Khamis, 8 Jun 2023 | 11:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

UMNO kena pulih, kembalikan keyakinan orang Melayu

Suasana Perhimpunan Agung UMNO kali ini sedikit berbeza seiring dengan realiti politik semasa. Kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menyaksikan parti itu melakukan penjajaran politik yang signifikan. Ini termasuk mengadakan kerjasama politik dengan seteru politik sebelum ini - DAP dan PKR.

Perhimpunan agung kali ini juga bakal menjadi sejarah kerana dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri. Bekas Timbalan Presiden UMNO itu kali terakhir hadir ke perhimpunan keramat itu pada 25 tahun lalu.

Selain beliau, Presiden 19 parti politik bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan turut diundang. Jika perhimpunan agung pada 2022 UMNO memberi fokus kepada soal pemilihan parti dan perpaduan ahli, kali ini perhimpunan bermula 7 hingga 10 Jun akan memberi tumpuan kepada pengukuhan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan persediaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Justeru, perhimpunan agung kali ini menjadi medan kepada UMNO menjelaskan kepada pemimpin akar umbi dan ahli mengenai kebersamaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan. Umum mengetahui penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah keputusan elit politik ketika itu bagi memastikan kerajaan dibentuk dan kestabilan politik dapat dibina pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO menjadi pemain penting dalam proses pembentukan Kerajaan Perpaduan. Hal ini diakui Anwar dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bulan lalu. Kenyataan Anwar jelas menghargai peranan dan sumbangan UMNO bukan sahaja dalam membentuk kerajaan, tetapi menstabilkan politik negara.

Bagaimanapun, bukan semua ahli UMNO dapat menerima dan memahami langkah UMNO bersama Kerajaan Perpaduan. Lebih kritikal, mereka sukar menerima kenyataan UMNO berbaik dengan DAP khususnya. Dilaporkan ada ahli UMNO tidak berpuas hati apabila sebilangan pemimpin parti menggesa mereka mengundi DAP pada PRN akan datang.

Tiada musuh, kawan politik sejati

Dalam politik, tiada musuh dan kawan politik sejati. Kerjasama UMNO dengan DAP membuktikan kata-kata ini. Justeru, ahli UMNO perlu diberikan kefahaman secara berterusan supaya mereka sama-sama mendukung UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Lebih-lebih lagi, kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan agak longgar, bertujuan hanya membentuk kerajaan dan menstabilkan politik, tanpa mengorbankan perjuangan asal masing-masing.

Dari segi sejarah, UMNO tidak pernah bekerjasama dengan DAP. Saingan UMNO, iaitu PAS lebih awal bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Namun, kerjasama ini tidak bertahan lama kerana faktor gagal mematuhi dasar bersama susulan pertembungan dasar asal perjuangan parti.

Dapat dilihat, ketidakyakinan segelintir ahli UMNO terhadap kerjasama parti mereka dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan bertitik tolak daripada premis dan persoalan, mampukah UMNO terus lantang memperjuangkan kepentingan orang Melayu/Islam seperti dahulu?

Tatkala semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan melaksanakan penyederhanaan ideologi dan tuntutan asal perjuangan masing-masing, termasuk UMNO, parti Melayu itu masih diharap orang Melayu menjadi tempat berpayung memelihara soal survival Melayu dan Islam.

Maka, UMNO wajar mengimbangi tuntutan perjuangan asal dengan dasar bersama dipersetujui dalam Kerajaan Perpaduan. Isu kalimah Allah membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam perlu disantuni UMNO dalam kerajaan sebaik-baiknya. Ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah dikhuatiri menjejaskan perpaduan nasional jika tidak ditangani segera.

Perkara berbangkit ini wajar diambil perhatian kepemimpinan UMNO. Perhimpunan agung kali ini menyaksikan saf kepemimpinan baharu, terutama pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berada di pentas utama Dewan Merdeka. Kepemimpinan baharu ini akan diuji dengan kedudukan semasa UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Utamakan kepentingan parti

Kepemimpinan UMNO perlu meletakkan kepentingan parti di hadapan dan berusaha menyatukan ahli, bukan hanya membawa suara kelompok mereka sahaja. Selepas proses pembersihan menyaksikan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti, UMNO seharusnya lebih agresif menyatukan ahli sekali gus memperkukuhkan parti.

Kerajaan Perpaduan yang kini dibentuk mungkin bersifat sementara sehingga menjelang PRU16 atau boleh diteruskan jika pemimpin parti bersedia kekal mencari titik pertemuan. Sama ada Kerajaan Perpaduan ini kekal atau sebaliknya pada masa hadapan, UMNO tetap wujud.

Justeru, apa yang lebih penting adalah bagaimana UMNO dapat terus dapat memikat hati orang Melayu. UMNO adalah satu-satunya parti orang Melayu dalam kerajaan yang mempunyai pengaruh dan sejarah panjang. Sudah tentu tinggi harapan orang Melayu terhadap UMNO.

Pada masa sama, UMNO perlu memastikan penyokong tegar mereka kekal bersama parti dan tidak berpindah ke parti lain. Dalam kata lain, perhimpunan agung kali ini wajar menjadi platform kepada UMNO menguruskan hal dalaman.

Penerimaan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan akan dilihat dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi. Kemenangan UMNO dalam PRN akan memberi makna sokongan orang Melayu dan pengundi kepada parti itu.

Sebaliknya, UMNO akan dilihat terus dihukum pengundi Melayu kerana kedudukan semasanya. Kedudukan UMNO sebagai sebahagian daripada kerajaan sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada parti berusia 77 tahun.

Mandat dan kuasa dimiliki UMNO sebagai parti kerajaan wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kepentingan orang Melayu dan Islam di negara. Secara tuntas naratif UMNO memikat hati orang Melayu tidak boleh lagi bersifat romantisme, tetapi meletakkan agenda Melayu berkemajuan, dinamik dan progresif.

Cabaran UMNO untuk memulih dan mengembalikan keyakinan orang Melayu akan berterusan selepas parti itu sudi hidup 'sebumbung' dengan DAP dan PKR dalam kerajaan parti campuran.

Penulis adalah Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X