Rabu, 30 Ogos 2023 | 12:22pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pembudayaan integriti, nilai murni tingkat keyakinan pelabur

Penanda aras keenam dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) dalam tempoh 10 tahun, bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16.

Ini kerana matlamat disasarkan itu adalah untuk mewujudkan masyarakat aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab dan inklusif pada semua peringkat.

Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021 dalam CPI 2022 pada 31 Januari lalu. Bagaimanapun, skor Malaysia jatuh satu mata, iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata (2022).

Secara asasnya, CPI menggambarkan bagaimana rasuah dilihat dalam sektor awam sesebuah negara. Ia berfungsi sebagai penunjuk global berkaitan tahap kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap tadbir urus dan tahap rasuah sesebuah negara.

Ini bermakna meningkatkan CPI bukan sahaja menaikkan reputasi negara, bahkan memupuk persekitaran kondusif untuk pembangunan dan pelaburan mampan.

CPI 2022 dikira menggunakan 13 sumber data berkaitan rasuah daripada 12 institusi berbeza dalam tempoh dua tahun lalu, manakala dalam menentukan kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2022, sebanyak sembilan sumber data digunakan TI.

Sumber itu ialah Bertelsmann Stiftung Transformation Index, Economist Intelligence Unit Country Risk Service, Global Insight Country Risk Ratings, IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey, Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence, The PRS Group International Country Risk Guide, World Economic Forum Executive Opinion Survey, World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey dan Varieties of Democracy (V-Dem).

Sesungguhnya, pelbagai pendekatan atau inisiatif pernah dijalankan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan menyasarkan kedudukan tertentu negara dalam CPI. Namun hingga kini, didapati tiada usaha terancang, bersepadu dan berterusan serta agensi kerajaan khusus untuk melihat atau mengambil tanggungjawab bagi mengetuai usaha memperbaiki kedudukan negara dalam CPI.

Mungkin sesetengah pihak berpandangan CPI hanyalah satu indeks dibangunkan berlandaskan persepsi semata-mata hingga kita patut mengabaikannya dengan hanya membanteras rasuah di negara ini dengan cara kita.

Namun, kita perlu ingat persepsi negara luar dan pelabur asing kepada negara kita berkaitan tahap perlakuan rasuah adalah bergantung kepada kedudukan negara dalam CPI. Kita juga perlu sedar sejak kebelakangan ini, kedudukan dan skor negara kita adalah pada tahap kurang memberangsangkan.

Laksana pendekatan baharu perangi rasuah

Sudah tiba masanya untuk kita menggunakan pendekatan baharu dalam menangani isu CPI ini. Pendekatan berkenaan mesti memberikan output dan impak dengan segera serta berkesan bagi memastikan kedudukan negara dalam CPI meningkat setiap tahun.

Justeru, usaha untuk meningkatkan CPI Malaysia memerlukan satu mekanisme atau pendekatan baharu membabitkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.

Ketiga-tiga pihak terbabit adalah pemegang taruh utama berperanan penting dalam usaha menegakkan integriti dan memperjuangkan amalan tadbir urus baik.

Sesungguhnya, usaha untuk meningkatkan CPI negara tidak boleh diletakkan di atas tanggungjawab kerajaan semata-mata. Semua pihak kena bersama-sama memikul tanggungjawab untuk meningkatkan imej dan persepsi luar kepada negara terutama berkaitan integriti, tatakelola dan rasuah.

Usaha untuk meningkatkan CPI bukanlah satu aspirasi yang mustahil untuk dicapai negara kita. Usaha murni ini tidak hanya terbatas kepada aspek pembanterasan rasuah semata-mata, bahkan dijadikan satu matlamat nyata yang boleh dicapai melalui usaha bersepadu dan terancang melalui penekanan kepada pembudayaan integriti dan tatakelola baik dalam masyarakat.

Institut integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi utama dalam membangunkan budaya integriti kini peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti serta tatakelola sektor awam dan swasta bagi membantu negara dalam merealisasikan objektif untuk menjadi negara dikenali kerana integriti, bukannya rasuah.

Pada masa sama, IIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan integriti dalam pelbagai sektor dalam masyarakat. Antara inisiatif utama IIM ialah Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) membabitkan penyertaan sektor swasta dan sektor awam; Modul Komprehensif Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB IIM) membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti setempat dan pembekal perkhidmatan; Manual Seksyen Latihan 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi bagi kegunaan latihan untuk sektor swasta; dan Modul Integriti Penguat Kuasa (MPI) untuk latihan agensi penguatkuasa.

Oleh itu, penekanan terhadap penerapan dan pembudayaan integriti dan nilai murni secara berterusan dan terancang dalam kalangan masyarakat demi kelestarian negara amat perlu walaupun mengambil masa lama.

Paling penting, gerakan ini perlu bermula segera dengan mendapat kerjasama serta sokongan dan dokongan semua sektor dalam masyarakat. Berkaitan ini, IIM sentiasa komited dalam pembudayaan integriti dalam negara.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X