Selasa, 21 November 2023 | 9:18am

Fahami polemik sebenar undang-undang jenayah syariah

ISU undang-undang kesalahan jenayah syariah kembali menjadi tajuk hangat. Apa dibimbangkan pendekatan digunakan pihak tertentu berjaya mewujudkan kegelisahan umat Islam dan mempengaruhi parti politik turut serta dalam kempen mereka yang mempunyai implikasi mengukuhkan naratif Malaysia sebagai negara sekular dan pemansuhan Perkara 121(1A) Perlembagaan.

Meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) untuk menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji isu berbangkit, kelihatan momentum kegelisahan umat Islam belum dapat diredakan.

Undang-undang jenayah syariah merangkumi aspek awam dan peribadi meliputi kesalahan hudud dan takzir. Sungguhpun kesalahan berkenaan ada termaktub dalam al-Quran dan al-Sunah, sistem undang-undang kontemporari mensyaratkan kesalahan dan hukumannya perlu digubal.

Semua perlu melalui proses perundangan untuk memperincikan kaedah pelaksanaannya. Prinsip itu adalah selaras dengan agama Islam yang mementingkan keadilan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang ditafsirkan Perkara 160(2), 'termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.'

Undang-undang bertulis ditafsirkan sebagai termasuk Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan mana-mana negeri. Pemakaian common law adalah tertakluk pada Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972), manakala adat dan kelaziman mempunyai kuat kuasa undang-undang itu termasuk kesalahan jenayah syariah termaktub dalam undang-undang adat Melayu bertulis.

Adat Melayu terletak di bawah Butiran I Senarai 2 Jadual Kesembilan, iaitu bidang kuasa negeri dan menurut Perkara 150(6A), walaupun dalam keadaan darurat sekalipun Parlimen tidak berkuasa meluaskan bidang kuasanya dalam adat Melayu dan adat anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Kepentingan utama adat Melayu dalam Perlembagaan ialah kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah ditafsirkan sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT dan penerus risalah Nabi Muhammad SAW.

Perkara 162(1) menetapkan pemakaian undang-undang sedia ada adalah tertakluk pada ubah suai yang perlu menurut Perlembagaan. Berdasarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu mendasari prinsip kedaulatan dan peruntukan Perlembagaan seperti dihuraikan dalam buku Kedaulatan Malaysia Governan Utama Negara, ternyata ubah suai itu tidak boleh dianggap menghalang pelaksanaan undang-undang jenayah syariah.

Ubah suai itu bermaksud dua perkara. Pertama, pelaksanaan undang-undang jenayah syariah hendaklah menurut bidang kuasa di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan. Kedua, selagi undang-undang sedia ada itu tidak dimansuhkan atau dipinda melalui penggubalan undang-undang kontemporari selepas Hari Merdeka.

Pada sisi Perlembagaan, undang-undang kesalahan terbahagi kepada dua. Pertama, jenayah awam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Kedua, kesalahan peribadi orang Islam diistilahkan sebagai offences relating to precepts of Islam, terpakai kepada orang Islam sahaja.

Jenayah awam diletakkan di bawah Butiran 4 Senarai I Jadual Kesembilan; diperihalkan dalam Kanun Keseksaan akan dibicarakan mahkamah keadilan Persekutuan ditadbir oleh undang-undang Persekutuan.

Kesalahan offences relating to precepts of Islam diletakkan di bawah Butiran I Senarai II Jadual Kesembilan; diperihalkan dalam enakmen Negeri (melainkan di wilayah-wilayah Persekutuan, undang-undang tersebut dinamakan akta) akan dibicarakan oleh mahkamah syariah ditadbir oleh undang-undang negeri.

Sekiranya diperiksa Kanun Keseksaan; terdapat antaranya kesalahan bunuh, mendatangkan kecederaan, rompak, curi, liwat dan rogol berserta hukuman tertentu. Selanjutnya dalam enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri; terdapat kesalahan minum arak, zina dan qazaf berserta hukuman tertentu.

Tiada peruntukan hukum hudud

Kesalahan itu adalah sebahagian besar kesalahan jenayah syariah yang sekian lama berkuat kuasa di Tanah Melayu sebelum Hari Merdeka. Namun, selain qisas bagi kes bunuh, tiada peruntukan hukuman hudud dalam undang-undang Persekutuan dan negeri.

Kesalahan jenayah syariah termaktub dalam Kanun Keseksaan diadili melalui Akta Keterangan 1950. Sekiranya diteliti keseluruhan peruntukan akta berkenaan, didapati pembuktiannya belum memperuntukkan syarat hukuman hudud.

Justeru, hukuman dalam Kanun Keseksaan adalah takzir. Begitu juga halnya dengan enakmen kesalahan jenayah syariah dalam undang-undang negeri melainkan Kelantan dan Terengganu.

Enakmen keterangannya juga tidak memenuhi syarat sabitan hukuman hudud justeru hukuman diperuntukkan adalah takzir semata-mata. Enakmen kesalahan hudud bagi Kelantan dan Terengganu tidak akan dibincangkan secara khusus di sini.

Ketiadaan peruntukan hukuman hudud dalam Kanun Keseksaan dan enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri tidak bermaksud penggubalan hukuman berkenaan disekat oleh Perlembagaan. Pindaan undang-undang Persekutuan dan negeri boleh dibuat untuk melaksanakan hukuman hudud.

Parlimen boleh meningkatkan takat hukuman mahkamah syariah untuk menghukum kesalahan jenayah minum arak, zina dan qazaf bagi membolehkan hukuman hudud dikuatkuasakan bagi orang Islam sahaja.

Kuasa untuk menentukan takat hukuman kesalahan di mahkamah syariah adalah terletak di bawah Parlimen. Kerajaan Kelantan dan Terengganu perlu mengatasi sekatan takat bidang kuasa diberikan oleh Akta 355 untuk melaksanakan hukuman hudud murtad, minum arak, zina dan qazaf.

Pada masa sama, pindaan terhadap Kanun Keseksaan, Akta Keterangan dan undang-undang Persekutuan lain boleh dibuat untuk memasukkan hukuman hudud bagi rompak, curi, liwat serta peruntukan diyat bagi kes bunuh. Kesalahan jenayah syariah itu perlu dikekalkan sebagai undang-undang awam supaya tiada diskriminasi dan ketidak- adilan.

Akhirnya, isu sebenar yang dipolemikkan pada hari ini ialah bidang kuasa antara mahkamah keadilan Persekutuan dengan mahkamah syariah, bukan seperti digembar-gemburkan. Kewajipan kita semua adalah menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri di Malaysia.

Penulis adalah Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM)

Berita Harian X