Jumaat, 29 September 2023 | 8:58am
Foto Hiasan. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Foto Hiasan. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tingkatkan prasarana persekolahan tangani isu keciciran pelajar

Belanjawan 2024 untuk sektor pendidikan dijangka bersifat serampang dua mata, iaitu memulihkan defisit pendidikan dan memapankan pendidikan masa depan dengan manfaat terbesarnya tertumpu kepada usaha meningkatkan prasarana sekolah serta kemudahan pembelajaran.

Beberapa defisit pendidikan ketara pascapandemik sudah dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) seperti jurang prasarana pembelajaran antara sekolah, isu keciciran murid, sekolah daif, kekurangan guru mengikut opsyen, sekolah sesak murid (SSM) di bandar besar, sekolah kurang murid (SKM), beban tugas guru berlebihan dan tahap kepercayaan masyarakat kepada sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) masih belum stabil serta meyakinkan hingga kini.

Menangani isu keciciran pendidikan pastinya akan menjadi antara teras utama Belanjawan 2024. Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Pembangunan Asia pada 2022 melaporkan pandemik menyebabkan keciciran pembelajaran serius kanak-kanak termasuk di negara ini.

Malah, KPM sendiri pernah melaporkan peningkatan keciciran pendidikan kanak-kanak pascapandemik pada persidangan Parlimen pada Oktober 2021. Keciciran juga berlaku apabila dilaporkan lebih 800 sekolah daif dalam kategori enam dan tujuh, iaitu bangunan sekolah tidak selamat digunakan murid.

Kita juga berhadapan isu SKM mencecah hampir satu pertiga daripada lebih 10,220 sekolah. Secara khusus, seperti dilaporkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon pada 22 Oktober 2022, sebanyak 3,017 sekolah rendah dikategorikan sebagai SKM, iaitu kurang 150 murid pada satu-satu masa.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK); 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Ini tentunya jumlah besar jika dibandingkan keseluruhan SK, iaitu 5,877 sekolah; SJKC (1,302) serta SJKT (527).

Negara juga sedang mengalami kekurangan guru kritikal mengikut opsyen. Pada 2021, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin pernah memaklumkan kita kekurangan sekurang-kurangnya 10,000 guru di sekolah bandar besar.

Selain di Sarawak yang ketara masalah kekurangan guru, menurut bekas Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin, negeri lain berhadapan masalah sama ialah Sabah, Johor dan Selangor. Terkini, NUTP juga melaporkan negara kekurangan hampir 20,000 guru dan perlu diisi segera bagi mengelakkan keciciran pembelajaran murid.

Jika diteliti Belanjawan 2023, sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan secara khusus untuk menaik taraf prasarana dan kemudahan pembelajaran di semua sekolah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, RM920 juta dikhususkan untuk menaik taraf segera bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM900 juta lagi diperuntukkan untuk kerja menyelenggara kemudahan di semua jenis sekolah bagi kerja pembaikan tandas, pendawaian elektrik sistem saliran sekolah dan menggantikan kerusi meja serta peralatan murid di bilik darjah serta perabot asrama yang uzur.

Usaha tingkat prasarana diteruskan

Bagi edisi Belanjawan 2024, dijangkakan usaha meningkatkan prasarana akan diteruskan kerajaan memandang masih banyak sekolah memerlukan penambahbaikan infrastruktur. Dicadangkan KPM dapat menggunakan sebahagian kecil peruntukan ini untuk menyediakan perabot dan kerusi meja kerja lebih baik untuk kemudahan di bilik guru.

Belanjawan 2024 untuk sektor pendidikan diharap terus memberi fokus usaha pemulihan defisit pendidikan dalam konteks penyediaan infrastruktur lebih berkualiti dan baharu untuk kemudahan serta keselesaan murid dan guru.

Ini antara perkara utama sering diketengahkan warga pendidik sekian lama. Malah, menjadi berita gembira apabila kerajaan bersetuju dalam belanjawan lalu untuk membina tujuh lagi sekolah baharu untuk mengurangkan kesesakan murid.

Diharapkan lebih banyak sekolah baharu akan dibina dalam Belanjawan 2024, terutama di kawasan kependudukan baharu padat di bandar. Tidak ketinggalan, Belanjawan 2024 juga diharap menumpukan penyediaan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) kepada murid berkeperluan khas untuk memastikan dapat belajar dan melakukan aktiviti dengan lebih selesa.

Pada masa sama, Belanjawan 2024 untuk sektor pendidikan juga diharap menyediakan peruntukan untuk menjayakan sistem pendidikan mapan untuk kemajuan masa depan.

Data dibentangkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan KPM menunjukkan kadar akses internet berkualiti serta berkelajuan tinggi masih belum mencapai tahap memuaskan. Pada April 2020, data KPM mengesahkan hanya 40 peratus murid mempunyai akses peranti semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manakala hampir 90 peratus pula masih tidak mempunyai peranti milik peribadi untuk menjalani PdPR ketika itu.

Di pedalaman Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak, banyak sekolah masih belum menerima akses internet memuaskan untuk tujuan PdPR tanpa gangguan.

Selain itu, didapati kaedah pengajaran majoriti guru masih dalam bentuk tradisional walaupun sebahagian sekolah mempunyai kemudahan internet baik. Guru masih memerlukan latihan semula mengenai pengajaran berasaskan teknologi digital.

Bagi mencapai matlamat pendidikan mapan, kerajaan dicadangkan meneruskan agihan komputer riba kepada semua sekolah. Bagi Belanjawan 2023, sebanyak 50,000 komputer riba disediakan untuk guru di semua sekolah.

Tentu sahaja penyediaan komputer riba akan membantu proses pengajaran guru untuk menekankan elemen Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) berasaskan pendigitalan pendidikan. Malah, untuk meningkatkan fungsi sekolah sebagai tempat murid mendapat pengalaman pembelajaran menyeluruh, kerajaan disarankan meneruskan usaha membina dewan terbuka di sekolah bagi keselesaan murid berhimpun dan berkumpul serta melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran dan kokurikulum di luar bilik darjah.

Menyedari kepentingan pemakanan sihat dan seimbang pada awal usia, kerajaan diharap meningkatkan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam Belanjawan 2024 berbanding RM777 juta ringgit (Belanjawan 2023) yang akan dimanfaatkan lebih ramai murid memerlukan.

Kerajaan juga boleh meningkatkan peruntukan makanan untuk kanak-kanak prasekolah KPM daripada RM108 juta pada 2023. Keputusan ini akan memberi manfaat kepada ramai murid prasekolah berbanding 240,000 kanak-kanak prasekolah KPM pada 2023.

Belanjawan 2024 untuk sektor pendidikan perlu memberi fokus kepada usaha teras memajukan sistem pendidikan dan tidak menyediakan peruntukan untuk 'projek khas' bersifat 'tempelan' seperti pernah dilakukan sebelum ini.

Belanjawan di bawah Kerajaan Perpaduan perlu lebih terfokus untuk pemulihan defisit pendidikan khususnya keciciran pembelajaran dengan menyelesaikan isu sekolah daif dan meningkatkan prasarana persekolahan dengan segera.

Seterusnya, peruntukan Belanjawan 2024 juga mesti ditumpukan kepada usaha meningkatkan pendidikan mapan berteraskan pendigitalan pendidikan melalui menyediakan prasarana dan kemudahan pembelajaran digital lebih baik untuk keselesaan murid.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X