PENINGKATAN skala bencana alam dihadapi dunia, termasuk Malaysia mutakhir ini dapat dikaitkan dengan krisis perubahan iklim hingga persediaan menghadapi cabaran berkaitan sering dianggap sebagai keperluan mewujudkan daya tahan komuniti.
Kekerapan bencana alam seperti banjir memberi kesan jangka panjang seperti psikologi, kerosakan fizikal, harta benda, kehilangan nyawa dan kenaikan harga barang keperluan harian dengan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan jumlah kerugian akibat banjir pada 2022 adalah sebanyak RM622.4 juta.
Pengupayaan daya tahan komuniti perlu diperkasa agar mereka sentiasa bersiap siaga apabila berlaku bencana dengan memberi tindakan pantas. Persediaan menghadapi bencana perlu memberi fokus kepada keupayaan komuniti untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim seperti banjir lebih kerap dan kemarau berpanjangan.
Oleh itu, komuniti perlu diberi pendedahan, pendidikan dan kesedaran bahawa mereka perlu sentiasa mengambil tanggungjawab membina daya tahan bagi menghadapi bencana. Ini bermakna, mereka tidak hanya semata-mata bergantung kepada pihak berkuasa apabila menghadapi bencana banjir.
Dalam merealisasikan hasrat ini, komuniti perlu diperkasa dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi bencana tanpa menunggu pihak berkuasa. Tindakan pantas ahli komuniti ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko dan impak apabila berhadapan dengan bencana.
Banjir bencana utama negara
Laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) mencatatkan bencana utama melanda negara ini adalah banjir sebanyak 43.4 peratus dan ribut (28.2 peratus).
Bencana banjir dan kejadian ribut yang sering melanda terutama di luar bandar biasanya menjejaskan komuniti berpendapatan sederhana dan rendah. Ini mengambil masa lama dan turut memberi kesan mendalam kepada mereka untuk pulih semula.
Hasil kajian lapangan oleh kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dilaksanakan di Pantai Timur Semenanjung membabitkan beberapa kawasan terkesan banjir pada akhir Disember 2022, menemukan persiapan individu dan komuniti terbabit dengan bencana banjir dipengaruhi pengalaman mereka terkesan dengan bencana.
Malah, persiapan melalui tindakan komuniti seperti penyimpanan stok makanan, alat keselamatan seperti jaket keselamatan, ubat-ubatan dan dokumen peribadi. Malah, mereka turut bekerjasama dalam membantu membuat persiapan.
Menariknya, kajian ini juga menunjukkan kerjasama antara semua pihak menjadi kunci utama kejayaan bagi menimbulkan kesedaran terhadap ancaman bencana. Kempen kesedaran, kursus dan latihan secara formal dan tidak formal pula berkesan dalam dijadikan antara langkah penting dalam mempersiapkan komuniti bagi menghadapi bencana.
Ini jelas membuktikan daya tahan komuniti sangat penting dalam menghadapi bencana seperti banjir, malah boleh memberikan kesan berbeza apabila sesuatu musibah melanda di kawasan penempatan mereka.
Pembinaan daya tahan kalangan komuniti dalam menghadapi bencana dilihat berjaya dalam aspek komunikasi dan kerjasama antara ahli komuniti, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan lain, sekali gus penting untuk tindak balas bencana dan usaha pemulihan cepat serta berkesan.
Malah, komuniti mempunyai sumber dan infrastruktur mencukupi seperti perkhidmatan kecemasan, kemudahan kesihatan dan sistem pengangkutan, lebih bersedia untuk bertindak balas terhadap krisis serta berupaya meminimumkan kerosakan.
Dalam kita berbicara mengenai pembinaan daya tahan komuniti sering berhadapan dengan bencana banjir, sesuatu yang turut menjadi persoalan besar adalah kepada komuniti yang tidak pernah berhadapan dengan banjir.
Ini menyebabkan mereka tidak menjangkakan berlaku banjir sedangkan bencana alam itu boleh terjadi secara tiba-tiba seperti di Johor pada awal Mac lalu. Ia menimbulkan persoalan yang perlu diberikan perhatian semua, iaitu adakah penduduk bersedia dan mempunyai daya tahan apabila banjir berlaku tanpa dijangka dan dalam tempoh panjang?
Oleh itu, sebagai persediaan untuk menghadapi detik cemas ini, ketua komuniti seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu dan pemimpin belia perlu melaksanakan peranan lebih proaktif serta menjadi pemangkin dalam membina daya tahan komuniti.
Latihan persiapan hadapi bencana
Pembinaan daya tahan dalam kalangan komuniti dapat ditingkatkan melalui penganjuran latihan berterusan kepada komuniti persiapan menghadapi banjir. Komuniti juga perlu didedahkan dengan program kerjasama membabitkan agensi berkaitan bagi memberi pendedahan, pengetahuan dan mempersiapkan komuniti menghadapi bencana terutama banjir.
Hal ini penting agar mereka dapat menyesuaikan diri, menjangka kemungkinan apa yang akan berlaku, memulih dan membuat jangkaan terhadap impak bahaya bencana yang melanda komuniti ketika berhadapan dengan musibah banjir.
Hakikatnya, bagi melahirkan komuniti berdaya tahan dalam persiapan menghadapi bencana banjir latihan sebelum, semasa dan selepas banjir perlu diadakan secara berterusan bukan hanya setelah dilanda banjir.
Pendedahan komuniti mengenai pendidikan bencana dan kaedah penyelamatan kepada pengurusan bencana penting serta perlu bagi memastikan mereka sedia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus situasi apa dan bila berlaku.
Kesedaran tindakan awal penting supaya mereka tidak hanya menunggu bantuan daripada pihak berkuasa sama ada untuk diselamatkan atau menerima bantuan semata-mata. Peningkatan aspek daya tahan dalam kalangan komuniti sudah pasti dapat meminimumkan risiko dan impak bencana yang bakal dihadapi kelak.
Penyelidik Bersekutu, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)