PADA masa terdekat atau sekurang-kurangnya Ogos nanti, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pulau Pinang sebelum ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) melalui kerjasama PKR dan DAP yang mempunyai kuasa majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 37 kerusi.
Oleh kerana Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, maka boleh dianggap dua kerusi dimenangi BN akan menyokong PH di Pulau Pinang.
Maka secara teorinya parti anggota Kerajaan Perpaduan dijangka mampu menyapu bersih 40 kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRN nanti. PAS sebelum ini hanya menang satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Berdasarkan perkembangan ini, kerajaan Pulau Pinang dijangka tidak akan berubah atau terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN) kerana PH sudah mendapat sokongan BN. Sekali pun BN tewas, PH dijangka tidak sukar mempertahankan negeri itu kerana mereka mendapat kerusi dikuasai DAP.
Namun, tidak dapat dinafikan keputusan PRU15 menyaksikan kemenangan PN di tiga kerusi Parlimen akan memberi cabaran baharu kepada PH-BN untuk menang di beberapa kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Bagi PKR dan Pulau Pinang, PRN penting untuk menentukan pola sokongan Melayu di sana iaitu negeri yang sering dikaitkan dengan kubu kuat PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, kerajaan Selangor di bawah gabungan PH-BN mempunyai majoriti kukuh selepas PH menguasai 51 kerusi DUN. Apabila BN bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, maka kuasa majoriti di Selangor melonjak kepada 55 kerusi selepas dicampur empat kerusi DUN milik BN.
Ini menjadikan kedudukan PH agak stabil di Selangor untuk kekal memerintah. Namun, keputusan PRU15 peringkat Parlimen menyaksikan PN memenangi enam kerusi di Selangor, sekali gus memberi impak kepada keputusan PRN kali ini.
Justeru, PH Selangor perlu bekerja keras untuk mempertahan negeri itu daripada jatuh kepada pihak lawan, terutama di kawasan luar bandar.
Di Negeri Sembilan pula, gabungan antara BN-PH akan memberikan impak positif kepada BN kerana pada PRU14, PH memenangi 20 kerusi DUN dan BN menang 16 kerusi. Kerjasama PH-BN ini dilihat bakal mengukuhkan kedudukan mereka dan menyukarkan lawan.
Di Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, situasi serta cabaran ke semua parti dilihat agak berbeza. Di Kelantan, PAS muncul sebagai kuasa unggul apabila menang 37 daripada 45 kerusi. Ini bermakna PAS memperoleh kuasa majoriti dua pertiga tanpa sumbangan daripada sekutu lain.
Berdasarkan prestasi lalu, boleh disimpulkan Kelantan kekal di tangan PAS pada PRN akan datang. Gelombang hijau di sana dijangka tidak berubah kerana Kelantan kubu kuat parti berkenaan sejak 1960-an.
Di Terengganu PAS memenangi 22 kerusi, manakala BN/UMNO adalah saingan utama PAS selepas memenangi 10 kerusi pada PRU14.
Kedudukan PN di Terengganu dengan kemenangan besar keputusan PRU15 menyaksikan pakatan itu menyapu bersih lapan kerusi Parlimen, sekali gus memberi petunjuk sama kepada keputusan PRN nanti.
Di Kedah, PN memiliki 23 kerusi iaitu menerusi PAS (15 kerusi), BERSATU (enam) kerusi dan dua kerusi menerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
Pembangkang pula menguasai 10 kerusi DUN, menerusi PKR (lima), masing-masing dua kerusi DAP dan BN serta tiga milik Parti Amanah Negara (AMANAH).
Kedudukan PN di Kedah agak stabil dan gelombang kemenangan besar keputusan PRU15 menyaksikan PN menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi Parlimen dipertandingkan. Ini memberikan kelebihan kepada PN di negeri jelapang padi itu.
Persoalan kini, bagaimana bentuk kesepakatan akan dilihat pada PRN nanti? Mampukah PH-BN mengelak pertembungan sesama sendiri seperti ditegaskan pemimpin tertinggi parti terbabit.
Pada masa ini, PH-BN dilihat sepakat dalam soal pembahagian kerusi ditandingi, namun bagaimana pula penerimaan akar umbi untuk mengundi nanti.
Bagi PKR, setakat ini menunjukkan prestasi baik sehingga dapat mengemudi Kerajaan Perpaduan memperkasakan kedudukannya sebagai parti pilihan orang Melayu.
Tambahan pula, pelbagai impak positif dapat dirasai melalui konsep Malaysia MADANI diketengahkan Perdana Menteri kerana ia merentasi ruang lingkup agama dan bangsa serta mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menyatupadukan rakyat.
Selepas PRU 2018, proses dan naratif politik perdana sudah jauh berbeza. Dahulu, semua parti berpakat dan berkongsi kerusi untuk dipertandingkan. Selepas 2018, mod baharu ialah bertanding dahulu dan pembentukan kerajaan ditentukan mengikut arus timbul atau selepas keputusan PRU/PRN.
Parti dominan, mengetuai pembentukan kerajaan jika tiada parti menjadi dominan selepas PRU/PRN. Oleh itu, PRN akan datang adalah penting untuk beberapa perkara.
Pertama, PRN di enam negeri akan menentukan pola sokongan pengundi Melayu Semenanjung sama ada kepada PAS, UMNO, BERSATU dan PKR. Kedua, siapakah di antara parti ini akan menjadi pilihan ramai orang Melayu Semenanjung.
Ketiga, apakah PAS kekal menjadi pilihan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu serta adakah gelombang hijau akan bertapak di Kedah seperti keputusan PRU15 lalu?
Kedua-dua penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia