Dalam konteks sistem saraan perkhidmatan awam, kerangka MADANI sebenarnya tidak memerlukan sistem gaji sekarang dirombak secara keseluruhan
[email protected]Menawarkan sistem saraan dan tangga gaji yang mampu memuaskan hati semua pihak sama ada penjawat awam atau swasta bukan satu usaha mudah.
Apatah lagi dalam sektor awam yang terikat pelbagai elemen perlu diambil kira kerajaan sebelum meluluskan sesuatu sistem saraan atau menetapkan tangga gaji, terutama aspek kedudukan kewangan negara.
Perkhidmatan awam di Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam usaha kerajaan mempertimbangkan tuntutan gaji kakitangan awam. Sebelum 1976, kajian serta perakuan mengenai skim dan gaji perkhidmatan awam dijalankan menerusi pelantikan Suruhanjaya Gaji bagi mengkaji dan memperakukan kepada kerajaan mengenai sesuatu skim gaji.
Sejak merdeka pada 1957 hingga 1975, tidak kurang tujuh Suruhanjaya Gaji ditubuhkan kerajaan. Pelantikan suruhanjaya ini selaras dengan sistem pentadbiran diwarisi pemerintahan British.
Lazimnya, suruhanjaya dinamakan sempena nama pengerusinya umpamanya Suruhanjaya Gaji Watson, Suruhanjaya Gaji Suffian dan Suruhanjaya Gaji Harun.
Mulai 1976 kaedah itu diganti dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Gaji, berfungsi memperakukan kepada kerajaan mengenai cadangan sistem saraan perkhidmatan awam. Sejak itu, wujudnya Skim Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) pada 1976, Sistem Saraan Baru (1992) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.
Lazimnya kerajaan dalam memperkenalkan skim saraan akan melakukan rundingan dengan anggota perkhidmatan awam diwakili Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Namun, selain memperkenalkan skim gaji baharu, kerajaan juga menaikkan gaji kakitangan awam menerusi semakan semula gaji dilakukan dari semasa ke semasa, bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan elemen lain berkaitan. Segala langkah ini dilakukan kerajaan sebagai menghargai sumbangan penting kakitangan awam dalam pembangunan negara.
Akhir tahun lalu, CUEPACS berharap kenaikan gaji tahunan (KGT) anggota perkhidmatan awam disemak semula bagi menjamin kebajikan mereka.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata setakat ini golongan terbabit hanya menerima antara RM80 hingga RM320 yang juga kenaikan interim atau sementara dipersetujui selepas Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dimansuhkan sejak 2012.
Ia satu isyarat supaya kerajaan mendengar harapan dan aspirasi penjawat awam dalam soal gaji, apatah lagi ketika negara masih berada dalam proses pemulihan ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan inflasi.
Namun, ia dibalas Perdana Menteri dengan meminta penjawat awam bersabar berhubung soal kenaikan gaji. Menurut beliau, tindakan itu perlu dilihat secara menyeluruh, selain perlu melihat kepada kedudukan ekonomi serta hutang negara.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapannya memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara meningkat.
Ini bermaksud kerajaan sentiasa mendengar rintihan penjawat awam dan memberi jaminan gaji kakitangan awam menjadi agenda penting di bawah kepemimpinannya.
Pada masa sama, Perdana Menteri meminta supaya penjawat awam terus bermotivasi tinggi, produktif dan lebih penting memastikan tiada ketirisan kewangan dalam proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Terap konsep MADANI dalam perkhidmatan
Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri meletakkan MADANI sebagai kerangka bertindak penting untuk pembangunan negara.
MADANI diwakili enam rukun iaitu 'M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Dayacipta), A (hormAT), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju negara bangsa maju dan sejahtera.
Justeru, konsep MADANI ini perlu difahami dan diterapkan dalam perkhidmatan awam untuk membolehkan setiap penjawat awam menjiwai kerangka MADANI cetusan Perdana Menteri. Jika diamati MADANI adalah selaras dengan konsep 'motivasi perkhidmatan awam' (public service motivation) dianjurkan sarjana pentadbiran awam.
'Motivasi perkhidmatan awam' mempunyai empat dimensi utama iaitu komitmen untuk kepentingan awam, tanggungjawab sivik, sifat belas kasihan dan semangat pengorbanan diri untuk kepentingan masyarakat serta negara.
Kajian dalam bidang pentadbiran awam menunjukkan jika penjawat awam mempunyai 'motivasi perkhidmatan awam' tinggi, maka dengan sendirinya kualiti perkhidmatan disampaikan kepada rakyat berada pada tahap tinggi dan sentiasa disampaikan dengan berlandaskan perasaan belas kasihan (compassion).
Penjawat awam itu sendiri akan mempunyai semangat pengorbanan diri tinggi untuk memastikan tugas mereka dan agenda kerajaan diutamakan. Maka dalam konteks sistem saraan perkhidmatan awam, kerangka MADANI sebenarnya tidak memerlukan sistem saraan sekarang dirombak secara keseluruhannya.
Sebaliknya ia perlu disegarkan dengan memberi penekanan kepada beberapa aspek menjadi tumpuan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem lebih berdaya saing.
Dalam hal ini, penjawat awam juga perlu sedar imbuhan sektor awam bukan kewangan semata-mata, tetapi juga imbuhan lain yang tidak langsung seperti kemudahan latihan, pelbagai jenis cuti dan kemudahan lain disediakan kerajaan dari semasa ke semasa selaras dengan pendekatan total rewards (imbuhan menyeluruh) diamalkan perkhidmatan awam selama ini.
Memandangkan sistem saraan sekarang sudah berusia lebih 20 tahun, maka sudah tentu kebijaksanaan kepemimpinan Perdana Menteri serta disokong Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu, kerajaan akan mengkaji dan memberi nafas baharu kepada sistem saraan untuk merangsang peningkatan produktiviti penjawat awam, sesuai dengan hala tuju kerajaan.
Pengarah, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM)