Sabtu, 8 April 2023 | 10:43am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

PH-BN perlu strategi ampuh hadapi PN di Pulau Pinang

Selepas apa berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), terdapat dua isu bakal mewarnai pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlaku seawal-awalnya Julai selepas mesyuarat antara menteri besar dan ketua menteri daripada Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan bersepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar dua minggu terakhir Jun.

Pertama, apakah ia boleh diumpamakan sebagai pilihan raya pertengahan penggal (mid-term election) yang dapat mengukur sokongan popular Kerajaan Perpaduan terutama kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Kedua dan paling menarik sudah tentu fenomena pengaruh Perikatan Nasional (PN) dijolok sebagai 'Gelombang Hijau' yang selepas PRU15, ia masih belum menunjukkan petanda untuk reda.

Perkembangan semasa memberikan keyakinan kepada PN bahawa gelombang itu akan berterusan dalam PRN hingga ketika ini gabungan terbabit terus dan konsisten mengasak kerajaan dengan isu populis menyentuh Melayu-Islam.

Kemuncak kepada hal itu terserlah apabila PN menyuarakan keyakinan untuk menang di 14 daripada 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang. Walaupun diperli ibarat bermimpi di siang hari oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah tentu sejauh mana keyakinan itu memiliki asas wajar diteliti dan diberikan perhatian.

Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas PN merampas Parlimen Padang Serai boleh dijadikan permulaan. Beliau meramalkan PH boleh hilang enam atau tujuh kerusi DUN di Pulau Pinang dalam PRN akan datang sekiranya fenomena berkenaan masih berterusan.

Untuk rekod, 26 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang adalah kerusi campuran dengan Melayu bukan majoriti pengundi, manakala 14 kerusi lagi memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu. Daripada 14 kerusi itu, 11 terletak di Utara Seberang Perai yang PN berjaya merampas dua kubu kuat UMNO, Tasek Gelugor dan Kepala Batas serta satu kerusi tradisi PKR yang pernah diwakili Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka, Nurul Izzah, iaitu Permatang Pauh dalam PRU15. Tiga lagi kerusi berada di kawasan Balik Pulau.

Secara umum memenangi semua kerusi Melayu masih tidak memungkinkan PN menguasai pentadbiran negeri. Angka 15 masih jauh untuk memperoleh majoriti mudah 21 kerusi daripada 40 kerusi DUN dipertandingkan.

Peralihan sokongan Melayu

Namun, sebarang kemampuan menyapu habis semua kerusi Melayu sudah cukup menggambarkan pengaruh PN menerusi kebangkitan politik etno-agama bersifat konservatif, sesuatu paradoks dalam dinamika toleransi masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Secara mikro, ia turut memperlihatkan peralihan sokongan orang Melayu kepada parti Melayu yang 'established' seperti UMNO, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Mungkin UMNO sudah tidak dominan di sini sejak PRU12, namun bagi PKR dan AMANAH (baca: PH) hilang pengaruh di negeri seperti Pulang Pinang sememangnya membimbangkan.

Dengan pemilihan UMNO juga masih belum menampakkan reaksi positif orang Melayu terhadap parti itu, kemungkinan parti itu untuk mempertahankan dua kerusinya di Permatang Berangan dan Sungai Dua (dalam Parlimen Tasek Gelugor) dilihat sukar, apatah lagi merampas kerusi Melayu lain.

Kebarangkalian kerjasama antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) masih belum menghalang pengaruh PN dalam kalangan pengundi Melayu. Kerjasama menjadikan pertandingan seimbang satu lawan satu dengan PN, namun kesediaan untuk akar umbi, terutama orang UMNO tidak mengundi 'parti kerjasama' masih tinggi berbanding sebaliknya.

Persoalannya, apakah mereka akan menggunakan lambang parti masing-masing atau berani untuk bertanding di bawah logo PH, memandangkan PH lebih dominan berbanding BN di negeri itu?

Dengan DAP menjadi 'titik utama' serangan, kemungkinan untuk ia meningkatkan sokongan kepada PN di kawasan Melayu amat besar. Malah, dikhuatiri ia mungkin akan membawa kesan limpahan ke negeri lain terutama Selangor dan Negeri Sembilan.

Faktor rekod prestasi dan pencapaian kerajaan DAP sepanjang 15 tahun mentadbir negeri dilihat masih sukar untuk memikat undi Melayu yang lazimnya melihat faktor pembangunan di kawasan mereka menjadi pertimbangan untuk mengundi kerajaan supaya DUN tidak dipinggirkan dalam perancangan pembangunan negeri.

Dengan keseluruhan 14 kerusi itu berada di kawasan separa bandar, faktor perbandaran dan isu sosioekonomi menjadi tumpuan utama orang Melayu berbanding isu pembangunan, sekali gus menyukarkan usaha untuk memikat undi mereka memandangkan parti itu berhadapan krisis persepsi membelenggu psikik orang Melayu terhadap DAP sejak sekian lama.

Bagaimanapun bagi PN sendiri, ia tidak boleh mengharap undi Melayu semata-mata untuk menawan Pulau Pinang. Gerakan sebagai komponen bukan Melayu PN masih jauh untuk menyaingi DAP seperti ketika era BN. Namun, kemampuan PN memenangi semua kerusi Melayu dalam PRN nanti akan lebih menyakitkan DAP-PH kalaupun mereka masih kekal memerintah untuk penggal seterusnya.

Undi Melayu berpecah

Melihat senarionya, kemampuan PN menguasai kerusi Melayu ketika PRU15 memberikan beberapa indikasi jelas. Pertama, peralihan undi sokongan orang Melayu di negeri itu memperlihatkan faktor kemuakan dan hilang daya tarikan terhadap parti Melayu yang menjadikan PN sebagai alternatif pilihan.

Kedua, keterpecahan undi dalam kalangan orang Melayu seperti sebelumnya masih memperlihatkan kebarangkalian berlaku hayunan yang ketara dalam kalangan pengundi baharu dan muda.

Sebelumnya, kelompok ini masih belum boleh mengundi dan keterpecahan undi memihak kepada PH di samping kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap UMNO sejak 2008 serta PAS masih bergantung kepada kekuatan sokongan setempat secara satelit. Namun, taburan undi diterima parti masing-masing masih lagi relatifnya seimbang.

Keterpecahan undi Melayu dalam beberapa pilihan raya memperlihatkan pola taburan undi diterima tidaklah konsisten kepada mana-mana parti, di sebalik kemerosotan pengaruh UMNO dan PH serta populariti mendadak PN. Cuma PRU15 memperlihatkan keseimbangan berkenaan berubah di sebalik ketidakseragaman pola pengundian orang Melayu dalam setiap pilihan raya.

Paling penting, kebangkitan politik etno-agama dan konservatisme Melayu di samping sentimen skeptikal orang Melayu terhadap PH terutama DAP berakar umbi sejak sekian lama menjadi faktor tertinggi untuk menjejaskan sokongan kelompok Melayu kepada PH.

Dengan propaganda menakut-nakutkan orang Melayu dengan dakwaan komunis, anti-Melayu dan anti-Islam masih gagal ditangani dengan berkesan, sudah tentu PH dan BN memerlukan strategi ampuh untuk memperbaiki hal berkenaan ketika PRN semakin mendekati horizon tetapi pada masa sama, faktor masa semakin suntuk dan singkat buat gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan itu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X