Pilihan Raya Negeri (PRN) yang selesai dilangsungkan seminggu lalu meninggalkan impak berbeza kepada tiga blok politik utama negara, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan lawan mereka, Perikatan Nasional (PN). Mandat rakyat pada 12 Ogos dilihat memuaskan buat PN, namun meninggalkan dilema kepada BN. Gabungan diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertaruhkan semua calon UMNO bertanding 108 kerusi, namun hanya menang 19. Kini banyak mata memerhati apa langkah lanjut bakal diambil parti dilabel keramat ini untuk terus kekal relevan dan kembali mendapat sokongan rakyat.
Soalan (S): Pandangan Tan Sri mengenai prestasi UMNO pada PRN lalu?
Jawapan (J): Tak banyak berubah dari segi sokongan diterima BN dibanding dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Hanya terjejas di Pulau Pinang, iaitu dari segi jumlah majoriti serta Selangor. PH menang besar di Parlimen (PRU15), tapi kalah (lebih banyak kerusi) di negeri. Contoh di Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang. Maka, yang terjejas banyak sebenarnya di Selangor dan Pulau Pinang. Pada saya, soalnya keputusan PRN lalu memberi kesan kepada siapa? Bukan ssahaja soal UMNO, tetapi kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga. Kerajaan Perpaduan dibawa sebagai model kestabilan macam tidak mempengaruhi perkara positif kepada pengundi. Maka, yang tersentak juga Perdana Menteri sendiri.
Kalau dikata ini masalah UMNO, kesannya kita lihat, contohnya di Kelantan dan Terengganu, masa PRU pun dapat kosong, kalah semua kerusi. Di Kedah pun, dulu kosong, sekarang kita kalah juga. Di Selangor, impaknya lagi membimbangkan kepada Kerajaan Perpaduan kerana itulah kekuatan kerajaan negeri bawah PH, selain Pulau Pinang. Calon UMNO kalau kita lihat, tidak ada yang hilang deposit, beza calon BERSATU dari PN, banyak kerusi hilang deposit. Bagi UMNO, keadaannya sebagai 'junior partner' kepada PH, hakikatnya tiada kekuatan dalam kerajaan sekarang walaupun Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah Presiden UMNO.
Kalau dilihat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memegang portfolio 'jaga' luar bandar, tapi saya tak nampak kedudukan Presiden UMNO sebagai TPM diperkasakan dalam Kerajaan Perpaduan. Sebab itulah, kesan dan peranan diberikan menjaga luar bandar tidak dapat dilihat dengan jelas, termasuk oleh rakyat. Bila tidak diperkasakan peranannya, kesannya hanya dilihat melalui kerja dibuat agensi di bawahnya. Contoh apabila Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah umum lantikan pengerusi (agensi bawah kementerian), Anwar boleh tangguhkan dulu. Maka, UMNO sendiri kena lihat faedah dan manfaat jawatan diberi dalam Kerajaan Perpaduan. Adakah ia baik untuk masa depan UMNO atau tidak. Kalau begini, hanya manis dan sedap dari segi jawatan, tapi kesannya tak begitu kuat.
Satu lagi, konsep Kerajaan Perpaduan tak memperkasakan peranan pemimpin UMNO dalam kerajaan. Maka, UMNO kena semak balik peranan mereka. Apa manfaatnya dan janjinya. UMNO dapat jawatan, tapi macam mana kalau tidak ada kuasa, terutama bajet kerana peruntukan dilihat lebih dikawal Menteri Kewangan dan Perdana Menteri (PM). Pemimpin UMNO dalam kerajaan kena fikir betul-betul perkara ini, macam mana dengan nasib parti untuk bawa suara rakyat. Manfaat jawatan diberikan itu macam mana perginya. Ini perlu dilihat UMNO selepas berakhir PRN enam negeri.
S: Jadi, portfolio kementerian diberi kepada pemimpin UMNO itu tak membantu survival parti?
J: Secara teorinya, portfolio itu baik kepada UMNO, tetapi pegang portfolio jaga hal ehwal luar bandar, ia bergantung kepada bajet diberi. Jawatan memang dapat, tapi peranan itu nampak macam tak ada, tak diberikan kuasa, banyak masalah luar bandar, jalan raya dan lampu, tanggungjawab dan kemudahan untuk memanfaatkan jawatan itu untuk luar bandar tak berapa kelihatan. Itu yang boleh jadi satu rumusan selepas ditubuhkan Kerajaan Perpaduan hingga kini. Namun, saya nampak seperti tiada saling percaya antara pimpinan kita di atas. Pemimpin UMNO yang atas kena percaya sesama sendiri.
