Pada asalnya budaya vape dilihat sebagai alternatif lebih selamat untuk penghisap rokok bagi membantu perokok berhenti merokok.
Bertukar kepada e-rokok mungkin alternatif lebih baik dan selamat bagi seseorang cuba berhenti menghisap produk tembakau biasa, namun mereka perlu mengetahui risiko e-rokok sebelum mencubanya.
Ramai orang terutama belia sering tersilap dengan menganggap vape selamat sedangkan campuran vape tanpa nikotin turut mengandungi sebatian berpotensi merosakkan paru-paru.
Hakikatnya vape dan nikotin bukan jalan terbaik untuk berhenti merokok kerana pengguna vape juga berpotensi menelan nikotin lebih tinggi berbanding rokok dan akhirnya gagal keluar daripada ketagihan.
Perokok menggunakan vape untuk berhenti merokok bukan sahaja tidak berhenti daripada ketagihan, malah berisiko menjadi dwi pengguna - vape dan rokok tembakau.
Penghisap vape menganggap aktiviti baharu ini lebih selamat kerana asap disedut kononnya tidak 'membakar' paru-paru. Namun yang pasti, vape mengandungi nikotin.
Perisa cecair nikotin ditawarkan mengandungi beberapa bahan kimia berbahaya seperti toluena, asetaldehid, benzena, kadmium, isoprena, nikel, plumbum dan N-nitrosonornicotine.
Sama seperti rokok, kandungan nikotin dalam vape akan mempengaruhi kelajuan degupan jantung dan menaikkan tekanan darah.
Nikotin pula memberi kesan pada otak dengan rangsangan rasa lebih segar kepada pengguna. Namun apabila kesan rangsangan nikotin ini hilang, rasa gian akan datang kepada perokok sehingga timbul desakan dalam diri untuk mendapatkannya kembali.
Menerusi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran mengandungi bahan kimia mampu menjejaskan kesihatan.
Bagaimanapun, vape kini menjadi produk rekreasi yang kebanyakannya dijual kepada remaja dan golongan muda. Demi mengaut keuntungan berlipat ganda, firma tembakau kini beralih kepada e-rokok menawarkan perisa berbeza dan reka bentuk unik untuk menarik pengguna muda.
Rentetan itu, menghisap vape menjadi isu tingkah laku di sekolah menengah dan amalan ini semakin meluas di sekolah rendah.
Lebih 300,000 pelajar sekolah di Malaysia terjebak dengan vape, sedangkan mereka sepatutnya menjadi modal insan pada masa akan datang.
Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang mendedahkan, sebilangan besar kanak-kanak mengakui mereka tidak membeli sebarang peralatan vape atau e-rokok, sebaliknya merasa jus cecair vape kepunyaan bapa atau abang yang secara tidak langsung menarik minat mencubanya.
Hasil soal selidik ini mendapati, kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun mengakui mereka mencuba vape dan e-rokok bapa masing-masing ketika berada di rumah atau dalam kereta.
Seramai 200 daripada 300 kanak-kanak terbabit dalam soal selidik ini mengakui, mereka mengambil vape sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Lebih membimbangkan, responden juga mengakui adik-beradik lelaki mencadangkan mereka mencuba vape, walaupun mereka kadang-kadang menolak atau berkata 'tidak' kepada produk berkenaan.
Hakikatnya, mereka tidak pernah menyentuh rokok tetapi kini mula menghisap vape dan daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan ketagih, manakala di sekolah menengah, nisbahnya ialah enam pelajar yang mana dua adalah pelajar perempuan.
Lebih ramai kanak-kanak ketagih vape
Justeru, jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagihan vape sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka.
Apa yang pasti, vape tumbuh dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah tanpa kawalan. Sudah ada bukti vape turut digunakan sebagai bahan campuran dadah yakni pelajar memasukkan tar dalam vape mereka untuk menimbulkan rasa khayal.
Jika generasi muda negara ini sudah menjadi penagih nikotin sejak kecil, otak mereka akan terbantut dan kesihatan mereka terjejas. Kajian menunjukkan apabila individu mula merokok pada usia muda, mereka akan menjadi ketagih dan kekal sebagai perokok sehingga dewasa atau tua.
Atas faktor itu, Singapura, Thailand, Brunei dan 34 negara lain mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape bagi melindungi rakyat, terutama generasi muda daripada ketagihan nikotin.
Tindakan kerajaan Australia dalam menangani budaya vape kalangan kanak-kanak boleh dijadikan pedoman. Australia mempunyai satu undang-undang antimerokok paling keras di dunia, yang kini bercadang mengetatkan undang-undang berkaitan rokok elektronik atau e-rokok, termasuk memperkenalkan kawalan baharu ke atas import dan pembungkusan bagi menghapuskan vape terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Cadangan itu memperlihatkan tindakan keras terbesar terhadap industri tembakau di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Sehubungan itu, Persekutuan akan mengambil langkah mengharamkan semua vape pakai buang dan import vape bukan preskripsi, menyekat perisa dan warna serta mengurangkan tahap nikotin dibenarkan. Susulan peraturan baharu itu, peranti elektronik itu hanya dibenarkan dijual sebagai produk untuk membantu perokok berhenti tabiat buruk itu.
Dianggarkan enam juta kematian berlaku di seluruh dunia setiap tahun akibat nikotin daripada produk merokok. Di Malaysia sahaja, setiap tahun 27,000 kematian berlaku disebabkan oleh rokok yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan nikotin. Maka, bagi langkah jangka panjang, Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain yang berkaitan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengumumkan strategi komprehensif untuk membendung dan mengawal ketagihan nikotin yang dijangka akan meningkat. Antara faktor penyumbang adalah kedai vape dibuka secara berleluasa dan terbuka.
Usaha untuk menghentikan tabiat merokok dan menghisap vape harus dilakukan dari awal dan secara serius oleh semua pihak termasuk tekad yang kuat daripada kerajaan. Ketagihan rokok dan vape sudah dibuktikan dalam banyak kajian sebagai pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah dan bahan larangan.
Maka, tabiat ini perlu dibendung dari awal. Tindakan segera termasuk mempercepatkan pewartaan undang-undang bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran produk vape serta melaksana kempen pendidikan yang mencegah kanak-kanak dan belia daripada menggunakan vape dan peranti e-rokok mengandungi nikotin.
Kanak-kanak di bawah umur tidak seharusnya dibenarkan membeli produk vape. Bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko berlaku perkara ini, pihak kerajaan perlu mewujudkan undang-undang yang berasingan daripada rokok atau memperluaskan skop undang-undang tembakau sedia ada bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran vape.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan antaranya memperkenalkan peraturan pintar dan menguatkuasakan sekatan umur yang ketat ke atas peranti vape dan cecair di tempat jualan dan menggunakan teknologi pengesahan umur moden untuk jualan dalam talian. Selain itu, adalah sangat penting untuk memperluas penyediaan perkhidmatan kepada orang awam yang ketagih nikotin, tidak kira sama ada mereka menggunakan rokok konvensional atau e-rokok.
Penulis adalah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/InstitutPengajian Sains Sosial, Universiti PutraMalaysia