Rabu, 12 April 2023 | 1:01pm

Usaha perkasa prasekolah bantu lahir modal insan berkualiti

Setiap kanak-kanak adalah harta sangat bernilai dan mereka akan meneruskan kehidupan serta mencorak pola pembangunan ekonomi negara.

Jenis pelaburan ke atas mereka hari ini akan menentukan maju atau mundur, turun atau naik keadaan ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Sejak 10 tahun lalu Malaysia mengalami perubahan struktur demografi penduduk begitu ketara.

Ketika ini, 7.6 juta atau 23 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini berusia antara 1 hingga 14 tahun. Jumlah penduduk bertambah saban tahun tetapi kadar pertambahan naik dengan agak perlahan.

Pada 1961, penduduk bertambah pada kadar 3.2 peratus berbanding hanya 0.2 peratus pada 2022. Penurunan ini disebabkan beberapa faktor termasuk kadar kesuburan semakin menurun.

Peningkatan pencapaian pendidikan dan penyertaan wanita dalam tenaga buruh pula menyebabkan golongan muda lewat berumahtangga, manakala kos penjagaan anak semakin tinggi.

Untuk mengimbangi kesan unjuran kadar penurunan penduduk ini, Malaysia mesti memastikan pulangan daripada perubahan demografi ini datang menerusi produktiviti.

Dinamik demografi negara kita memaksa kita untuk menjadikan produktiviti sebagai jentera utama pertumbuhan ekonomi jangka panjang bagi mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

Ini boleh berlaku dengan membina tenaga kerja yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi. Satu cara lain ialah memupuk proses tumbesaran kanak-kanak melalui pendidikan prasekolah.

Pendidikan prasekolah berkualiti boleh menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan termasuk ilmu asas, kemahiran sosial bermanfaat serta memupuk sikap positif ketika dan pasca persekolahan.

Walaupun terdapat banyak prasekolah yang baik disediakan kerajaan atau pihak swasta, perbezaan yuran bagi tabika atau taska amat berbeza. Misalnya yuran tadika Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) hanya antara RM5 hingga RM25 berbanding ratusan ringgit di kenakan kebanyakan prasekolah swasta.

Kementerian Pendidikan (KPM) pula membenarkan hanya 25 murid dalam satu kelas. Faktor seperti ini menyulitkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke prasekolah.

Kadar kemasukan ke prasekolah

Meskipun ketika ini terdapat hampir 70 peratus atau sebanyak 16,253 institusi prasekolah kerajaan menawarkan yuran berpatutan, kadar kemasukan ke prasekolah masih kecil terutama dalam kalangan mereka berpendapatan rendah.

Menurut kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2018, satu daripada dua kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur tidak belajar secara formal di prasekolah.

Keadaan ini perlu diatasi segera untuk mengelak isu berkaitan tumbesaran kanak-kanak, masyarakat terperangkap dalam kemiskinan, jurang pendapatan melebar dan risiko golongan muda terbabit aktiviti kurang berfaedah.

Dalam mendepani isu ini, peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan sejak kecil tidak boleh dinafikan.

Kerajaan juga mesti memainkan peranan bagi membantu ibu bapa untuk merealisasikan potensi anak-anak. Memastikan kanak-kanak diberi pendidikan awal mantap dapat mempertingkatkan pembangunan kognitif.

Usaha ini boleh dianggap sebagai pelaburan jangka panjang bagi membentuk pembangunan modal insan akan menjadi penggerak utama ekonomi negara.

Terdapat banyak bukti di peringkat antarabangsa dapat menyokong pendidikan prasekolah menghasilkan peningkatan produktiviti jangka masa panjang.

Contohnya di Britain, pencapaian ujian kecerdasan minda (kognitif) dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun meningkat dengan tinggi hasil daripada pendidikan prasekolah.

Norway pula mendapati dengan memperkenalkan pendidikan prasekolah pada 1970-an berjaya memupuk semangat mahu belajar berterusan dan mendorong keinginan untuk mengikuti pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ia terbukti memberi kesan positif besar ke atas pasaran buruh bagi semua penduduk.

Isu kadar yuran tinggi

Bagaimanapun, di negara beberapa isu ketara dihadapi ibu bapa ialah masalah bayaran yuran tinggi menyebabkan golongan ibu ada yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan di pusat asuhan kanak-kanak tinggi.

Tentu sekali kos menyara anak-anak lebih dirasakan oleh mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam hal ini, kerajaan harus menyediakan lebih banyak prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak mengenakan yuran berpatutan dan berhampiran kelompok perumahan didiami golongan berpendapatan rendah.

Dengan cara ini, golongan ibu dapat menyumbang kepada tenaga kerja dan melonjakkan produktiviti kerana mengetahui anak mereka dijaga dengan baik oleh guru dan pembantu ketika sesi pembelajaran.

Soal kos perlu dititikberatkan sekiranya kerajaan berhasrat menyediakan lebih banyak prasekolah. Menurut kajian dilakukan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), kos menampung prasekolah kerajaan untuk kanak-kanak berusia lima tahun dan enam tahun berjumlah RM6.71 bilion.

Ia satu jumlah besar tetapi hanya 0.41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja.

Namun, jika dilihat dari segi jangka masa panjang, pelaburan sebegini akan memberikan pulangan berguna kepada negara untuk membina modal insan berpendidikan sejak kecil.

Sekiranya mengadakan prasekolah menyulitkan, kerajaan harus menyasarkan binaan prasekolah di kawasan luar bandar terdahulu dan seterusnya ke kawasan bandar secara berperingkat.

Selain itu, kerajaan juga boleh bermula dengan menyediakan perkhidmatan prasekolah berkualiti selama setahun dengan bilangan murid lebih ramai berbanding dua tahun dicadangkan.

Ringkasnya, prasekolah tidak harus semata-mata dilihat sebagai platform pendidikan awal kanak-kanak sahaja, bahkan ia berpotensi menjadi satu komponen infrastruktur penting untuk merangsangkan ekonomi negara pada masa hadapan.

Pengarah, Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya

Berita Harian X