Selasa, 19 September 2023 | 10:15am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tiga formula lahir warganegara berjiwa Malaysia kental, lestari

Semangat rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sangat terserlah dengan pelbagai bentuk perayaan serta acara di seluruh negara. Kibaran Jalur Gemilang, pertandingan keceriaan merdeka dan penganjuran pelbagai wacana, forum dan bicara mencerakin isu kenegaraan menzahirkan patriotisme tinggi.

Kembara Kenali Borneo disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini melengkapkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. Acara julung kali ini menjambatani rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung melalui semangat perpaduan utuh.

Apa yang jelas, kembara ini dapat memperteguhkan amalan federalisme, malah membuktikan betapa pentingnya peranan pemimpin, termasuk Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merapatkan hubungan antara negeri, sekali gus menegaskan Raja dengan rakyat berpisah tiada.

Meskipun sambutan meriah diberikan rakyat bagi menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ia mesti dipasak dengan jiwa Malaysia kental. Dalam hal ini, usaha memupuk jiwa Malaysia tidak seharusnya berlegar pada semangat semata-mata, sebaliknya menerusi pembinaan jati diri, kenegaraan dan patriotisme tinggi.

Perkara ini dibincangkan secara tuntas melalui program Bicara Semarak Merdeka anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jiwa Malaysia: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, baru-baru ini.

Empat panel menjayakan bicara ini ialah Ketua Kluster Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar; Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr P Sivamurugan; Pengarah Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin UMT, Prof Dr Yeong Yik Sung dan pelajar sarjana UMT, Vivi Valencia Del.

Berdasarkan pandangan panel, ada tiga formula dalam usaha memupuk jiwa Malaysia kental, iaitu didikan keluarga, sikap tolak-ansur dan tanggungjawab mengatasi hak.

Peranan ibu bapa, sikap tolak ansur

Formula pertama, didikan awal menzahirkan bagaimana pembinaan jati diri, kenegaraan dan patriotisme tinggi perlu bermula di rumah. Peranan ibu bapa sangat penting dalam menyuntik jiwa Malaysia agar anak memahami realiti masyarakat Malaysia majmuk, bersikap hormat-menghormati dan terbuka dengan kepelbagaian sejak kecil lagi.

Kita sering menyebut peranan sekolah dan guru, malah universiti dalam membina jiwa Malaysia dalam kalangan pelajar mahupun mahasiswa, sedangkan proses itu wajar bermula lebih awal lagi, iaitu di rumah. Sentuhan ibu bapa sangat penting kerana anak masih pada peringkat awal dan mudah untuk dibentuk ibarat pepatah 'kalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya.'

Formula kedua ialah sikap tolak-ansur. Ini sebenarnya kunci hubungan kaum dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Keupayaan kita mempertahankan kemerdekaan membawa kepada kestabilan dan kemakmuran negara ialah sikap tolak-ansur bertitik-tolak daripada rasa hormat antara satu sama lain.

Pendekatan integrasi menjadi pasak kepada hubungan antara kaum perlu mengekalkan sikap toleransi tinggi ini kerana perbezaan hanya kecil berbanding persamaan antara rakyat.

Formula 'bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju' mesti difahami dan diamalkan rakyat supaya setiap persoalan boleh dirungkai dengan bijaksana bak pepatah 'menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.'

Formula ketiga ialah tanggungjawab mengatasi hak. Jika setiap rakyat menyedari tanggungjawab masing-masing, maka mereka akan menjadi warganegara baik. Sikap dan rasa tanggungjawab ini akan melahirkan rakyat menginsafi peranan dan pada akhirnya memberi kekuatan kepada Malaysia.

Rakyat bertanggungjawab akan dapat memastikan hak orang lain dipelihara. Selain itu, rakyat juga bertanggungjawab menjaga lisan dan tindakan adalah lebih baik daripada mereka mengocak sensitiviti kaum serta agama dengan fitnah dan berita palsu.

Pemimpin lebih penting untuk meletakkan tanggungjawab mendahului hak. Dalam konteks lebih besar, seorang pemimpin bertanggungjawab, berintegriti dan amanah, membolehkan rakyat secara automatiknya, mendapat hak untuk keadilan serta kesejahteraan dalam kehidupan.

Sebaliknya, pemimpin tidak bertanggungjawab, terbabit dalam rasuah dan tidak melaksanakan amanah menjadikan rakyat sebagai mangsa apabila mereka tidak mendapat hak, keadilan dan pembelaan sewajarnya.

Memupuk jiwa Malaysia tidak hanya bersandarkan semangat semata-mata. Ia perlu dipasakkan dengan proses panjang bermula didikan keluarga, penekanan sikap tolak-ansur dan mendahului tanggungjawab daripada hak. Tiga faktor utama ini sangat penting dalam membina jiwa Malaysia ampuh dan lestari.

Tanpa menafikan faktor semangat berkobar-kobar setiap kali menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saban tahun, rakyat berjiwa Malaysia mesti dijayakan dengan usaha pembinaan jati diri, kenegaraan serta patriotisme tinggi melalui pendidikan seawal di rumah.

Sikap tolak ansur dengan memahami perbezaan dan boleh bersetuju untuk tidak bersetuju adalah kunci kepada keharmonian, manakala langkah mendahului tanggungjawab daripada hak, kita boleh mengajar rakyat mengutamakan amanah sebagai seorang warganegara yang akhirnya akan memastikan hak warganegara lain terpelihara.

Proses pembinaan jiwa Malaysia mesti diusahakan secara bersama oleh seluruh rakyat. Ia bukan semata-mata bersandarkan semangat semata-mata, tetapi menerusi didikan seawal di rumah, penekanan tolak-ansur dan tanggungjawab mendahului hak. Kita percaya tiga formula ini mampu memupuk dan membina jiwa Malaysia kental dan lestari.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X