Penggunaan peranti elektronik terutama tablet dan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak khususnya antara umur dua hingga empat tahun kini dilihat semakin berleluasa dalam keluarga.
Isu berkenaan semakin menjadi buah mulut kebelakangan ini. Walaupun teknologi digital memberikan peluang pembelajaran dan hiburan serta perkembangan minda, kajian turut menunjukkan terlalu banyak interaksi dengan peranti boleh memberikan kesan negatif kepada perkembangan kanak-kanak pada peringkat awal kehidupan.
Pemerhatian mendapati antara sebab utama ibu bapa gemar memberikan peranti kepada kanak-kanak ini adalah untuk mengelak mereka bosan atau menghentikan tangisan, selain membolehkan ibu bapa melakukan aktiviti seperti kerja di rumah.
Ada ibu bapa berpendapat dengan menggunakan peranti, mereka boleh mengurangkan kos perbelanjaan membeli pelbagai perkakasan dan permainan kanak-kanak, kerana semua permainan boleh digantikan secara maya. Selain itu, ada ibu bapa berpendapat kandungan dalam peranti mampu merangsang kognitif perkembangan golongan cilik ini.
Walau apa pun alasannya, penggunaan peranti elektronik tanpa kawalan harus dipantau supaya tidak keterlaluan sehingga ke tahap ketagihan. Ada ibu bapa memantau dan menetapkan had masa anak menggunakan peranti dalam sehari tetapi ada yang tidak.
Salah satu kesan utama penggunaan peranti secara keterlaluan pada peringkat seawal ini adalah menjejaskan perkembangan bahasa dan kognitif anak kecil. Dalam tempoh ini, kanak-kanak sedang membangunkan kemahiran bahasa, komunikasi dan kognitif asas.
Seharusnya interaksi langsung dengan orang dewasa dan persekitaran fizikal mampu membantu mereka memahami konteks sosial, memperkaya kosa kata dan membangunkan kemahiran berfikir kritis secara semula jadi. Namun, apabila penggunaan peranti secara berlebihan menggantikan interaksi sosial ini, ia mengurangkan peluang mereka memperoleh kemahiran penting ini.
Selain itu, penggunaan peranti juga boleh memberikan kesan kepada perkembangan kemahiran kanak-kanak. Aktiviti seperti melukis, mewarna dan bermain dengan bahan fizikal membantu memperkuatkan kemahiran psikomotor mereka. Namun, aktiviti psikomotor memerlukan gerak kerja jari dan tangan ini digantikan secara interaksi dengan skrin sentuh.
Berbekalkan alasan yang mana kanak-kanak tidak akan kotor dan tidak perlu mengemaskan permainan yang bersepah, jelas kesannya tidak memberikan latihan psikomotor sehingga mempengaruhi perkembangan otot dan koordinasi mereka.
Perlu diketahui kanak-kanak masih memerlukan banyak interaksi dengan dunia nyata untuk membangunkan kemahiran dan pemahaman asas mereka. Terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan skrin peranti boleh mengganggu kualiti tidur dan aktiviti luaran mereka.
Kajian menunjukkan pancaran cahaya biru dari skrin peranti boleh mengganggu pengeluaran melatonin, hormon penting untuk tidur sihat. Bahkan, mampu mengundang keletihan pada otot dan saraf penglihatan dan terdedah kepada risiko rabun di usia muda.
Kesan psikologi juga boleh terjejas jika tidak dibendung awal. Ada kebarangkalian sesetengah kanak-kanak tidak boleh langsung hidup tanpa kehadiran peranti di sisi. Celik mata usai bangun tidur, terus mencari peranti untuk menonton klip video atau permainan kegemaran. Andai mereka tidak dapat peranti ini, ada yang bersikap agresif atau tantarum.
Terdedah maklumat tak sesuai usia
Pendedahan kepada siaran klip video melalui aplikasi YouTube umpamanya mewujudkan ketaasuban kanak-kanak kepada saluran tertentu yang mungkin tidak sesuai untuk kategori umur mereka. Pada asalnya, mungkin mereka menonton saluran menayangkan lagu dan puisi dodoian tradisional popular kanak-kanak, namun apabila tiada pemantauan, mereka mungkin memilih saluran kurang sesuai termasuk mengandungi elemen keganasan dan seksual.
Di samping itu, akibat terdedah kepada saluran tidak sihat ini, kanak-kanak juga mudah terpengaruh dengan perlakuan dan percakapan, berkemungkinan besar akan meniru atau mengajuk perlakuan jelek kerana masih tidak matang lagi menilai mana yang betul mana yang tidak.
Apabila situasi ini berlaku, ibu bapa mungkin menyesal dan tercari-cari kaedah atau formula untuk mengeluarkan anak mereka daripada perangkap peranti dan video internet. Sudah pasti usaha dan ikhtiar detoksifikasi terhadap kebergantungan dan ketagihan terhadap peranti ini berdepan proses mencabar kerana tabiat ini sebati dengan kehidupan seharian mereka.
Hentikan pendedahan melampau
Justeru, pendedahan melampau terhadap peranti perlu dihentikan atau dikawal secara berperingkat bagi mengurangkan risiko emosi kepada anak-anak. Beberapa aplikasi pendidikan dirancang khas untuk kanak-kanak mungkin dapat memberikan manfaat bagi pembelajaran terkawal kepada mereka.
Namun, penggunaan ini perlu dikekang dan diawasi ibu bapa dan orang dewasa. Ibu bapa harus memberi tumpuan kepada interaksi dengan anak-anak serta melakukan aktiviti membabitkan penggunaan tangan dan merangsang pemikiran mereka.
Kesimpulannya, penggunaan peranti elektronik pada kanak-kanak perlu dikawal dan dipantau sepanjang masa. Walaupun teknologi boleh memberi manfaat kepada mereka, ia tidak boleh menggantikan sepenuhnya interaksi sosial dan pengalaman fizikal semula jadi yang penting untuk perkembangan awal kanak-kanak.
Penting untuk ibu bapa dan orang dewasa memberi tumpuan kepada interaksi secara langsung, melakukan aktiviti kreatif dan persekitaran nyata bagi kanak-kanak untuk membangunkan kemahiran serta pemahaman seimbang bagi melahirkan generasi sihat dan aktif.
Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM)