Rabu, 3 Mei 2023 | 11:16am
Pekerja pelbagai sektor meraikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto BERNAMA
Pekerja pelbagai sektor meraikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto BERNAMA

Kesepakatan pekerja, majikan, kerajaan lonjak ekonomi negara

Ada yang memanggil Hari Buruh, namun ada yang menyebut sebagai Hari Pekerja. Jika ditanya apakah perkara utama terlintas di fikiran mengenai sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun, pasti ada mengaitkannya dengan cuti umum dengan perhimpunan, mahupun perarakan pekerja.

Walaupun begitu, masih ramai tidak memahami signifikan sambutan Hari Pekerja ini, selain pemahaman simplistik dan salah mengaitkan Hari Pekerja adalah hari bagi semua bergelar pekerja berehat dan bercuti. Sebenarnya Hari Pekerja bukan seperti kita semua fikirkan. Ia bukan sekadar cuti umum dalam kalendar cuti negara.

Ia sepatutnya digelar Hari Buruh, bukan Hari Pekerja kerana sebetulnya Hari Buruh merujuk kepada perkataan 'buruh' atau labour dalam bahasa Inggeris ditakrifkan dengan pekerjaan menggunakan kudrat atau tenaga manusia secara manual.

Justeru, ia sepatutnya dipanggil Hari Buruh kerana mana-mana individu melakukan kerja pentadbiran, perkeranian, perguruan atau apa sahaja yang tidak menggunakan kudrat tulang empat kerat dalam menghasilkan sesuatu, tidak termasuk dalam kategori buruh.

Bagaimanapun dunia pekerjaan berubah mengikut peredaran zaman dan konsep buruh juga ber- ubah, maka ia dijenamakan 'Hari Pekerja' sempena mengambil kira mereka bekerja 'makan gaji' juga buruh, kerana sifat umum buruh pada masa dahulu ialah menerima upah daripada hasil pekerjaan.

Hari Pekerja sewajarnya menjadi satu platform bagi menekankan hak pekerja dan kesejahteraan pekerja disamping diraikan. Harapan MTUC adalah sambutan Hari Pekerja dapat digunakan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja, terutama pada era ekonomi berubah dan berkembang pesat.

Selain itu, ia juga menjadi satu kesempatan bagi kerajaan dan majikan untuk memberikan pengiktirafan serta menghargai sumbangan pekerja meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan syarikat. Hari Buruh wujud untuk memperingati perjuangan buruh yang menuntut hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri di Barat berkembang pesat.

Pada masa itu, buruh dipaksa bekerja 16 jam hingga 19 jam sehari tanpa cuti dan menjadi lebih serius lagi apabila pemilik perniagaan sanggup menggunakan buruh wanita dan kanak-kanak.

Kemuncak perjuangan buruh itu dikaitkan dengan Rusuhan Haymarket di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Mei 1886 menyaksikan pekerja mengadakan mogok aman untuk menuntut hak mereka, tetapi berakhir dengan tragedi. Kerana itu wujudnya Hari Buruh Antarabangsa atau May Day yang kemudian ditetapkan tarikh 1 Mei sebagai Hari Buruh.

Dalam suasana dunia semakin terbuka dan kompleks, isu pekerja kini tidak lagi berkisar mengenai gaji, waktu kerja atau cuti sahaja. Perkara seperti jaringan keselamatan sosial, imbuhan dan manfaat sampingan, kebajikan dan persaraan pekerja juga perlu dipertingkat dan diperluas secara berterusan.

Selepas lebih 100 tahun menyambut Hari Buruh, pelbagai cabaran dilalui golongan pekerja. Kemunculan COVID-19 menyebabkan ada pekerja terpaksa 'bersara awal' kerana syarikat tidak lagi mampu menanggung kos pekerja. Kesan pandemik masih terasa, walaupun negara dalam proses pemulihan ekonomi.

Isu kesihatan mental dan burnout semakin menjadi perhatian pascapandemik. Menurut kajian Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada 2020, lebih 60 peratus pekerja di Malaysia mengalami tekanan emosi akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai kesihatan mental dan burnout, tetapi asas kepada pengurangan waktu bekerja kepada 45 jam dalam pindaan baharu bertujuan memastikan pekerja mendapat rehat secukupnya bagi mengelakkan isu kesihatan mental serta kelesuan ini.

Namun, banyak tafsiran timbul selepas pindaan akta dilakukan, termasuk waktu bekerja seminggu 45 jam. Pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, termasuk pengurangan waktu bekerja kepada 45 jam seminggu, menimbulkan pelbagai tafsiran dan kontroversi.

Terdapat majikan menambah masa bekerja walaupun amalan sebelum itu waktu bekerja kurang daripada tempoh berkenaan. Tindakan segelintir majikan mengecualikan waktu rehat sebagai waktu bekerja serta bertindak mengurangkan gaji pekerja adalah tidak wajar, melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Majikan kena patuh arahan JTK

Maka, majikan sepatutnya mematuhi arahan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang menegaskan tidak boleh menambah waktu kerja asal pekerja hanya untuk memenuhi tuntutan pindaan akta ini.

Disamping melaksanakan gaji minimum sepenuhnya, negara juga perlu memikirkan dan mengkaji keperluan untuk melaksanakan gaji bermaruah seperti gaji progresif atau gaji kehidupan bagi mengimbangi kos sara hidup masa kini bagi memastikan tidak berlaku diskriminasi terhadap pelaksanaan gaji terhadap pekerja.

Pelaksanaan elaun sara hidup (COLA) juga perlu dipertimbangkan dalam kalangan pekerja swasta yang mana ia mampu menampung sedikit kos pekerja dalam jangka pendek.

Namun, terdapat dakwaan gaji minimum ditetapkan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup. Menurut statistik Jabatan Perangkaan, Kos Sara Hidup (KSH) pada 2020 meningkat 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Oleh itu, MTUC menyarankan kerajaan mengkaji semula kesesuaian pelaksanaan gaji minimum bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi keperluan asas kos sara hidup.

MTUC menyokong penuh pelaksanaan Skim Bencana Bukan Kerja dicadangkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja di semua peringkat dilindungi serta menampung kos perubatan.

Selain itu, MTUC berharap tindakan kerajaan meminda undang-undang antipemerdagangan dan Akta Pekerjaan untuk memasukkan takrifan buruh paksa lebih luas akan dapat menghapuskan isu buruh paksa, terutama terhadap pekerja asing.

MTUC percaya melalui Pelan Tindakan Nasional (NAP) lima tahun terhadap buruh paksa akan dapat menangani isu buruh paksa bagi jangka panjang dan seterusnya mengembalikan Malaysia di peringkat terbaik pada mata dunia. MTUC juga berharap kerajaan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 87 pada Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva pada bulan depan.

Menerusi sokongan dan kerjasama serta kesepakatan pekerja, majikan serta kerajaan, MTUC berharap kita dapat bangkit semula meningkatkan ekonomi negara, sekali gus mewujudkan lebih peluang pekerjaan pada masa depan.

Berita Harian X