Rabu, 19 April 2023 | 9:18am
Walaupun data rasmi anak bulan akan dicerap tak penuhi kriteria ‘imkan al-rukyah’, ia tetap diambil kira dalam proses tentukan tarikh 1 Syawal. - Foto hiasan
Walaupun data rasmi anak bulan akan dicerap tak penuhi kriteria ‘imkan al-rukyah’, ia tetap diambil kira dalam proses tentukan tarikh 1 Syawal. - Foto hiasan

Arab Saudi lebih berpeluang nampak anak bulan berbanding Malaysia

MENJELANG Aidilfitri, penentuan tarikh 1 Syawal kembali menjadi polemik, terutama di media sosial dengan ramai mempersoalkan mengapa ia tidak boleh terus ditentukan dengan menggunakan kaedah hisab atau pengiraan di sebalik kemajuan teknologi, termasuk dalam bidang astronomi.

Hakikatnya, tarikh 1 Syawal 1444 Hijrah ditentu berdasarkan pedoman Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi sandaran ulama dan pemerintah menggunakan kaedah hisab dan rukyah (cerapan).

Rasulullah SAW bersabda: "Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakan 30 hari Syaaban." (HR Bukhari).

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: "Jangan kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka hingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka takdirkanlah." (HR Bukhari)

Mengikut Pusat Astronomi Antarabangsa, sebanyak 32 negara mula berpuasa pada 23 Mac, iaitu Khamis, manakala hanya dua negara, iaitu Bangladesh dan India mula berpuasa pada 24 Mac (Jumaat).

Oleh itu, negara seperti di Asia Barat, Afrika, Eropah dan Asia Tenggara akan mencerap anak bulan, esok (20 April). Bagi 32 negara terbabit, kenampakan anak bulan akan menentukan tarikh hari raya sama ada Jumaat atau Sabtu.

Di sini kita perlu memahami peredaran bulan mengelilingi bumi dalam tempoh 29.5 hari menyebabkan berlaku beberapa fasa bulan, iaitu anak bulan, bulan separa, bulan penuh atau purnama dan seterusnya anak bulan tua.

Dalam fasa bulan, terdapat fasa new moon, conjunction, iqtiran atau ijtimak merujuk kepada bumi, bulan dan matahari berada pada longitud sama. Pada saat ini, bulan sama sekali tidak kelihatan dari permukaan bumi kerana seluruh bahagian disinari matahari membelakangi bumi.

Ijtimak tentukan umur anak bulan

Ijtimak ini penting dalam menentukan umur anak bulan kerana anak bulan akan kelihatan selepas berlaku hal itu. Seperti umur manusia, ia mula dikira sejak bayi dilahirkan dan umur semakin meningkat kepada hari, minggu, bulan, tahun dan seterusnya kepada satu tempoh belum diketahui manusia, iaitu kematian.

Bagi bulan pula, umurnya bermula apabila berlaku ijtimak, kemudian meningkat kepada saat, minit, jam, hari dan seterusnya hingga kepada satu tempoh tetap, iaitu 29.5 hari. Selepas bulan berumur 29.5 hari, ijtimak seterusnya akan mengambil tempat untuk bulan berikutnya dan begitulah seterusnya.

Umur bulan ini berbeza-beza bagi setiap negara bergantung kepada kedudukan negara berkenaan. Apabila semakin besar umur bulan, maka semakin luas kawasan bulan bercahaya dan semakin tinggilah peluang anak bulan kelihatan.

Berdasarkan fakta itu, maka negara berada di sebelah barat lebih berpeluang melihat anak bulan berbanding negara di sebelah timur. Contohnya, Malaysia dan Arab Saudi akan melakukan cerapan anak bulan Syawal 1444 H pada waktu Maghrib esok, iaitu 29 Ramadan.

Di negara ini, data menunjukkan ijtimak berlaku pada jam 12.12 tengah hari. Umur bulan ketika waktu Maghrib atau 7.31 petang adalah lebih kurang 7 jam. Bagi Arab Saudi pula, ijtimak berlaku pada jam 5.55 pagi dengan umur bulan ketika itu adalah 6.22 petang, lebih kurang 12 jam.

Ini disebabkan perbezaan masa antara Arab Saudi dengan Malaysia adalah 5 jam. Oleh itu, bentuk sabit bulan di Arab Saudi lebih besar berbanding Malaysia, sekali gus peluang kenampakan anak bulan di Arab Saudi lebih baik.

Negara di sebelah barat juga berpeluang melihat anak bulan lebih cerah berbanding negara terletak di sebelah timur. Kemungkinan beberapa negara Arab dapat melihat anak bulan dengan bantuan teleskop, iaitu Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi.

Bagaimana pula dengan data anak bulan di Malaysia, apakah ia memenuhi atau tidak kriteria 'imkanurukyah'? Perlu ditegaskan Malaysia mengamalkan rukyah dan hisab berdasarkan kriteria 'imkan al-rukyah'.

Mengikut kriteria itu 'ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari (elongasi) tidak kurang daripada 6.4 darjah'. Data hitungan rasmi di Malaysia sudah dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Anak bulan akan dicerap pada 29 Ramadan 1444 H tetapi ia tidak memenuhi kriteria 'imkan al-rukyah' berbanding negara lain.

Hasil cerapan anak bulan kelihatan atau tidak kelihatan, tetap akan diambil kira dalam prosedur membuat keputusan walaupun data menunjukkan anak bulan berkenaan tidak memenuhi kriteria 'imkan al-rukyah'.

Justeru, proses ini masih belum selesai dan akan berlangsung esok. Sultan dan Raja selaku Ketua Agama Negeri akan memberi perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan tarikh hari raya bagi negara ini selepas menerima laporan daripada 29 lokasi cerapan di seluruh negara.

Pengumuman rasmi dilakukan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Proses ini dilaksanakan sesuai dengan tanggungjawab selaku 'ulil amri' seperti ditetapkan syarak. Justeru, kita perlu berlapang dada dan mengikuti proses ini hingga selesai dengan sabar.

Penulis adalah Pengerusi Persatuan Jurufalak Syarie


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X