TANGGUNGJAWAB dan amanah digalas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat berat untuk digalas tetapi kekuatan seramai 130,000 anggota itu sanggup menyahutnya demi keselamatan bangsa, agama, dan negara.
Tugas polis bukan sahaja adalah menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta memburu penjenayah, bahkan ia membabitkan pelbagai peranan termasuk membantu mangsa bencana seperti banjir dan tanah runtuh, memastikan ketenteraman ketika pilihan raya negara serta menjadi barisan hadapan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19.
Rentetan daripada tuntutan pekerjaan dan pengorbanan tenaga yang tidak mengikut masa, sudah semestinya memberi kesan kepada kesejahteraan anggota PDRM. Kajian penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lalu menemui hampir 45 peratus pegawai polis mengalami kemurungan, tekanan serta kebimbangan pada tahap sederhana dan parah kesan pandemik COVID-19.
Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat semalam, menyebut kajian PDRM mengenai kesihatan mental anggota dan pegawainya mendapati kebanyakan petugas mengalami tekanan serta cenderung membunuh diri disebabkan persekitaran tempat kerja serta status kesihatan.
Ia termasuk mengalami masalah penyesuaian di tempat baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian kerana berjauhan dengan keluarga dan kekecewaan dalam perhubungan.
Oleh itu, tekanan kerja dalam kalangan anggota polis wajar mendapat perhatian dan perlu dikenal pasti supaya amalan terbaik dan rekomendasi sesuai dapat diberikan.
Faktor tekanan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu interpersonal dan intrapersonal. Interpersonal membabitkan hubungan dengan rakan sekerja dan ketua di organisasi, iklim organisasi serta halangan rumah dan kerja seperti jadual kerja tidak menentu dan ada kala sesekali tugasan memerlukan pengorbanan bertugas melebihi 12 jam, kekurangan tidur, diet pemakanan tidak seimbang serta gaya hidup tidak sihat.
Tekanan ini boleh menjadi parah apabila anggota turut dihujani dengan masalah peribadi seperti isu kewangan dan rumah tangga, masalah hubungan keluarga serta masalah kesihatan diri.
Pergolakan dalaman jejas emosi
Faktor tekanan intrapersonal pula ialah perjuangan dalaman (internal conflict) dirasai anggota itu sendiri. Konflik berkaitan keyakinan diri, persepsi mengenai kemampuan diri, konflik kasih sayang serta konflik moral.
Faktor ini sukar dikesan kerana ia adalah pergelutan dalaman yang hanya boleh dirasai individu itu sendiri dan ada kalanya tekanan ini sukar dikesan serta susah dijangka orang lain kerana dibayangi dengan gaya kehidupan tampak 'gembira' di luar tetapi 'bergelut' dengan diri sendiri.
Pertembungan antara faktor interpersonal dan intrapersonal jika tidak diuruskan dalam satu-satu masa boleh menjadi resipi tekanan dalam bekerja, seterusnya mengganggu kesejahteraan psikologi anggota.
Tekanan tidak diurus boleh menjadi faktor risiko kepada anggota PDRM dan boleh mendorong kepada terjadi amukan, tingkah laku agresif dan pelbagai tingkah laku negatif lain.
Kes seperti bunuh diri dan kes terbaru seorang anggota PDRM menembak mati isteri di Kangar baru-baru juga dikaitkan dengan sejarah kesihatan mental (kemurungan).
Dalam konteks kesihatan mental, masalah kemurungan atau kecelaruan emosi lain tidak terbentuk dalam satu malam sahaja, sebaliknya ia proses terkumpul yang sudah lama ditanggung seseorang dan kemuncaknya tercetus apabila ada faktor interpersonal yang sudah berada di luar kawalan.
Bagaimanapun, isu kemurungan dan kecelaruan emosi boleh dikenal pasti awal untuk diuruskan sekiranya kita memberi perhatian kepada gejala yang ditunjukkan individu itu.
Oleh itu, adalah sangat penting saringan tekanan di tempat kerja dilakukan secara berkala dalam mengenal pasti gejala berpotensi menjadi masalah kesihatan mental supaya sokongan dan intervensi dapat diberikan tepat pada masanya. Intervensi juga seharusnya diberikan kepada ahli keluarga anggota terbabit sama ada memberikan rujukan perkhidmatan perkhidmatan psikologi dan sesi kaunseling.
Memandangkan tekanan dan kesihatan mental sering dikaitkan dengan stigma dan konotasi personaliti lemah (seperti tidak kuat, lembik dan tidak bijak susun masa), maka usaha mengenal pasti tekanan dan simptom kesihatan mental agak mencabar dalam kalangan pasukan beruniform seperti PDRM.
Malah, isu sama juga memberikan cabaran kepada organisasi lain seperti kerana stigma itu sendiri.
Oleh itu, faktor pelindung seperti peranan keluarga perlu dipertingkatkan dalam membantu ahli keluarga bertugas sebagai anggota polis untuk terus memberi sokongan dan mendapatkan bantuan luar sekiranya ada gejala kesihatan mental.
Sangat penting untuk mendapat bantuan awal kerana tekanan boleh diurus dan isu berkaitan bunuh diri serta tingkah laku agresif yang terkait dengan sakit mental boleh dicegah kerana sesiapa sahaja boleh mengalaminya termasuk anggota keselamatan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)