#BHRencana #Mukasepuluh Masyarakat Islam menyediakan lebih wang perbelanjaan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain kerana perlu menyediakan juadah berbuka puasa, di samping persiapan menyambut Aidilfitri.
[email protected]Ramadan kini memasuki minggu terakhir dan sejak awal minggu berpuasa pada 23 Mac lalu, ia menjadi bulan limpahan rezeki kepada rakyat sama ada beragama Islam atau bukan Islam kerana dipenuhi pelbagai aktiviti ekonomi domestik.
Sepanjang Ramadan, perniagaan rancak di mana saja dan boleh dikatakan berlangsung sepanjang hari hingga tengah malam sama ada di bazar Ramadan atau pasar malam.
Situasi itu dijangka lebih meriah dan sibuk minggu ini menjelang Aidilfitri. Boleh dikatakan setiap kali Ramadan menjelma, pelbagai jenis barang, makanan dan pakaian dijual sama ada di bazar Ramadan, pasar malam, tepi jalan atau di premis perniagaan dengan pelbagai inovasi kreatif bagi menarik pelanggan.
Ramadan penuh berkat ini bukan sahaja memberi limpahan kebaikan kepada umat Islam, malah juga kepada bukan Islam. Masing-masing berusaha merebut peluang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.
Hakikatnya, masyarakat Islam menyediakan lebih wang perbelanjaan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain kerana perlu menyediakan juadah berbuka puasa, di samping persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Dalam konteks ekonomi, lazimnya sepanjang Ramadan muncul ramai peniaga kecil bagai 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Mereka berniaga pelbagai produk seperti makanan, buah-buahan, pakaian dan aksesori rumah.
Ketika ini, selain berniaga secara fizikal atau bersemuka, media sosial turut menjadi platform penting bagi merancakkan perniagaan. Namun, dalam kemeriahan peniaga menjalankan aktiviti ekonomi, terdapat rungutan ada produk dijual terlalu mahal dan kurang berkualiti.
Kedengaran juga rintihan pembeli tidak berpuas hati dengan juadah dijual yang tidak memenuhi jangkaan sehingga mereka melabelnya sebagai 'harga koyak', 'karipap angin', 'popia tauge sebatang' dan pelbagai istilah lain.
Terdapat sebahagian peniaga cuba menginovasi makanan dijual menerusi pelbagai cara dan menggunakan bahan tertentu bagi membolehkan harga dinaikkan. Justeru, ramai pembeli merungut makanan kurang sedap atau tidak berkualiti. Inilah ragam segelintir peniaga mengutamakan untung berbanding kualiti.
Malah, terdapat peniaga sanggup mengambil cuti panjang semata-mata untuk berniaga bagi mengaut keuntungan berganda ketika Ramadan. Bagi peniaga yang rajin dan mempunyai strategi pemasaran berkesan, mereka mampu meraih pendapatan lumayan.
Ramai dalam kalangan mereka berniaga menerusi pelbagai platform, terutama di media sosial, sekali gus membolehkan produk mereka menjadi viral dan tempahan meningkat.
Tidak dinafikan keseronokan menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan mampu memberi motivasi dan inspirasi berpanjangan, khususnya kepada mereka yang baru menceburi perniagaan. Mereka menganggap bulan ini ibarat 'sekolah perniagaan' untuk meningkatkan pengalaman dan daya saing dalam dunia perniagaan.
Tidak hairan terdapat segelintir individu berniaga sementara pada Ramadan, akhirnya mengambil keputusan kekal dalam perniagaan diceburi. Jelas di sini, penjanaan ekonomi domestik pada Ramadan mampu mengubah hidup seseorang.
Dalam kesibukan beribadah pada akhir Ramadan dan bakal meraikan Aidilfitri, pengguna dan pembeli diingatkan sentiasa berhemat ketika berbelanja atau membeli ikut kemampuan dan keperluan.
Kawal nafsu berbelanja
Pengguna tidak harus boros atau berbelanja mewah untuk barang dan produk tidak diperlukan atau tidak penting. Gunakan kebijaksanaan dan kewarasan untuk mengawal nafsu berbelanja supaya wang yang ada dapat dimanfaatkan untuk perkara lebih utama seperti menanggung perbelanjaan selepas beraya.
Sesetengah pengguna berbelanja bagaikan lupa diri atau sanggup 'biar papa asal bergaya' untuk menyambut Syawal. Dalam hal ini, pengguna perlu bijak berbelanja seperti kata pepatah 'bijak membeli, menang memakai'. Apatah lagi pada tahun ini, iklim ekonomi negara pasca pandemik belum pulih sepenuhnya.
Masih ramai rakyat bergelut untuk membina kehidupan. Isu menuntut pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar adalah tanda ekonomi rakyat belum menunjukkan pemulihan. Justeru, orang ramai masih perlu 'cermat ketika banyak, jimat ketika sikit'.
Selain beringat dalam berbelanja, umat Islam diingat tidak membazirkan makanan dibeli khususnya untuk berbuka puasa.
Dapatan kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan pada 2021, lebih 10,000 tan makanan dibazirkan setiap hari dan meningkat 10 hingga 20 peratus pada Ramadan. Pembaziran makanan ini memberi kesan terhadap kenaikan harga kerana permintaannya tinggi di pasaran.
Pendek kata, Ramadan yang menjadi bulan penting untuk umat Islam menuai pahala dan pelbagai ganjaran daripada ibadah juga mampu menjadi bulan melonjak dan memeriahkan ekonomi domestik.
Banyak pihak mendapat nikmat hasil rantaian aktiviti ekonomi yang wujud dalam tempoh Ramadan, daripada sekecil-kecil aktiviti seperti pekerja gig sehingga peniaga kurma, penjual pakaian berjenama dan hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa.
Berbaki kurang seminggu untuk menyambut Aidilfitri, pulangan ekonomi dan sosial diperoleh daripada Ramadan diberkati ini amat besar. Semua aktiviti dijalankan, termasuk perekonomian turut diberi ganjaran Allah SWT.
Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia