Selasa, 11 Julai 2023 | 12:04pm
Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini tidak mempunyai kesan langsung kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini tidak mempunyai kesan langsung kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan.

PRN ujian penerimaan falsafah pembentukan Kerajaan Perpaduan

Di sebalik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini tidak mempunyai kesan langsung kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan, ia boleh memberikan isyarat penerimaan rakyat sekurang-kurangnya di enam negeri terbabit terhadap Kerajaan Perpaduan.

Seandainya calon Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan besar, ia akan memberikan kesan positif kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya jika gabungan berkenaan gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), impak besar akan menanti apatah lagi jika membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Justeru, PRN ini menjadi ujian pertama Kerajaan Perpaduan sama ada falsafah pembentukannya boleh diterima pengundi di enam negeri itu atau sebaliknya.

Harus diingat pembentukan kerajaan Persekutuan menggabungkan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan berasaskan keputusan mutlak.

Ia dibentuk atas nasihat ketua negara bagi membentuk kestabilan politik selepas gagal dicapai menerusi PRU apabila semua parti gagal meraih kemenangan majoriti mudah, iaitu 112 kerusi.

Oleh itu, gabungan yang terbentuk mewakili 82 kerusi Parlimen daripada PH dan BN (30) serta gabungan parti politik Sabah dan Sarawak itu, bukan berasaskan falsafah dan fahaman politik sama.

Gabungan terbentuk lebih kepada objektif mencukupkan jumlah anggota Parlimen dengan mengetepikan perbezaan falsafah dan fahaman politik.

Parti dalam PH sangat berbeza dengan parti komponen BN. Secara jelas, falsafah MCA dan DAP walaupun sama-sama parti politik berasaskan kaum Cina, asas falsafah dan pegangannya mempunyai perbezaan dalam aspek tertentu.

Perbezaan paling jelas dan ketara adalah antara DAP dengan UMNO. UMNO adalah parti politik Melayu memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa itu, manakala DAP walaupun mengatakan ia bagi kepentingan semua kaum dan bukan untuk orang Cina semata-mata, umumnya orang Melayu belum boleh menerima ia sebagai parti politik pelbagai kaum.

Secara majoritinya orang Melayu, khususnya di luar bandar berpendapat dan masih berpegang DAP adalah parti politik kaum Cina. Walaupun sudah berlaku beberapa perubahan dalam parti berkenaan seperti calon Melayu diberikan peluang bertanding dan menang di Parlimen atau DUN tertentu, peratus pengundi Cina tetap dikaitkan dengan sokongan dan kemenangan calon DAP Melayu.

Oleh itu, PRN di enam negeri ini boleh dilihat sebagai ujian pertama kepada Kerajaan Perpaduan sama ada diterima atau ditolak pengundi.

Negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu umumnya dilihat memberi sokongan kuat terhadap calon Perikatan Nasional (PN).

Keputusan jawab persoalan

Berdasarkan keputusan PRU15, adalah sukar PH-BN untuk menang di ketiga-tiga negeri itu hingga ramai meramalkan PH-BN akan mengalami kekalahan.

Harus diingat, ramalan awal ini tidak semestinya tepat kerana ia mungkin boleh berubah, tetapi faktanya pengundi Melayu menolak BN dan PH dalam PRU15, manakala BN/UMNO tanpa kerjasama dengan DAP pun turut menerima nasib sama.

Kelantan dan Terengganu menyapu bersih semua Parlimen, manakala Kedah hanya satu kerusi Parlimen dimenangi PH. Dengan kerjasama DAP sebagai antara komponen PH dilihat akan lebih cenderung kepada kekalahan kerana kebencian orang Melayu kepada DAP.

Justeru, keputusan PRN pada malam 12 Ogos akan menjawab persoalan seperti sejauh mana ketepatan ramalan berkenaan, adakah semua orang Melayu berpendapat DAP adalah parti politik 'musuh' mereka atau sudah wujud segolongan pengundi mempunyai tafsiran berbeza?

Oleh itu, ujian pertama prinsip Kerajaan Peraduan pimpinan Anwar itu bergantung kepada sejauh mana kemampuan Anwar meyakinkan dan menarik sokongan orang Melayu Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, trend keputusan PRN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula berbeza. Orang Melayu tidak menjadi pengundi utama di ketiga-tiga negeri itu.

Pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina mempunyai peranan lebih besar, terutama di Pulau Pinang. Peranan dan keputusan pengundi kaum Cina memberikan kesan dan makna serta peranan lebih besar.

Umumnya berpendapat ketiga-tiga negeri ini lebih cenderung kepada kemenangan PH-BN dengan calonnya diramalkan akan mendapat kemenangan besar, manakala kerajaan negeri akan berjaya dibentuk oleh gabungan PH-BN.

Soalnya, adakah ramalan itu benar-benar tepat? Adakah pengundi Cina tetap memberikan sokongan kepada calon gabungan seperti PRU15 kerana sekarang bukan lagi PH, sebaliknya PH-BN yang di dalamnya ada UMNO yang pernah menjadi musuh politik, terutama DAP.

Sehingga kempen PRU15, UMNO dan DAP menunjukkan pertembungan sangat 'keras'. Secara di luar jangka PH bekerjasama dengan UMNO dan menjadi rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan. Adakah ini diterima semua penyokong DAP?

Pertembungan DAP-UMNO akan menjadi lebih terasa di kawasan pengundi campuran. Kawasan bandar mempunyai majoriti kaum Cina mungkin tidak menjadi masalah besar bagi calon PH-BN (DAP).

Kawasan pengundi campuran kemungkinan akan berlaku masalah besar jika pengundi Cina menolak kerjasama ini dengan bertindak memainkan peranan pasif dalam pengundian.

Mungkin pengundi Cina menyokong parti lawan atau bertindak tidak keluar mengundi. Ini adalah ujian pertama bagi Kerajaan Perpaduan. Mungkinkah sokongan kaum Cina padu kepada PH/DAP seperti sebelumnya?

Oleh itu, PRN kali ini dilihat sebagai ujian adakah kerjasama PH-BN (khususnya UMNO) mendapat

sokongan majoriti pengundi atau sebaliknya.

Adakah pengundi Cina tetap memberi sokongan kepada PH-BN seperti sebelumnya? Begitu juga dengan pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong UMNO akan tetap menyokong BN/UMNO selepas bekerjasama dengan PH/DAP?

Keputusan pada 12 Ogos nanti akan menjelaskan kepada kita apakah berlaku proses perubahan pengundi lebih bersifat sederhana atau kekal tradisi asal yang tidak berubah. Undilah dengan bijak dan dengan fikiran terbuka demi kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Profesor Madya, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Berita Harian X