditafsir secara harfiah/literal seperti diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan sekiranya membawa implikasi boleh memudaratkan bidang kuasa DUN dalam membuat undang-undang yang ia mempunyai bidang kuasa berkenaan.

Pendekatan tafsiran holistik perlu bagi memberi kuasa kepada DUN bagi negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang jenayah bagi semua orang termasuk jenayah syariah bagi orang Islam melakukan kesalahan menyalahi perintah agama Islam.

Rujuk kembali Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 11(1) menggalakkan semua agama diraikan untuk hidup bersama secara aman dan damai.

Pada masa sama, pihak pengamal undang-undang sivil dan syariah seperti hakim, peguam, ahli akademik menerusi pelbagai jawatankuasa perlu duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian harmoni dan tuntas. Seharusnya, Parlimen dan DUN serta Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Malaysia bersikap melengkapi (complementing), bukan menyaingi (competing) antara satu sama lain.

Apa jua keputusan dan cabaran mendatang terhadap peruntukan undang-undang jenayah syariah khususnya selepas ini, semua pihak harus bersikap tasamuh atau berlapang dada serta lebih memahami undang-undang dalam konteks sebenar.

Usaha meningkatkan bidang kuasa jenayah syariah perlu dibuat secara harmoni dan mengikut prosedur ditetapkan. Justeru, MKI dan Majlis Raja-Raja berperanan penting dalam hal ini kerana urusan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa baginda.

Berita Harian X