Kita dirosakkan melalui pengalaman 'Langkah Sheraton', masing-masing berebut dan sesama Ahli Parlimen UMNO nak jadi menteri. Sampai ada nyatakan sedia tinggalkan parti. Sampai kata kerajaan ditentukan Parlimen bukan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Di situ penyakitnya bermula ketika kita menyertai kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yasin. Perangai itu masih ada, berebut jawatan kerajaan dan parti sampai sekarang. Cuma sekarang, jawatan dalam kerajaan ditentukan parti, maka Presiden UMNO jadi TPM, Timbalan Presiden jadi Menteri Pertahanan, Naib Presiden pun jadi menteri, ini ditentukan parti. Presiden bincang dan parti tentukan, maknanya parti tentukan siapa dapat jawatan ikut kedudukan dalam parti, sekurang-kurangnya lebih baik berbanding ketika 'Langkah Sheraton'.
S: Ada gesaan supaya Presiden UMNO berundur rentetan keputusan PRN lalu, pandangan Tan Sri?
J: Kena lihat siapa yang bersuara. Mulanya, (Datuk Seri) Idris Jusoh, bekas Pengerusi FELDA. Bila Terengganu kalah semua Parlimen pada PRU15, dia tak bersuara pun, tetapi bila kalah pada peringkat negeri, mengapa dia bersuara pula. Dia pernah jaga FELDA, adakah masa itu dia bukan orang parti. Undi FELDA juga merosot, sokongan kepada UMNO turun daripada peneroka. Maka yang bersuara ini pun kena ada asas. Dalam isu desak letak jawatan ini, Presiden UMNO duduk sebagai TPM, bukan PM seperti pemimpin sebelumnya. Kalau banding dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, beza betul. Ahmad Zahid presiden parti dan dia TPM, tapi kalau dilihat, bukan banyak sangat kuasanya, tambah lagi portfolio diberi tak diperkasakan.
S: Kenapa keputusan PRN tidak memuaskan untuk UMNO?
J: Kepercayaan dan keyakinan untuk menghadapi PRN memang nampak kurang sangat. Mana penerangannya, mana strateginya. Sepatutnya setiap negeri ada strategi masing-masing beberapa bulan sebelum PRN. Persiapan walau ada, tapi tak mantap sepenuhnya. Maka, selepas PRN, kena tanya negeri yang banyak menang, umpamanya Negeri Sembilan, apa persiapan dan strategi mereka. Orang kalah kena lihat negeri menang, negeri menang berkongsi input bagaimana pertahan banyak kerusi. Semua pihak termasuk yang kalah dan pemimpin di atas kena lihat semula strategi. Keikhlasan dalam parti khususnya pemimpin ketika UMNO dalam kedudukan paling lemah, kena serius lagi. UMNO tak boleh ada ego, tak percaya sesama sendiri. Kalau disuruh rapatkan saf, bukan sahaja saf di bawah, tapi di atas juga mesti sama. Jika di atas kuat, orang bawah nampak tidak ada curiga mencurigai antara mereka.
S: Sejauh mana isu nasional kuasai sentimen pengundi sehingga gagal ditangkis UMNO pada PRN?
J: Pasca PRU15 menunjukkan semua parti berpecah. PH pun tak dapat sokongan mantap bentuk kerajaan, PN pun tak dapat, UMNO dan BN pula jadi penentu. Kalau UMNO tak sokong Anwar dan PH, Anwar tak akan jadi PM. Peranan UMNO penting. Maka, kenalah PH hargai sumbangan UMNO walaupun kerusinya kecil. Usaha UMNO jugalah bawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Parti Sabah (GRS) menjadi sebahagian kerajaan. Anwar sebagai PM kena fahami, dia mempunyai peranan supaya lebih adil kepada UMNO. UMNO jadi penentu dan perlu dihargai sokongannya dalam Kerajaan Perpaduan.
S: Perlukah perhimpunan khas untuk bincang prestasi UMNO pada PRN seperti syor Pemuda?
