Khamis, 21 September 2023 | 10:59am
Foto hiasan. - AFP
Foto hiasan. - AFP

Basmi budaya kekerasan di media sosial, politik cegah ekstremisme

Ekstremisme ganas merujuk kepercayaan dan tindakan individu atau kumpulan menyokong dan sanggup menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat ideologi, agama atau politik melampau.

Gejala ekstremisme ganas boleh membawa kepada tindakan keganasan sehingga tidak hairan pada peringkat global, usaha membanteras ekstremisme ganas dijadikan langkah awal mencegah keganasan secara menyeluruh.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung 2016 membentangkan Pelan Tindakan Mencegah Ekstremisme Ganas. Badan dunia berkenaan turut menggesa negara anggota membangunkan pelan tindakan kebangsaan masing-masing bagi tujuan itu.

Pelan tindakan nasional perlu dirumus berdasarkan keperluan dan konteks setempat diselarikan dengan langkah melawan keganasan. PBB juga menekan kepentingan memperkasakan tata kelola baik, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia dalam bertindak melawan ekstremisme ganas secara terangkum serta berkesan.

Banyak negara merumus dan melancarkan pelan tindakan nasional, malangnya bagi Malaysia, pelan tindakan belum menjadi kenyataan. Ini sedikit sebanyak merencat usaha membanteras ekstremisme ganas secara menyeluruh dan bersepadu.

Ketiadaan pelan tindakan jelas bukan sahaja menyulitkan pihak terbabit dalam usaha ini, bahkan menyukarkan usaha menggembleng tenaga anggota masyarakat untuk turut serta.

Dalam memahami ekstremisme ganas, faktor penarik dan penolak individu atau kumpulan ke arah gejala itu perlu diberi perhatian. Faktor penarik adalah sebab berkait dengan kumpulan atau aliran pelampau menarik individu terjebak dalam ekstremisme ganas.

Sebagai contoh, kumpulan pelampau ganas menarik ahli dengan menyediakan perkhidmatan, pendapatan dan pekerjaan sebagai pertukaran untuk keahlian serta komitmen. Faktor penarik juga boleh berbentuk tawaran harapan, ganjaran material, insentif agama, persahabatan dan ruang untuk cabaran dan pencarian 'makna hidup'.

Tarikan sebegini menjadi lebih kuat apabila wujud struktur dan persekitaran menolak seseorang ke arah ekstremisme ganas. Faktor penolak termasuk keterpinggiran, ketaksamaan, diskriminasi, penganiayaan, penafian pendidikan berkualiti serta pencabulan hak dan kebebasan sivil, dendam sejarah dan ketidakpuasan sosioekonomi.

Bahaya kekerasan dinormalisasikan

Satu lagi faktor penolak adalah budaya kekerasan dalam masyarakat. Kekerasan dinormalisasikan akan membentuk keadaan digambarkan sarjana sebagai 'persekitaran permisif'. Suasana ini boleh wujud secara dalam talian dan alam nyata.

Normalisasi kekerasan terjadi apabila anggota masyarakat menerima kekerasan sebagai sebahagian nilai penting, bahkan disalah anggap sebagai satu jalan berkesan dalam menyelesaikan masalah atau mencapai sesuatu kemahuan.

Masyarakat pada tahap itu melihat kekerasan sebagai suatu yang biasa atau dalam loghat Utara, sudah mangli. Keadaan ini lazim berlaku dalam zon perang dan konflik bersenjata, namun boleh juga berlaku apabila sesuatu masyarakat itu terdedah dengan kekerasan secara berpanjangan dan dibiasakan. Bak kata pepatah, 'alah bisa tegal biasa'.

Normalisasi kekerasan boleh berlaku dalam proses pembesaran seseorang. Kekerasan dalam sebuah keluarga misalnya, memberi kesan mendalam, terutama kepada kanak-kanak yang sedang membesar.

Begitu juga pendedahan kekerasan melampau melalui televisyen, internet dan permainan video juga boleh menyumbang normalisasi kekerasan. Beberapa penyelidikan mendapati permainan video memaparkan aksi peperangan serta ganas sedikit sebanyak menjadikan kanak-kanak dan remaja kurang sensitif terhadap kekerasan dan keganasan.

Normalisasi kekerasan juga boleh berlaku melalui kata-kata kasar dan ancaman seolah-olah menghalalkan atau meremehkan kekerasan biarpun tanpa niat untuk melakukannya. Misalnya kata-kata di media sosial seperti, 'aku lempang karang' atau 'nak kena pukul ni' biarpun dengan niat gurauan.

Begitu juga aksi dan sketsa lawak jenaka di televisyen bermodalkan aksi acah-acah kekerasan. Semua ini memberi kesan. Lebih merunsingkan apabila kata-kata kekerasan ini diungkapkan dengan retorik agama dan mesej politik.

Mesej kekerasan juga tidak semestinya berlaku secara terus terang, ada kalanya secara bayangan dan terma membawa makna berkait kekerasan. Misalnya, penceritaan peristiwa sejarah dengan cara mengagungkan peristiwa berdarah. Begitu juga tindakan mengkafirkan sesama Muslim atau mengenakan label 'kafir harbi' sesama warga negara. Secara tidak langsung membawa konotasi sasaran itu boleh diperlakukan dengan kekerasan.

Kemuncak normalisasi apabila mangsa kekerasan dipersalahkan memandangkan kekerasan itu dianggap sebagai perkara biasa atau patut. Misalnya, apabila ada komen di media sosial mengenai kes buli di sekolah dengan menyatakan: "Biasalah budak bergaduh, budak itu patut lawan balik." Maka kekerasan dijadikan sebagai penyelesai masalah. Nampak sedikit, tapi lama-lama jadi penyakit.

Ekstremisme ganas boleh membawa tindakan keganasan mengancam negara. Walaupun teorisme sering dilihat bersifat ideologi dan pelakunya melalui proses radikalisasi atau pengkaderan, faktor persekitaran menolak juga wajib diberi perhatian.

Budaya kekerasan jika tidak dibasmi boleh membawa malapetaka kepada negara. Normalisasi kekerasan pula bukan berlaku sehari dua, tetapi sudah lama dan di depan mata kita.

Selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang antaranya menekankan nilai hormat dan ihsan, usaha membasmi normalisasi kekerasan wajar diperkasakan bagi mencegah ekstremisme ganas di negara sejahtera ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Undang-Undang (Jenayah dan Keganasan), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X