Ramadan al-Mubarak bakal meninggalkan umat Islam untuk tahun ini. Hadirnya Ramadan membawa harapan pengampunan dosa serta dikabulkan segala doa.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan diberkati, Allah mewajibkan kepadamu berpuasa pada bulan itu. Pada bulan itu pintu langit dibuka dan pintu neraka ditutup, manakala syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat satu malam yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan". (HR Nasa'i)
Selama sebulan, umat Islam ditarbiah dengan pelbagai pakej amalan kerohanian dan pembersihan jiwa. Amalan bersahur, berpuasa, solat fardu, solat sunat, sedekah, tilawah al-Quran, iktikaf di masjid, muhasabah, qiamulallail dan sebagainya. Semua amalan dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan sempurna mungkin.
Ia selari dengan hadis bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya". (HR Bukhari dan Muslim)
Apa yang pasti, Allah SWT menjanjikan kemuliaan syurga kepada hamba-Nya yang berpuasa bersungguh-sungguh. Baginda Nabi SAW bersabda mafhumnya: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat pintu dikenali sebagai al-Rayyan khusus bagi ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat nanti. Selain mereka tidak dibenarkan masuk (melalui pintu itu)" (HR Bukhari)
Dalam konteks negara pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan agenda Membangun Malaysia Madani dalam pentadbiran negara.
Perkenal pelan transformasi
Bagi menjayakan agenda ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau dikenali dengan nama ringkasnya 'Al-Falah'.
Pelan Al-Falah mengandungi '5 Teras, 10 Fokus Gerak Kerja dan 5 Nilai' merangkumi inisiatif utama sesuai dan praktikal untuk membentuk masyarakat menghayati nilai madani.
Antara teras utama Pelan Al-Falah ialah kesejahteraan insan, memberi fokus kerja ke arah kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam. Untuk tujuan itu, sepanjang Ramadan, agensi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri menyusun program untuk menyantuni masyarakat khususnya yang tidak berkemampuan.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan dana zakat lebih RM76 juta kepada asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif sepanjang Ramadan. Inilah usaha dilaksanakan MAIWP untuk menyantuni dan mengupayakan asnaf di Wilayah Persekutuan khususnya pada Ramadan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula mengambil inisiatif menganjurkan Iftar Rahmah Ramadan dengan peruntukan RM4 juta daripada MAIWP. Program Iftar Rahmah Ramadan ini berlangsung secara berpusat di 70 masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Setiap hari 21,000 pek makanan berbuka puasa secara percuma diagihkan kepada golongan asnaf dan kumpulan B40. Maknanya, dalam tempoh sebulan Ramadan tahun ini, sekitar 630,000 pek makanan berbuka puasa diedarkan secara percuma melalui program Iftar Rahmah Ramadan.
Selain itu, JAWI menggerakkan program Edaran Pek Makanan Santuni Gelandangan sepanjang Ramadan dengan peruntukan sebanyak RM 129,600. Pek makanan diagihkan secara berpusat di Pusat Pembelajaran dan Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menyalurkan sumbangan RM4 juta melalui program Inspirasi Qaseh sepanjang Ramadan bagi membantu masyarakat tidak berkemampuan.
Program berbentuk bantuan tunai, sokongan keperluan perniagaan, latihan serta bantuan lain ini memberikan manfaat kepada 180,000 penerima, diatur untuk membantu golongan rentan dan masyarakat memerlukan.
JPM Hal Ehwal Agama melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAWI turut menganjurkan program Qiamullail Perdana bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya.
Program ini menarik masyarakat setempat di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang beriktikaf di Masjid Putra, Putrajaya untuk mengimarahkan malam pada akhir fasa Ramadan.
Program sepanjang Ramadan diteruskan
Program ini akan terus diadakan secara berkala pada masa akan datang sebagai usaha pendidikan kepada masyarakat untuk menormilasasikan solat malam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 79 bermaksud: "Dan pada sebahagian malam, bertahajudlah kamu sebagai ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat terpuji".
Program dianjurkan sepanjang Ramadan ini akan terus dilaksana serta diperhebatkan pada masa akan datang. Kerjasama strategik antara agensi amat mustahak bagi memastikan program berkenaan sampai kepada masyarakat.
Syawal bakal menjelma dan menjadi bulan untuk kita mengeratkan silaturahim. Sehubungan itu, pada hari raya nanti, mari kita menghidupkan tradisi kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.
Santunilah ibu bapa dengan penuh akhlak dan kasih sayang, kerana mereka berdua adalah pintu syurga bagi kita. Dalam hadis, Abdullah Umar meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah itu bergantung kepada kemarahan orang tua". (HR Bukhari)
Dalam kemeriahan menyambut hari raya, usah dilupa adab berziarah. Jagalah lidah dan tingkah laku supaya tidak mengguris hati ahli keluarga, sanak saudara dan tetangga.
Budaya hormat-menghormati serta saling menjaga perpaduan menjadi nilai dan amalan masyarakat madani untuk diperkukuh dan dipertahankan. Menjadi kewajipan kita umat Islam menjaga keharmonian dalam negara.
Sebagai usaha untuk meneruskan amalan pada Syawal, umat Islam wajar berusaha melaksanakan puasa sunat sebanyak enam hari kerana memiliki kelebihan amat besar.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan Muslim bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan, diikuti dengan puasa (sunat) enam hari pada Syawal, menyamai seperti berpuasa sepanjang tahun".
Semoga semua amalan kita sepanjang Ramadan dinilai sebagai amalan soleh. Ramadan menjadi pencetus perubahan diri ke arah lebih baik. Selepas sebulan ditarbiah, sekarang adalah masa untuk umat Islam istiqamah.
Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)