Semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, kelmarin, saya sempat berinteraksi dengan perwakilan.
Ramai menyuarakan keperluan proses memperkuatkan UMNO disegerakan semoga parti keramat ini dapat dibangunkan secepat mungkin daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Saya juga mendengar suara akar umbi yang UMNO harus kembali menjadi parti tunjang orang Melayu. Peluang ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam Kerajaan Perpaduan perlu digunakan sebaik mungkin untuk memantapkan semula parti dan gabungan itu.
Matlamat ini boleh dilaksanakan sekiranya UMNO mahupun BN menetapkan agenda kukuh bersama-sama Kerajaan Perpaduan terutama Pakatan Harapan (PH) ke arah itu, apatah lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangkakan akhir Julai ini.
UMNO yakin akan kembali semula menjadi kerajaan bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Bersama PH juga, UMNO tekad bekerja kuat memenangi hati dan jiwa pengundi untuk menang di Kedah, Terengganu serta Kelantan.
Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua pemimpin sayap, jelas menyeru stigma lalu UMNO-BN terhadap PH harus dimalapkan dalam mendepani masa depan lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan kepada Presiden UMNO bahawa parti keramat itu adalah wadah boleh terus berkembang dan menarik sokongan orang Melayu yang ingin mendokong agenda madani Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, terdapat lima agenda dilihat mampu memperkuatkan semula UMNO.
Agenda pertama, kesepaduan UMNO adalah jaminan kekuatan dan kelangsungannya. Perkara utama, warga UMNO perlu bersatu dan mengelak perpecahan. Apa yang penting sekarang bagi UMNO adalah memantap dan memperkuat UMNO dari dalam.
Pemimpin dan penyokong perlu merapatkan semula saf kepemimpinan serta menggembleng tenaga untuk saling berusaha dan bekerja kuat bagi memastikan UMNO menang, sekali gus terus menjadi pilihan utama orang Melayu khasnya, rakyat amnya.
Kunci kestabilan dan kekuatan UMNO ialah setia bersama parti bagi mengelak berlakunya unsur sabotaj yang boleh melemahkan UMNO dan menyebabkan parti tunjang orang Melayu ini terus tewas.
Agenda kedua, tahun ini kita meraikan sambutan 77 tahun penubuhan UMNO. Jelas masa depan UMNO terus menghadapi cabaran getir terutama dari segi kesinambungan untuk berada di tampuk pemerintahan.
Ramai melihat UMNO mampu menjadi parti paling dominan negara sekiranya terus mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Justeru, proses peremajaan UMNO yang sudah dimulakan, perlu diteruskan bagi menyediakan barisan pelapis UMNO pada masa hadapan.
Seperti dinyatakan dalam Ucapan Penggulungan Presiden pada PAU 2022, UMNO seharusnya mempersiapkan ramai barisan calon kepemimpinan muda daripada Pemuda dan Puteri, selain Wanita yang mampu mengalas serta merubah UMNO untuk terus relevan di tampuk pemerintahan.
Cabaran ekonomi orang Melayu
Pada masa sama melalui agenda ketiga, cabaran ekonomi orang Melayu harus terus dibela dan diperjuangkan UMNO. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya meningkatkan kemampuan ekonomi orang Melayu, kita ada dasar Malaysia MADANI dilancarkan Perdana Menteri yang terus bermatlamat untuk membasmi kemiskinan dan berusaha mempertingkatkan keupayaan iktisad bangsa.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) orang Melayu Bumiputera harus terus dibela dan dimantapkan. Peluang pekerjaan dan pendidikan khususnya Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus dipertingkatkan supaya UMNO membela orang Melayu dengan tanpa mengira latar belakang.
Yang penting juga, mesyuarat UMNO di peringkat cawangan dan bahagian perlu diperkasa dan menjadi wadah mengemukakan idea baharu bagi membangunkan bangsa Melayu. Sebelum ini, PAU sering dikritik kerana hanya menjadi tempat perdebatan dan perbincangan, namun hasilnya tidak dijadikan dasar boleh dilaksanakan parti dan kerajaan.
Bagi UMNO dilihat terus relevan, perbincangan dan perbahasan perlu dijadikan platform lebih konkrit bagi UMNO menerajui paradigma masyarakat Melayu menuju kemajuan masa hadapan.
Agenda keempat, menyangkut kepentingan agama, bangsa dan tanah air tidak boleh dipinggirkan UMNO kerana ia membentuk jati diri dan identiti masyarakat Melayu.
Maka UMNO perlu menjuarai isu tadi berbanding Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS dan BERSATU yang cuba mengambil alih peranan UMNO berterusan memperjuangkan isu tadi sejak sebelum merdeka lagi.
Jelas kerjasama antara PAS dengan BERSATU bermatlamatkan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO. Kepemimpinan UMNO sering dimomokkan dan cuba dipecah belah dari dalam. UMNO berjaya menanganinya dengan baik perkara ini dan sebarang usaha pecah belah akan digagalkan.
Amalkan pendekatan bersederhana
Meskipun agenda bangsa Melayu dan Islam dipertahankan, UMNO juga harus menyedari Malaysia adalah negara majmuk dan pelbagai kaum. Oleh itu, kerjasama bersama rakan BN – MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan terus dikukuhkan.
Walaupun UMNO adalah parti berhaluan kanan, keberadaan dalam BN menjadikannya sebagai parti berhaluan tengah (moderat). Sedarlah zaman kegemilangan BN pada masa lalu disebabkan kedudukan berhaluan tengah dan mengamalkan pendekatan bersederhana atau 'wasatiyah' hingga menjadikan UMNO-BN popular dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Jadi, hasrat agenda kelima adalah menolak agenda sayap kanan melampau seperti dimainkan pembangkang semasa PRU15 dan menegakkan agenda politik haluan tengah mengambil kira integrasi nasional sebagai matlamat kelangsungan bernegara Malaysia.
Oleh itu, idea baharu berkenaan pembinaan bangsa dan agama perlu ditekankan lebih holistik mencakupi kebaikan umum berasaskan integrasi nasional sesama kaum di negara ini.
Yang pasti, UMNO sedang berusaha kuat memantapkan parti bagi menghadapi cabaran semasa. UMNO dilihat masih utuh sebagai parti orang Melayu dan yakin parti pembangkang akan ditolak rakyat pada PRN di enam negeri dan PRU akan datang.
Bagaimanapun, bagi mengembalikan kegemilangan UMNO, parti ini wajib bersatu padu, mengubah imej lebih terbuka dan mesra rakyat, tidak lagi bersifat elitis, melaksanakan tadbir urus terbaik, lantas mengubah persepsi negatif rakyat terhadap UMNO sebelum ini yang sering dimainkan pembangkang.
Jadi, jentera UMNO akan membawa naratif UMNO baharu ke semua kawasan. Dengan izin Allah SWT, kesinambungan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu akan terus dirahmati untuk generasi masa kini dan masa hadapan.
Penulis adalah Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH