Islam mempunyai keistimewaan dan satu-satunya agama disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan agama ini ibarat pokok jati tinggi menaungi agama lain di negara ini.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam menjadi agama bagi Persekutuan, selalu ditekankan apabila berbicara konteks kedudukannya di negara ini tetapi huraian berikutnya turut berbunyi: 'tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan'.
Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali menghalang mana-mana agama untuk dianuti dan diamalkan selagi tidak menimbulkan kacau-bilau serta hak penganutnya dihormati antara satu sama lain.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sendiri mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Gereja-Gereja Malaysia (MGM) di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu minggu lalu. Ia sebahagian projek Piagam Harmoni bertujuan merapatkan lagi hubungan sesama kaum dan agama merentasi fahaman politik, ideologi dan isu kontroversi seputar pluralisme, liberalisme serta ateisme.
Malah, kami juga dengan pintu terbuka turut mengalu-alukan lawatan MGM untuk hadir ke IKIM bagi memahami Islam lebih mendalam terutama dalam soal kemanusiaan, kesejagatan dan nilai universal.
Bercakap mengenai isu kontroversi, IKIM juga mengambil kesempatan berkongsi dengan MGM pandangan berkaitan filem Mentega Terbang hangat diperkatakan. Satu titik kefahaman dan persamaan (dalam konteks nilai murni) perlu dijelaskan tanpa menyentuh sensitiviti budaya, ritual dan 'pantang larang' sesuatu agama.
Contohnya, Islam mengharamkan makan khinzir, Hindu tidak memakan daging lembu dan penganut Kristian memahami batas menyentuh anjing oleh seseorang Muslim. Sekiranya ada babak seorang Muslim memakan khinzir (walaupun tersembunyi dalam seketul kuih pau), Hindu memakan daging lembu dan jiran Kristian tanpa cakna membawa anjing peliharaannya ke dalam kawasan jiran Muslimnya (dan membiarkan ia dipegang), apakah mesej sebenar ingin disampaikan penulis skrip, penerbit, pengarah dan pelakon kepada penontonnya?
Mengenai hukum melawat gereja, ada beberapa pandangan mazhab seperti Shafie mengharamkannya atas 'illah kewujudan patung seperti dalam kitab Nihayatul Muhtaj dan Tuhfatul Muhtaj; Hanafi mengharamkannya dalam semua keadaan (al-Bahr al-Raiq dan Hashiyat Ibn 'Abidin 2/43) serta sebahagian Hanbali memakruhkan melawat gereja mempunyai imej.
Terdapat juga pandangan mazhab secara umum mengharuskan melawat gereja seperti Hambali dalam al-Mughni dan al-Insaf 1/496 serta Ibnu Hazm al-Zahiri (al-Muhalla). Mengambil pendapat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Fatwa #248), mereka berpandangan hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus sekiranya mempunyai tujuan diharuskan syarak seperti berdakwah dan memenuhi jemputan berdialog antara agama.
Isi perjanjian antara Sayidina Umar al-Khattab dengan Ahlu Dzimmah pada zaman beliau juga menyatakan Muslimin tidak akan dihalang memasuki gereja pada bila-bila masa, siang atau malam. Kenyataan ini turut digunakan sebagai dalil oleh Imam Ibnu Qudamah dalam keharusan Muslim memasuki gereja dalam al-Syarh al-Kabir 'ala Matn al-Muqni'.
Tertakluk bidang kuasa kerajaan negeri
Dalam konteks di negara ini, ia perlu dilihat dalam peruntukan undang-undang di negeri. Sekiranya program ziarah ke gereja didapati mempunyai elemen 'mengembangkan/menyebarkan' agama bukan Islam kepada orang Islam, ia dikhuatiri melanggar undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam mencapai keharmonian bersama secara aman (Fiqh Taayush al-Silmi), kami ingin membawa pembaca mentadabbur ayat al-Quran: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)". (Al-Hujurat: 13).
Secara asasnya, hubungan dan kesatuan sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan, bukannya hanya pada faham 'creedal nation' (al-ummah al'aqidiyyah).
Meskipun berbeza warna kulit, bangsa, politik dan agama, semua manusia itu bersaudara. Fitrah dan jiwa kemanusiaan menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah membuatkan kita lebih menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.
Mengulas Program Jom Ziarah Gereja, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata ia tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan beliau menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri berhubung perkara itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga dalam kenyataannya menyebut program itu sememangnya tidak membabitkan penyertaan belia Muslim dan bukan bertujuan memberi gambaran semua agama dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga mengambil pendekatan tegas demi memelihara akidah umat Islam di negara ini tertakluk kawalan dan sekatan tertentu seperti digariskan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang menegaskan menjadi satu kesalahan bagi sebarang program dibuat untuk tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam.
Ini juga selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa undang-undang bagi kawal atau sekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam.
Dalam kesempatan ini, susulan bantahan program Jom Ziarah Gereja yang menjadi inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), IKIM ingin melontarkan beberapa cadangan bersama pihak berkaitan supaya sebarang isu berbangkit dapat diselesaikan lebih harmoni dan ilmiah.
l IKIM bersedia menganjurkan sesi dialog tertutup bersama pihak berkaitan.
l KBS perlu memohon kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk melakukan program membabitkan hal keagamaan orang Islam.
l Penganjuran forum atau seminar mengenai topik meraikan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini berteras Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta bagaimana kedudukannya dalam enakmen negeri memperuntukkan larangan bagi orang Islam memasuki tempat ibadat orang bukan Islam.
l Perbincangan santai bersama ahli akademik di slot radio IKIM secara rakaman dalam mengutarakan isu semasa yang berkemungkinan menyebabkan ketegangan dan ketidakharmonian.
Sebagai rakyat inginkan semangat perpaduan dan kekitaan senantiasa subur, titik persamaan dalam perbezaan perlu dilihat secara objektif. Ketegangan dicetuskan pihak tertentu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia mampu menjadi barah ketidakharmonian dan perpecahan kaum dalam diam. Sekiranya ia tidak dirawat dan dicari ubat penyelesaiannya sedari awal, ketegangan antara agama dan kaum akan membawa negara ke kancah kemusnahan.
Mohamed Azam adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), manakala Mohamamad Hariz Shah adalah Penolong Penyelidik IKIM