Isnin, 3 April 2023 | 9:32am

Bidang maritim 'lubuk', peluang baharu pekerjaan, perniagaan

MALAYSIA adalah negara dikelilingi 4,675 kilometer garis pantai dan bersempadan dengan empat perairan utama, iaitu Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Selari dengan status Malaysia sebagai negara maritim berpotensi dalam aspek perdagangan dan geopolitik maritim, sudah tiba masanya pendidikan serta latihan maritim menjadi satu daripada agenda pendidikan Malaysia.

Inisiatif ini secara tidak langsung mampu membantu pencapaian Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 dari aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang maritim.

Modal insan dalam maritim Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 3.02 peratus pada suku ketiga 2021. Ia berdasarkan Statistik Guna Tenaga dikeluarkan Jabatan Perangkaan berbanding 4.13 peratus pada tempoh sama 2020 bagi sektor perkhidmatan.

Statistik ini bertentangan dengan keperluan bidang maritim global yang dilihat kritikal kerana menyumbang kepada 90 peratus perdagangan menerusi mod pengangkutan laut berbanding udara seperti didakwa Pertubuhan Mengenai Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Pemerkasaan pendidikan maritim ini akan menyokong dasar 60:40, iaitu 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus pelajar aliran sastera yang dihasratkan menerusi pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak 1967.

Pada 2018, sebanyak 44 peratus pelajar memilih aliran STEM. Peratusan ini memberi kesan domino kepada pemilihan aliran STEM pada peringkat pusat pengajian tinggi.

Pada 2017, hanya 334,742 pelajar mengikuti kursus sains, matematik, kejuruteraan dan pembinaan di universiti berbanding 570,858 mengikuti kursus seni dan kemanusiaan.

Kajian Universiti St Louis pada 2021 mendapati peratusan ini semakin menurun semenjak pandemik COVID-19. Minat dan sikap positif terhadap STEM dalam kalangan pelajar dilaporkan mengalami penurunan drastik dan ketara.

Mungkin banyak tidak menyedari pendidikan maritim adalah cabang pendidikan STEM antaranya bidang kejuruteraan marin, perkhidmatan perniagaan maritim, perkapalan, minyak dan gas luar pesisir marin.

Wujud persepsi kurang tepat dalam kalangan masyarakat menyatakan kerjaya berkaitan maritim terhad kepada kerjaya kolar biru seperti kelasi kapal yang terdedah kepada pelbagai risiko di lautan.

Realitinya, kerjaya maritim turut merangkumi tugas di pelabuhan serta jaringan pengangkutan dan logistik seperti jurutera marin, arkitek laut, jurutera pembinaan kapal, pengurus pelabuhan, pengurus alam sekitar marin dan pengawas kapal.

Kerjaya bidang ekonomi maritim tidak kurang kepelbagaiannya merangkumi kerjaya perkapalan, pembangunan pelabuhan, perikanan, pelancongan marin dan pulau, hidupan marin dan ekosistem selain industri tenaga mendatangkan pulangan pendapatan berlipat ganda.

Kerjaya berkemahiran tinggi

Kerjaya bidang maritim ini antara kerjaya berkemahiran tinggi diperlukan negara selari dengan inisiatif transformasi sektor perkhidmatan, bagi tempoh 2018 hingga 2025 yang diuar-uarkan dalam Dasar Kebangsaan mengenai IR 4.0 dikenali Industry4WRD ke arah Malaysia menuju negara industri berteknologi tinggi.

Penguasaan rakyat Malaysia dalam kerjaya berkaitan bidang maritim ini dijangka mampu menjadikan negara selaku rakan strategik perkhidmatan maritim di Asia Pasifik berdasarkan kedudukan strategik Malaysia di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Kesibukan Selat Melaka sepanjang 550 batu nautika yang menerima kira-kira 90,000 kapal setahun atau kira-kira hampir 200 kapal setiap hari dilihat sebagai faktor pendorong keperluan penting kerjaya berkaitan bidang maritim.

Ia menyokong pemacuan sektor maritim negara yang kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih 90 peratus eksport adalah melalui laut.

Walaupun banyak institusi pendidikan menawarkan pelbagai kursus berkaitan pendidikan dan latihan maritim, ia dilihat sebagai 'terlalu lewat' kerana hanya diperkenalkan kepada pelajar berusia 17 tahun ke atas.

Misalnya, Akademi Laut Malaysia (ALAM) menawarkan pelbagai kursus maritim seperti pengajian nautika dan kejuruteraan marin kepada pelajar selewat usia 18 tahun.

Terdapat lebih 30 institusi dan pembekal pendidikan serta latihan maritim di Malaysia menawarkan pelbagai kursus maritim untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini dilihat amat ketinggalan jika dibandingkan dengan cabang pendidikan STEM lain yang bermula seawal usia lima tahun, iaitu pada peringkat prasekolah melalui silibus pelbagai mata pelajaran. Ia turut dipromosikan dalam program kokurikulum seperti Hari Kerjaya dan Minggu STEM.

Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Tinggi) yang meletakkan sasaran kolej vokasional sebagai sasaran kolaborasi berpotensi bagi menjalankan program pendidikan dan latihan maritim seperti teknologi perkhidmatan marin, akuakultur, serta logistik global dan teknologi rangkaian bekalan bagi industri maritim dilihat sebagai inisiatif memartabatkan pendidikan maritim di Malaysia.

Justeru, sudah tiba masanya rakan kolaborasi ini, termasuk penggiat industri maritim menyumbang bakti kepada negara melalui pemerkasaan pendidikan dan latihan maritim di Malaysia kepada kanak-kanak seawal usia prasekolah.

Promosi pendidikan maritim

Institut Maritim Malaysia (MIMA), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan bersedia membantu mana-mana pihak mencapai hasrat murni memartabatkan pendidikan maritim negara melalui penerbitan penyelidikan.

MIMA turut bersedia menyediakan program kesedaran, pengetahuan serta 'upskilling' dan 'reskilling' berkenaan pendidikan maritim dan bidang kerjaya maritim.

Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) adalah platform pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia-Pasifik adalah antara program flagship Kementerian Pengangkutan yang turut disertai MIMA sebagai rakan kerjasama.

Walaupun matlamat utama Pameran Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) bagi mempamerkan kemajuan terkini dalam teknologi maritim dan aeroangkasa, ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan maritim untuk institusi pendidikan mengambil bahagian dan mempamerkan keupayaan mereka dalam bidang pendidikan maritim.

Program interaksi dengan pakar industri maritim turut mengembangkan peluang kerjaya maritim dan menggalakkan lebih banyak pelajar memilih kerjaya dalam bidang ini.

Pameran kemajuan terkini dalam teknologi maritim sepanjang LIMA seperti kapal tercanggih, peralatan marin dan pelbagai teknologi serta inovasi maritim turut mencetus inspirasi kepada pelajar dan pendidik berkenaan perkembangan terkini bidang maritim.

Secara tidak langsung menggalakkan kesedaran kepentingan pendidikan maritim di Malaysia. Usaha sama bersepadu ini dijangka membantu mempertingkatkan martabat Malaysia sebagai negara maritim yang bukan sekadar bergantung kepada kedudukan strategik negara semata-mata.

Penulis adalah Pengarah Penyelidikan Institut Maritim Malaysia (MIMA)

Berita Harian X