Jumaat, 9 Jun 2023 | 10:31am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pendedahan awal AI lahirkan generasi celik teknologi digital

Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin berkembang dan diramal mengubah secara signifikan kehidupan manusia, sama ada dalam pendidikan, khidmat kesihatan, pendidikan dan perusahaan.

AI membabitkan penggunaan algoritma, model matematik dan pemprosesan data untuk membolehkan mesin belajar, memahami, merancang dan membuat keputusan sendiri.

Penggunaan teknologi AI khususnya dalam pendidikan juga mengalami pertumbuhan ketara. Menurut laporan 'Markets and Markets', pasaran AI dalam sektor pendidikan dijangka mencapai nilai sekitar AS$3.68 bilion dolar pada tahun ini.

Teknologi AI di Malaysia juga mengalami kadar peningkatan ketara dalam usaha untuk membangunkan kemahiran yang penting melalui Pendidikan Abad ke-21 (PAK21), seperti kreativiti, kerjasama, penyelesaian masalah dan pemikiran kritis.

Sistem pembelajaran berasaskan AI dilihat berpotensi menyediakan pengalaman pembelajaran interaktif dan mencabar untuk membangunkan kemahiran murid di sekolah.

Pada masa ini, kerajaan dan institusi pendidikan di negara ini melancarkan pelbagai program latihan serta pendidikan dalam AI, termasuk program latihan untuk tenaga kerja membangunkan kemahiran dan kurikulum AI di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), serta program pembangunan permulaan dan inovasi dalam bidang AI.

Teknologi AI didapati boleh membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran diperlukan berdasarkan PAK21, seperti penyelesaian masalah, memiliki daya kreativiti, mampu bekerjasama dan mengasah pemikiran kritis.

AI boleh menyediakan persekitaran pembelajaran membolehkan kanak-kanak mempraktikkan kemahiran ini melalui simulasi, eksperimen dan interaksi dengan elemen AI.

Hari ini, pengenalan teknologi AI kepada kanak-kanak boleh memberi manfaat besar membangunkan pemahaman mereka mengenai teknologi dan menjadikan golongan ini bersedia memasuki 'dunia' secara digital.

Penggunaan permainan pembelajaran berasaskan AI boleh menjadi pendekatan berkesan untuk memperkenalkan konsep AI kepada kanak-kanak.

Memahami konsep asas AI

Permainan ini boleh direka untuk membantu mereka memahami konsep asas AI, seperti pengecaman corak, logik dan keputusan dipacu data. Sebagai contoh, kanak-kanak boleh bermain dengan permainan pengecaman muka atau suara, membolehkan mereka memahami cara sistem pengecaman AI berfungsi.

Robotik dan mainan pintar menggunakan teknologi AI didapati boleh memberikan pengalaman interaktif kepada kanak-kanak khasnya untuk berinteraksi dan memberikan pemahaman cara teknologi AI berfungsi. Ia boleh membantu meningkatkan kreativiti, logik dan penyelesaian masalah kanak-kanak.

Kanak-kanak boleh dibabitkan dalam aktiviti projek menggunakan teknologi AI untuk memberikan mereka pemahaman praktikal mengenai konsep AI.

Contohnya, mereka boleh membangunkan model AI ringkas untuk mengenali bentuk, warna atau corak atau mereka sistem automasi ringkas beroperasi dengan bantuan AI. Ini membolehkan mereka melihat bagaimana teknologi AI boleh digunakan dalam kehidupan seharian, sekali gus mengembangkan kemahiran teknikal mereka dari semasa ke semasa.

Selain mengajar aspek teknikal, AI juga penting untuk memperkenalkan konsep etika dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi AI kepada kanak-kanak. Mereka perlu memahami teknologi AI mesti digunakan dengan bijak, bertanggungjawab dan mempertimbangkan segala kemungkinan terhadap implikasi etika.

Ini boleh dilakukan melalui perbincangan dan cerita relevan, mengukuhkan nilai seperti keadilan dan keselamatan dalam penggunaan teknologi. Mengajar kanak-kanak bekerja bekerjasama dengan teknologi AI juga penting.

Mereka mungkin diberi peluang bekerja dalam pasukan untuk mereka dan membangunkan projek membabitkan teknologi AI. Ini akan membantu mereka membina kerjasama, komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah bersama-sama dengan teknologi AI.

AI juga boleh digunakan untuk mengenal pasti keperluan setiap kanak-kanak dan menyediakan bahan pembelajaran sesuai dengan tahap perkembangan serta minat mereka. Berdasarkan data dan algoritma AI, guru boleh membuat rancangan pengajaran bersesuaian untuk setiap kanak-kanak, membolehkan mereka belajar mengikut rentak mereka sendiri.

AI nilai perkembangan kanak-kanak

Sistem AI juga boleh memberi kanak-kanak maklum balas segera mengenai kemajuan mereka dalam pembelajaran. Sebagai contoh, AI boleh memberikan maklum balas sebaik sahaja kanak-kanak menyelesaikan tugas atau senaman, membantu mereka melihat kekuatan dan kelemahan mereka.

Selain itu, AI boleh memantau dan menilai perkembangan kanak-kanak secara objektif, membantu guru dan ibu bapa memahami bidang di mana kanak-kanak memerlukan sokongan tambahan.

Pembangunan teknologi AI di institusi pendidikan wajar dikembang dan diperluaskan lagi, walaupun masih berdepan kekangan dana, infrastruktur, perkakasan, peranti dan kepakaran.

Terdapat banyak kelebihan menggunakan AI dalam pendidikan awal kanak-kanak walaupun mungkin menimbulkan cabaran dan kebimbangan dari sudut kawalan serta pengawasan.

Apa yang penting, ibu bapa dan guru perlu memastikan penggunaan AI dalam pendidikan kanak-kanak berjalan seiring dengan etika dan privasi yang betul. Ini bagi mengekalkan keseimbangan aspek rohani dan jasmani golongan ini.

Penulis adalah Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X