Kebelakangan ini gelanggang politik menjadi kalut dan membimbangkan bukan sahaja membabitkan pemimpin politik utama, bahkan merebak kepada penyokong dan kepemimpinan. Pertembungan politik berlebihan menyebabkan apa sahaja mahu dilakukan untuk meraikan kemenangan serta sokongan.
Ia seperti 'bom masa' boleh meletup bila-bila masa andai kata tidak ada kawalan atau mekanisme untuk memastikan apa yang dibina selama ini tidak berkecai akibat angkara tindakan segelintir pemimpin parti yang tidak segan mengeksploitasi isu agama dan kaum demi kepentingan politik, walaupun tahu boleh menimbulkan kesan negatif hubungan antara etnik, bahkan intra-etnik.
Justeru, sudah tiba masanya 'politik muafakat' diangkat demi masa depan agama, bangsa dan tanah air. Ia seiring dengan apa yang disarankan Sidang Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) menerusi BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM).
Sidang Pengarang NSTP menyarankan semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik, termasuk manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum.
Sama ada pihak pemerintah mahupun pembangkang, sesiapa saja boleh memulakan rundingan bagi membawa Malaysia menjadi negara lebih matang rakyatnya dalam berpolitik dan bernegara.
Pelan rekonsiliasi adalah jawapannya. Kita barangkali sudah membina negara bangsa ini, tetapi masih bergelut untuk membina rakyatnya ke arah politik berhemah. Moral harus menjadi kompas mengemudi negara ini berteraskan kepada identiti nasional menjunjung Perlembagaan, fasih berbahasa Melayu dan bangga menjadi warga Malaysia.
Hakikatnya, walau siapa pun mentadbir urus negara ini, jaminan ke atas perkara sensitif termaktub dalam Perlembagaan sudah terpelihara.
Undang-undang utama Malaysia adalah Perlembagaan dan termaktub dalam Perkara 4(1) dan 162 (6) serta Seksyen 73 Akta Malaysia menyatakan 'Perlembagaan ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang diluluskan selepas Hari Merdeka tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu', dengan rujukan ke atas Artikel 4 (1).
Perlembagaan sumber tadbir urus negara
Perlembagaan perlu difahami sepenuhnya dan menjadi garis panduan untuk membolehkan semua pihak mematuhi, menerima dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan kerana ia adalah sumber tadbir urus negara.
Perkara 3 dan 11 saling melengkapi di bawah Perlembagaan, agama Islam adalah agama Persekutuan dan kebebasan beragama dihormati.
Prinsip utama ini bersifat dominan supaya tafsiran berbeza tidak diberikan ke atas agama oleh pihak menggunakan agama secara tidak bertanggungjawab kerana tidak ada pihak menyarankan supaya mengambil langkah songsang dalam arena politik sehingga menjejaskan kesejahteraan manusiawi.
Manipulasi terhadap agama ini perlu dihentikan, walaupun menyemarakkan fahaman keagamaan tidak disekat jika sekiranya ia dilakukan ke arah pembangunan nilai perwatakan warganya.
Begitu juga kedudukan Raja sebagai 'pelindung'. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan. Perkara 32 Perlembagaan adalah pengisytiharan ke atas Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.
Raja Berperlembagaan adalah 'pelindung', termasuk kepada Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan), Perkara 152 (Bahasa kebangsaan); Perkara 153 (rezab kuota mengenai perkhidmatan, permit untuk orang Melayu), Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan).
Misalnya, Perkara 153 menyatakan 'tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana wilayah Borneo dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
Justeru, perbuatan mencaci dan mengaibkan kedudukan Raja-Raja Melayu perlu dihentikan kerana kedudukannya sebagai Ketua Negara, maka ia wajib mengikut Perlembagaan untuk dihormati. Ini menjadikan institusi Raja-Raja Melayu sebagai 'pelindung' kepada bingkai kepelbagaian masyarakat majmuk Malaysia.
Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah bukti institusi Raja-Raja Melayu selaku panji kenegaraan dan fungsi institusi ini amat penting dalam konteks tata kenegaraan tanah air.
'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' adalah ungkapan membuktikan wujudnya legitimasi ke atas hubungan Raja selaku pelindung dan orang kebanyakan diperintah dalam sebuah negara tidak meminggir amalan demokrasi sebagai landasan pembinaan negara ini.
Refleksi institusi Raja-Raja sebagai 'pelindung' perlu dipertahankan dalam bingkai kepelbagaian. Dalam hal ini, politik muafakat dengan Majlis Raja-Raja Melayu menjadi 'pendamai' kepada kelompok terus bersengketa dan berselisih atas persoalan kuasa perlu dilaksanakan.
MoU antara semua blok politik kepartian boleh menjadi tawaran atau formula untuk meredakan keresahan politik dan sosial di pelbagai peringkat. Ia bukan perkara baharu. Ia pernah menjadi realiti. Dalam konteks politik tanah air, politik berasaskan etnik dan gabungan sudah wujud untuk sekian lama.
Apa sahaja ramuan mahu dilakukan untuk merawat kedudukan ini sudah pasti akan mengambil kira asas sebegini tanpa mengapi-apikan sentimen agama, kaum atau bahasa semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.
Malaysia perlu bergerak ke hadapan dalam persaingan serantau dan global. Permusuhan politik berlebih-lebihan tidak menguntungkan sesiapa di negara ini. Kita memerlukan ahli politik budiman supaya dihormati, difahami dan diterima walau berbeza fahaman atau ideologi.
Generasi hari ini dan akan datang dahagakan pemikiran politik menghalusi kepentingan rakyat dalam usaha untuk 'merakyatkan kepemimpinan' dan 'memanusiakan Malaysia'. Ia adalah tanggungjawab bersama. Malaysia tidak sempurna, tetapi yang menyempurnakannya adalah kita, warga Malaysia.