J: Sebelum nak buat perhimpunan, kena ada muhasabah sesama sendiri pada peringkat kepemimpinan, apa sebenar isu mahu dibawa. Nak buat perhimpunan, tapi apa perkara mahu bentangkan, takkan mahu tembak sesama sendiri. Jangan kata kalau kita kata 'orang itu turun', selesai masalah, belum tentu juga. Senang untuk kita kata kekalahan ini disebabkan satu orang, tapi sebaiknya, biarlah ada formula, cadangan dan fahaman mengenai hala tuju dan penyelesaian. Kita tak boleh emosi, kalau tak berubah sangat sejak PRU15, maka 'post mortem' dia, mesti ambil kira keputusan PRU15, bukan setakat PRN sebab keadaan berterusan begitu sejak PRU sampai PRN. Tak bertambah teruk kepada UMNO, tetapi lebih teruk kepada PH di Selangor dan Pulau Pinang.
S: Wajarkah pemimpin digantung, dipecat dibawa masuk semula dalam UMNO untuk tarik keyakinan akar umbi?
J: Mereka yang dipecat dan digantung antara penyumbang masalah kepada UMNO selepas PRU15. Selepas mereka keluar, digantung dan dipecat, apa cadangan mereka kepada UMNO? Nampaknya hanya untuk diri mereka sahaja. Saya tak nampak bagaimana mereka boleh menambah nilai kepada proses muhasabah, kecuali kalau mereka ada kesanggupan bersama kepemimpinan sedia ada dan tidak ada isu peribadi. Kalau masing-masing ada isu peribadi, bagaimana nak menyumbang kepada pemulihan parti, apatah lagi kalau masing-masing ada agenda lain, persendirian. Kalau sudah masuk PAS atau BERSATU itu, biarlah. Mereka yang di atas sekarang sudah mendapat mandat ketika pemilihan parti, mereka kena betulkan, kena ikhlas. Kalau tak boleh membantu menyelesaikan, jangan jadi punca masalah. Jadilah penyumbang kepada penyelesaian bukan menambah masalah.
S: Benarkah kerjasama dengan DAP menyebabkan pengundi UMNO beralih ke PN?
J: Apa yang mahu dibimbangkan dengan DAP ini? Apa DAP dapat selepas dua kali jadi kerajaan, janji apa pun tak tercapai. Kalau dari segi ini, mengapa orang UMNO nak takut dan marahkan sangat DAP. Saya ingat tidak ada sebab untuk bimbang kerana ancaman paling besar kepada agama, bangsa dan sebagainya adalah ketika kerajaan ditubuhkan selepas PRU14. Contohnya isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) tercetus waktu itu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kerajaan. Sejak PRU15, apa isu dan perkara menjejaskan dan mencabar serta menggugat kedudukan negara dari segi Perlembagaan, termasuk kedudukan Raja, agama Islam, bahasa dan hak orang Melayu serta Bumiputera? Tidak ada.
Kita membenarkan diri terpengaruh dengan perasaan seolah-olah Cina dapat semua, Melayu berkurang. Itulah punca sentimen mencetuskan 13 Mei 1969 dulu. Soal keyakinan orang Melayu ini, Anwar sebenarnya kena main peranan menerusi konsep MADANI yang beliau cetuskan, kena betul-betul bawa perubahan dan strategi yang boleh meyakinkan semula orang Melayu. Anwar kena serius, jangan cakap pasal Malaysia MADANI sahaja. Kepemimpinan kerajaan ini kena terima kehilangan keyakinan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan, tetapi bukan dengan menyalahkan UMNO sahaja.
S: Apa perubahan signifikan yang UMNO harus lakukan untuk kelangsungan mereka?
J: UMNO harus fikir macam mana nak jadi parti moden. Kita ubah UMNO jadi parti tak bergantung kepada kerajaan dan punya keupayaan sendiri, kena fikirlah. Perubahan itu mesti dilakukan. Sekarang sudah ada akta antilompat parti, mengapa kita tak lihat pula seterusnya wujudkan akta pendanaan awam bagi parti politik supaya orang politik tidak hanya fikir bagaimana mahu dapat kontrak kerajaan, bagaimana dapat cari dana untuk biayai parti sendiri. Kalau akta ini ada, ia akan membantu mengatasi amalan rasuah. Tidak ada lagi amalan menteri kena cari duit untuk parti, kena hapus itu semua. Perubahan struktur politik boleh berlaku dengan dana awam digunakan untuk pembiayaan parti politik. Peranan parti politik ini penting dalam pendidikan politik. Siapa memberi pendidikan politik sekarang? Mahu harapkan sekolah yang beri atau universiti? Cikgu dan pensyarah pun pening. Maka pendidikan politik ini tanggungjawab parti politik.
Tan Sri Shahrir Samad, Veteran UMNO