Jumaat, 31 March 2023 | 3:53pm

Penjawat awam perlu manfaatkan AI, ChatGPT tingkat kualiti penyampaian

KEHEBATAN dan keunikan teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT bukan lagi kisah khayalan atau fantasi tidak dapat dijangkau akal, sebaliknya ia mengubah budaya dan tatacara kerja manusia kerana dapat membantu dalam melaksanakan tugas harian, terutama dalam kalangan penuntut, pengajar, teknokrat, pekerja awam dan swasta serta mereka yang memiliki kepentingan tertentu.

Tidak dapat dinafikan kepintaran berfikir dan berbahasa ChatGPT ialah pencapaian fungsi aras tinggi semakin menyamai manusia. Tarikan utama ChatGPT ialah penggunaan secara percuma.

Edisi langganan ditampilkan mengekalkannya sebagai kuasa baharu teknologi dengan catatan sejarah tersendiri kerana menerima bilangan pengguna tertinggi dan terpantas di seluruh dunia berbanding aplikasi lain popular seperti Instagram, Spotify dan Netflix.

Prestasi ChatGPT tidak terhad kepada kekangan masa, masalah konsistensi kualiti mahupun bebanan tugas, sebaliknya komitmen diberikan sentiasa maksimum, sekali gus berupaya mengendalikan tugasnya dengan memperhalusi output dan hasil cadangannya supaya dapat memenuhi cita rasa dan kehendak pengguna.

Sebenarnya, bidang perkhidmatan awam juga banyak terkait dengan elemen pemikiran dan aspek penulisan, terutama sektor pentadbiran hingga amat sepadan dengan kebolehan dimiliki ChatGPT.

Ini bermakna peranan dan skop tugas penjawat awam, terutama membabitkan perkara rutin perlu melalui transformasi serta dikaji semula supaya kekal relevan, malah penggunaan aplikasi ini dapat memberi nilai tambah.

Namun, apabila dunia kini berhadapan cabaran pemulihan ekonomi pascapandemik, di samping ketidakstabilan ekonomi global, masyarakat mengambil langkah berhati-hati mempromosikan penggunaan ChatGPT kerana enggan pekerjaan mereka digantikan robot ini.

Contohnya, ChatGPT mengurangkan kerja berulang melalui automasi soal jawab perkara tertentu dan hanya persoalan khusus dipanjangkan kepada petugas kaunter. Ini dapat menjimatkan masa menunggu dan memproses sesuatu perkara serta memastikan komunikasi lebih berkesan.

Petugas berhadapan amanah baharu

Petugas juga akan berhadapan dengan amanah baharu seperti membantu pelanggan menggunakan aplikasi dengan betul, menyemak sama ada aplikasi memberi output sepatutnya dan menganalisis punca laporan diterima, seterusnya menyokong pihak pengurusan membuat penambahbaikan.

Petugas ini biasanya mempunyai banyak pengalaman memastikan tugasan itu dilaksanakan dengan sempurna. Penjawat awam dengan pangkat lebih tinggi boleh memanfaatkan ChatGPT bagi merumuskan maklumat dan sebagai rujukan tambahan, seperti alatan produktiviti biasa digunakan untuk urusan kerja seharian, termasuk Microsoft Word dan enjin carian Google.

Pada masa sama, arus pendigitalan diselaraskan melalui beberapa fasa sistematik daripada perancangan, pelaksanaan awal termasuk peningkatan kompetensi staf dan persediaan pelanggan serta membudayakan penambahbaikan infra digital berterusan bagi menjamin kemapanan kualiti.

Ini bermakna, integrasi teknologi, termasuk AI dalam organisasi memerlukan kepercayaan dan kerjasama petugas awam disertai pengetahuan mengendalikan aplikasi dan memantau tindakan robot ini.

Selain implikasi AI bagi transformasi pentadbiran, sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan alam sekitar kini berhadapan dengan penggunaan AI bagi melicinkan urusan seperti penyusunan jadual temu janji dengan doktor secara pintar, ramalan bencana bagi menentukan jadual dan bebanan penyelamat serta semakan tugasan pelajar berbantukan AI.

Bagaimanapun, keupayaan ChatGPT yang mahir menjawab persoalan dalam pelbagai bidang dan mampu menghasilkan penulisan berkualiti sangat tinggi tetap menjadikan masyarakat sangsi mengenai ancaman mungkin dibawa teknologi ini.

Risiko malas berfikir

Antara implikasinya adalah risiko mengenai kepada pengguna mungkin menjadi malas berfikir kerana penggantungan keterlaluan kepada aplikasi ini.

Dikhuatiri golongan ini akan menjadi seperti 'tin kosong' atau 'robot bertopengkan manusia' mengambil jalan pintas dengan menerima bulat-bulat output ChatGPT tanpa sebarang tapisan, olahan dan pemikiran mendalam kerana hanya kemahiran spesifik dan berdasarkan konteks tertentu tidak dapat 'dicerna' ChatGPT.

Sudah tentu pengguna juga tidak mahu generasi penjawat awam akan datang terperangkap dengan ketagihan teknologi tanpa kemampuan berdikari dan pemikiran kritis jika teknologi ini tiada.

Selain itu, automasi dengan aplikasi ini juga akan menghilangkan resipi kejayaan organisasi yang bergantung kepada sentuhan peribadi penjawat awam terlatih bagi menyelesaikan isu peribadi pelanggan yang rumit dan sensitif seperti pengurusan harta, kaunseling dan kesihatan.

Contohnya, walaupun ChatGPT boleh menghasilkan bahan penulisan menakjubkan, hanya pakar mampu menawarkan keunikan melalui karya seni dengan sentuhan istimewa manusiawi dan ciptaan asli melangkaui output robot ini.

Perlu diingat bahawa untuk semua potensi positifnya, AI seperti ChatGPT membawa bersamanya pelbagai risiko kerana ia tiada jiwa dan nurani, maka ia mungkin mengakibatkan prasangka, penyebaran maklumat palsu, pencerobohan kerahsiaan dan ancaman penyalahgunaan.

Maka, seperti cadangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkenaan etika AI, dasar berkesan diperlukan untuk memastikan ia dan teknologi kekal dalam batas pengawasan dan kepuasan perkhidmatan untuk manusia, membawa kepada pencapaian matlamat kolektif, bukannya meletakkan manusia sebagai mangsa teknologi ini.

Kelebihan robot adalah konsisten dan menjurus kepada sesuatu fungsi. Seseorang pekerja harus senantiasa aktif dan teguh memberikan komitmen dan dedikasi tinggi walaupun dalam persekitaran dinamik serta mencabar kerana sifat ini membezakan seseorang manusia dan robot.

Dalam konteks perkhidmatan awam, penjawat awam harus rajin meningkatkan kompetensi diri dengan meneroka ilmu baharu supaya kekal menjadi nadi daya saing kerajaan dan tidak statik dengan sesuatu kebolehan.

Penggunaan teknologi harus terus diperkasakan seiring pemantapan integriti perkhidmatan awam kerana ia dapat meningkatkan kecekapan manusia dan mengoptimumkan produktiviti.

Justeru, keseimbangan dan keselamatan penggunaan AI perlu juga dititikberatkan seperti dicadangkan dalam dokumen Hala Tuju AI Malaysia 2021-2025 diterbitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ia merangkumi pendidikan kepada masyarakat, prinsip mengutamakan kemanusiaan berbanding teknologi, kawalan kualiti data dan dalam algoritma AI serta pemantauan dan pemantapan pelaksanaan dasar AI negara.

Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X