Esok, kira-kira 9.7 juta pengundi di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi biasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas lebih 97,000 pengundi awal selesai mengundi, Selasa lalu.
Bahang PRN bakal mencapai klimaks, tetapi Selangor terus menjadi tumpuan pemerhati politik. Persoalan sama ada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) boleh menang di negeri itu atau Perikatan Nasional (PN) akan merampas negeri berkenaan daripada PH, semuanya akan terjawab Sabtu ini.
Menempatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ramai pemerhati dan penganalisis politik meramalkan, gandingan PH-BN dilihat masih mendahului saingan untuk terus mendominasi banyak kerusi di Selangor.
Ramalan ini bersandar kepada beberapa faktor antaranya sentimen arah sokongan pengundi bukan Melayu dilihat lebih cenderung kepada PH berbanding PN.
Ditambah naratif politik dibawa PAS sepanjang tempoh kempen menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama secara keterlaluan, mengundang rasa kurang senang pengundi bukan Melayu.
Di Selangor, terdapat kira-kira 19 kerusi DUN mempunyai pengundi bukan Melayu tinggi, khususnya masyarakat Cina dengan sebahagiannya juga melebihi 55 peratus.
Penyandang DUN itu sebelum ini adalah DAP dan PKR. Kerusi itu DUN Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bukit Lanjan, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Kota Kemuning, Banting, Rawang, Bukit Antarabangsa, Teratai, Kajang, Balakong, Seri Kembangan serta Seri Setia.
Sukar digugat PN
Tanpa peralihan sokongan pengundi BN ke PH sekalipun, PH dilihat masih mampu mendahului saingan dan menang jika pola pengundian penyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu terus kekal pada PRN, sekali gus kedudukan itu sukar digugat PN serta calon lain.
Namun, 19 kerusi DUN dianggap deposit tetap PH ini, belum mencukupkan angka untuk mereka selesa di depan, memandangkan kelompangan 10 lagi kerusi mesti diisi untuk melengkapkan jumlah 29 kerusi DUN, iaitu majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan.
Bermakna ada baki 37 kerusi DUN lagi, yang mana ia adalah kerusi campuran memiliki pecahan pengundi seimbang atau kerusi majoriti pengundi Melayu.
Pada PRU14, PH menguasai atau menang di 10 daripada 37 kerusi DUN ini dengan majoriti melebihi 5,000 undi. Antaranya DUN Kota Damansara, Kota Anggerik, Meru, Sungai Pelek, Kuala Kubu Baharu, Sungai Tua, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua dan Semenyih.
Justeru, sekiranya peratusan turun mengundi tinggi dalam kalangan pengundi PH pada PRN kali ini, maka kebarangkalian kerusi ini untuk terus kekal di bawah dominasi PH adalah tinggi.
Ia ditambah dengan peralihan sokongan pengundi BN, menerusi kerjasama politik dibentuk di bawah Kerajaan Perpaduan. Hanya berbaki 27 kerusi DUN sahaja yang mana semua kerusi ini merekodkan jumlah undi majoriti kemenangan kurang 5,000 undi pada PRU14.
Daripada jumlah itu, 13 kerusi DUN dimenangi PN, 12 PH dan dua kerusi lagi BN. Kerusi dikuasai PN antaranya DUN Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Pinang, Hulu Bernam, Batang Kali, Sungai Burong, Jeram, Kuang, Sementa, Selat Klang, Sungai Kandis, Sijangkang serta Morib.
PH pula menguasai Taman Medan, Batu Tiga, Pelabuhan Klang, Tanjong Sepat, Dengkil, Bukit Melawati, Ijok, Sekinchan, Taman Templer, Sungai Tua, Gombak Setia serta Hulu Kelang, sementara DUN Permatang dan Paya Jaras dimenangi BN.
Semua 27 kerusi majoriti Melayu ini bakal menyaksikan saingan sengit serta menjadi perebutan antara PN dan BN-PH, dengan penganalisis politik juga meramalkan sebahagian besarnya bakal menyebelahi PN.
UMNO pula menempuh laluan berliku di kerusi ini. Biarpun undi penyokong PH bakal menjadi sandarannya, namun mereka bergelut pula untuk menaikkan keyakinan penyokongnya sendiri.
Sebahagian penyokong UMNO masih keliru
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman berpandangan, sebilangan penyokong UMNO ini disifatkan masih keliru dan belum bersedia memberi sokongan kepada calon PH.
Mereka mungkin mengalihkan sokongannya kepada PN atau tidak turun mengundi, khususnya jika kawasan itu tidak ditandingi calon BN.
"Akhirnya mereka serba salah untuk mengundi. Ramai berfikiran begitu, terutama golongan berusia. Mereka mempunyai pandangan sinikal. Sama ada ingin memilih parti disokongnya selama ini atau tidak mengundi.
"Jika mengundi pun, mereka akan rosakkan undi. Mereka ini pengundi tegar, kebanyakannya berada di luar bandar," katanya.
Strategi PN meletakkan bekas Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Datuk Noorazley Yahya di DUN Bukit Melawati serta bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan di DUN Jeram juga berupaya memecahkan undi penyokong UMNO di kawasan itu.
Bagi penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, krisis kepemimpinan melanda UMNO juga bakal mempengaruhi pola undian dalam kalangan penyokong dan pengundi BN sebelum ini.
"UMNO dan BN sedang berhadapan krisis dalaman kerana ketidakselesaan ahli terhadap kerjasama politik dijalin.
"Faktor ini menyebabkan mereka (penyokong BN) mencari alternatif untuk menyalurkan undi dalam PRN. Maka PN adalah gabungan parti yang ada untuk mereka alihkan sokongan.
"Pengundi Melayu lebih cenderung kepada PN kerana dikuasai gelombang alternatif. Mereka masih ahli UMNO, tetapi mereka tiada pilihan, selain memilih parti alternatif lain dalam PRN," katanya.
Kesan sentimen ini kata beliau, menyebabkan PN mendapat laba politik besar untuk mendahului PH-BN dalam PRN, khususnya di kawasan majoriti Melayu, pada masa sama, terdapat pelbagai isu sampingan seperti kos sara hidup dan ekonomi turut menjadi pemangkin kepada peralihan undi berkenaan.
Penulis adalah Wartawan BH