Usaha menyemarakkan semangat perpaduan dan menyebar pengetahuan, kefahaman serta penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat negara ini seperti objektif Minggu Perpaduan 2023 yang dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuching, baru-baru ini, bersesuaian dengan agenda Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya ingin menyelusuri inspirasi Malaysia MADANI dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan bukan sahaja membawa peradaban dalam aspek bernegara di negara ini, bahkan merealisasikan perpaduan nasional yang menjadi tunjang kestabilan, kelangsungan serta kemakmuran negara sebenar.
Saya ingin bermula dengan menjelaskan perpaduan nasional atau penyatupaduan kaum adalah kunci memperkasakan ketahanan nasional. Wujud kebimbangan masyarakat amnya mengenai keterjaminan isu perpaduan nasional, khususnya selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada sebelum dan selepas PRU15, kita dapati banyak isu sensitif perkauman serta agama dibangkitkan secara terbuka di ruang awam, terutama di media sosial. Rakyat pelbagai kaum mendebatkan isu ini antaranya di TikTok, Facebook dan Twitter yang dilihat boleh menjejaskan hubungan antara kaum jika tidak ditangani dengan baik dan adil.
Malah, isu kebencian kaum dan agama dibawa itu, dilihat berkaitan perbalahan politik kepartian yang masih tidak reda sehingga kini. Tidak salah perdebatan politik membawa kepada bentuk dasar negara konstruktif demi kebaikan umum kepada negara.
Namun, jika perdebatan berkenaan membawa permasalahan kaum lantas membawa kelemahan kepada daya ketahanan negara, ini pasti menjejaskan kewibawaan negara.
Saya teringat titah Sultan Perak, Sultan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Kongres Profesor Negara Kedua, pada 15 November 2013. Baginda menyatakan dinamik politik sedang berlaku dan sering berubah hendaklah dijadikan cerminan kepada usia negara yang kini hampir menjangkau 66 tahun sejak merdeka pada 1957.
Maka, masyarakat majmuk memerlukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam menentukan kelangsungan negara pada masa hadapan. Sultan Nazrin dengan indah sekali berhujah:
"Subjek penyatupaduan nasional, kini begitu
terapung di laut fikir, menggerak lidah ke tasik kata. Penyatupaduan nasional ketika ini bagaikan rangkai kata yang kalut berlegar di minda warga, semakin diperkatakan, semakin dijadikan subjek perbualan, semakin dijadikan tema seminar diskusi."
Baginda menyambung: "Penyatupaduan nasional pada hakikatnya adalah satu kemestian bagi sesebuah negara demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara, seperti perlunya kehadiran oksigen di atmosfera untuk meneruskan talian hayat, kehadirannya diambil secara lewa, tetapi ketiadaannya akan menyemputkan nafas."
Jadi, jelas konsep perpaduan nasional sebenar dan terkini menekankan keadilan sosioekonomi, pemantapan sains serta pendidikan, pengukuhan jati diri dan patriotisme dan keteguhan menghadapi globalisasi melalui ketahanan nasional.
Ini selari dengan konsep Malaysia MADANI bagi usaha membangun masyarakat dan negara diselarikan agenda perpaduan nasional. Tambah, masyarakat Madani adalah masyarakat beradab (civilised), iaitu maju dari segi pemikiran, kerohanian dan material dengan menyemai nilai murni seperti semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 sebenarnya adalah cerminan kepada tuntutan rakyat mahukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi tercapai. Pentingnya matlamat ini, maka dasar Malaysia MADANI diwujudkan yang mampu membawa model perpaduan negara seperti model peradaban Kota Madinah yang menjadi inspirasi kepada konsep itu sendiri.
Piagam Madinah dibentuk Nabi Muhammad SAW pada awal abad ketujuh bagi umat Islam dan bukan Islam selepas tertubuhnya negara Islam pertama di Madinah. Piagam Madinah ini mengandungi 47 Fasal antaranya perkara berkaitan hak asasi manusia. Hak untuk bebas beragama diberikan dan diamalkan penduduk Madinah ketika itu, khususnya melalui Fasal 25.
Walaupun Rasulullah SAW melahirkan konsep 'ummah', ia tidak mengetepikan identiti dan agama kaum lain. Misalnya, orang Yahudi masih diakui identiti mereka dan tiada siapa juga dipaksa untuk mengikut sesuatu fahaman agama.
Orang Yahudi bebas mengamalkan agama mereka, begitu juga umat Islam. Setiap umat dikehendaki sama-sama mewujudkan keamanan dan perpaduan dalam usaha menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman.
Rasulullah SAW berjaya menunjukkan perpaduan kaum, kabilah dan rakyat dalam negara Madinah boleh dicapai apabila hak asasi manusia, sikap hormat-menghormati serta tanggungjawab setiap individu dipelihara semua pihak.
Kekalkan perpaduan rakyat
Kekuatan utama sesama rakyat pada hari ini adalah kerana kita berjiwa aman dan cuba mengekalkan perpaduan sesama kita. Kita berbeza dari segi adat, budaya, dan cara hidup serta ideologi. Namun kita dituntut bersatu padu demi agama, nusa dan bangsa. Inilah sebenarnya manhaj Islam demi mencapai perpaduan ummah.
Dalam Islam banyak dibicarakan mengenai pentingnya perpaduan negara atau ummah yang menjadi satu tuntutan amat penting dan perpecahan adalah dilarang.
Sementara itu, seorang ulama Abu Abdullah menyatakan dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa: "Teraturnya urusan agama dan dunia adalah dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. Jika tiada pemerintah, nescaya keadaan manusia menjadi kacau-bilau dan mereka saling bunuh membunuh antara satu sama lain."
Oleh itu, menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk memimpin Kerajaan Perpaduan dan sedaya upaya membawa kebaikan umum, menyelesaikan masalah kemiskinan serta memastikan negara terus stabil bagi membolehkan kemakmuran diwujudkan dan rakyat mendapat hasil.
Jadi pesanan ini semestinya memberikan keinsafan bahawa kita harus jaga Malaysia sebaiknya kerana inilah negara kita cintai. Asas kepada kelangsungan negara kita ialah perpaduan nasional harus kita pertahankan.
Cabaran peringkat global dan domestik mengkehendaki kita bersama berganding bahu atas saling hormat menghormati sesama masyarakat majmuk wujud dalam negara kita lantas bersama dengan kerajaan bagi memastikan matlamat perpaduan nasional dan Malaysia MADANI tercapai untuk kebaikan bersama.
Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)