Selasa, 11 April 2023 | 9:59am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Reformasi hukuman mati usaha lindungi hak manusiawi

Hukuman terhadap penjenayah lazimnya dirangka, disusun dan ditetapkan berasaskan nilai masyarakat setempat dan juga norma sejagat bagi mencari serta mewujudkan keadilan.

Hukuman jenayah turut dipengaruhi faktor semasa dan sudut pandang masyarakat terhadap jenayah dilakukan dan pesalah.

Suatu masa dahulu, masyarakat menanggapi jenayah seumpama barah yang perlu disingkirkan dari tubuh badan. Jika ada bahagian badan diserang penyakit, maka anggota itu harus dipotong dan dibuang.

Lantas, masyarakat melihat sebahagian pesalah jenayah wajar dihukum bunuh atau diusir daripada masyarakat. Hukuman mati diterima sebagai balasan wajar walaupun kesalahan tidak membabitkan kekerasan.

Begitu juga hukuman buang negeri atau penempatan di pulau atau daerah terasing daripada masyarakat. Pada zaman kolonial British misalnya, beberapa pulau dijadikan sebagai koloni hukuman dan penjara terbuka bagi menempatkan banduan.

Kini, zaman berubah. Perspektif lapuk di atas dilihat tidak lagi memberi kesan positif kepada upaya dan usaha menangani jenayah. Sebagai penyakit sosial, penjenayah dilihat berpotensi dirawat dan dipulihkan serta diberi peluang kedua.

Susulan itu, dapat dilihat beberapa dasar digerakkan dengan menekankan aspek koreksional dan pemulihan termasuk di penjara Malaysia. Perubahan itu sejajar pendekatan baharu menangani jenayah secara lebih manusiawi dan menyeluruh.

Mansuh hukuman mati mandatori

Parlimen baru-baru ini meluluskan pemansuhan hukuman mati mandatori. Dalam erti kata lain, hukuman gantung sampai mati masih kekal dalam sistem perundangan kita. Namun kini, mahkamah memiliki budi bicara dalam menjatuhkan hukuman gantung mengambil kira keadaan dan ciri berbeza setiap kes.

Banyak pihak menyambut baik reformasi undang-undang ini, biarpun ada mengharapkan pemansuhan sepenuhnya dilaksanakan. Hakikatnya, langkah ini menawarkan nafas baharu dalam usaha menangani jenayah di Malaysia secara terangkum dan holistik.

Harus juga ditekankan, sebarang perubahan radikal dalam sistem keadilan perlu sejajar dengan kefahaman masyarakat umum bagi memastikan keadilan dilaksanakan dan dilihat terlaksana oleh semua pihak.

Kerajaan juga sedang merencanakan reformasi sistem keadilan jenayah di Malaysia yang memberi perhatikan kepada dasar hukuman dan pembaharuan sistem penjara.

Kerajaan dilaporkan turut fokus kepada pendekatan hukuman berteraskan pemulihan dan keadilan restoratif.

Reformasi undang-undang digagaskan dilihat mampu memacu pendekatan baharu dalam menangani jenayah di Malaysia. Dua perkara pokok ingin diutarakan bagi memastikan pendekatan baharu ini mencapai matlamatnya.

Pertama, pendekatan baharu menangani jenayah mesti mengurangkan kebergantungan kepada hukuman. Sesuatu hukuman hanya memainkan peranan berkesan selepas sesuatu jenayah berlaku, iaitu selepas terjadi malapetaka kerugian.

Kewujudan hukuman berat juga sukar dibuktikan boleh menghalang seseorang melakukan jenayah. Oleh itu, langkah meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat tidak lagi wajar dijadikan tindak balas utama terhadap peningkatan jenayah.

Acap kali kita lihat, banyak pihak akan terus menggesa kerajaan menaikkan kadar maksimum hukuman bila suatu jenayah dilihat seolah berleluasa. Gesaan ini bermasalah kerana lazimnya tidak disokong oleh data yang tepat, tetapi lebih dipengaruhi emosi semata.

Lebih malang lagi jika penyelidikan mendalam berkenaan sebab-musabab dan punca jenayah itu dipinggirkan. Kerajaan adakala terpaksa akur dengan gesaan sedemikian bagi meyakinkan dan meredakan kegusaran rakyat. Maka menaikkan kadar hukuman menjadi tidak lebih daripada sekadar 'melepaskan batok di tangga'.

Namun bagi pendekatan baharu, konsep hukuman lebih bersifat pemulihan berbanding berbentuk hukuman semata. Peluang kedua diberikan bagi memastikan pesalah mampu kembali ke sisi masyarakat dan menyumbang untuk kepentingan bersama.

Atasi jenayah tuntut perubahan mentaliti

Pendekatan baharu juga tidak lagi meletakkan penjara sebagai hukuman utama, bahkan penekanan akan lebih diberikan kepada hukuman alternatif dan pelaksanaan parol ditambah baik.

Kedua, pendekatan baharu mesti memberi penekanan kepada upaya dan usaha pencegahan jenayah. Pencegahan jenayah merangkumi pelbagai strategi dan langkah bagi mengurangkan risiko jenayah serta kesan bahaya terhadap individu dan masyarakat.

Pencegahan jenayah adalah intervensi awal bersandar kepada pengetahuan mendalam kepada punca jenayah, bukan berdasarkan serkap jarang. Usaha pencegahan jenayah pula tidak hanya digerakkan pihak penguat kuasa, tapi perlu membabitkan masyarakat misalnya melalui kegiatan kepolisan masyarakat.

Selain itu, kemajuan teknologi wajib dimanfaatkan bagi mencegah berlaku jenayah. Namun harus ditegaskan, bagi mengekalkan keabsahan pencegahan jenayah, kerangka undang-undang jelas dan lindung jamin mencukupi amat diperlukan bagi memastikan hak dan kebebasan rakyat, termasuk hak peribadi tidak dinafikan atas nama pencegahan jenayah.

Perubahan sistem tidak akan membuahkan hasil diingini tanpa perubahan sosial. Pendekatan baharu menangani jenayah menuntut perubahan mentaliti dan pemahaman jelas dalam kalangan mereka yang terbabit dalam sistem keadilan jenayah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Hal ini berkait rapat dengan cara masyarakat memandang apa itu jenayah dan siapa penjenayah secara rasional, adil dan manusiawi.

Prof Angela Y Davis, dalam bukunya Are Prisons Obsolete? menegaskan, 'pelanggar undang-undang bukan lagi seorang lelaki atau wanita berakal iblis, tetapi mereka seorang yang berhutang, berkewajipan untuk mengambil tanggungjawab atas perbuatannya dan memikul tanggungjawab untuk membaiki (kefasadan yang dibuatnya).

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Jenayah & Keganasan), Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X